Sunday, 20 April 2014

Dua MB Umno bakal diganti?

Satu tulisan pojok pengarang Mingguan Malaysia hari ini membangkitkan spekulasi bahawa dua menteri besar Umno bakal diganti tidak lama lagi.

Tanpa menamakan mana-mana menteri besar, tulisan dalam akhbar milik Umno itu turut mendakwa Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak juga sudah mempunyai senarai nama sebagai pengganti.

Dalam pojok Bisik-bisik Awang Selamat itu, editor berkenaan turut menyokong usaha berkenaan, yang menurutnya mampu "menyuntik kesegaran dalam pentadbiran negeri."

"Khabarnya dua menteri besar bakal digantikan tidak lama lagi. Spekulasi mengenainya mulai bertiup bagai sepoi angin petang di pesisiran pantai.

"Tidak perlulah Awang sebut siapa menteri besar berkenaan pada peringkat ini, biarlah ia terus menjadi desas-desus.

"Tentu terdapat tokoh yang boleh dijadikan sandaran, yang Awang percaya Najib sudah ada bayangan calon-calonnya. Kita tunggu," tulisan itu dipetik.

Umno kini menguasai pentadbiran di tujuh negeri dengan menteri besar dari parti tersebut – Perlis, Kedah, Perak, Terengganu, Pahang, Negeri Sembilan dan Johor.

Selain itu, ketua menteri Umno turut mengetuai pentadbiran di dua negeri, Melaka dan Sabah.

Dalam tulisan berkenaan, editor akhbar berkenaan turut melahirkan hasrat agar Najib memperkenalkan muka baru untuk jawatan tertentu dalam Umno.

“Bukan sahaja kepimpinan negeri, ramai yang menyimpan harapan agar perdana menteri yang juga presiden Umno menampilkan muka baharu bagi beberapa jawatan (lantikan) tertentu dalam parti," katanya./~malaysiakini

No comments:

Post a Comment

ANDA KOMEN ANDA TANGGUNG