Anak Nazri Aziz guna kereta mewah milik Michael Chia
KUALA LUMPUR : Anak Menteri di Jabatan Perdana Menteri,
Datuk Seri Nazri Aziz menikmati manfaat terus dari Michael Chia, ahli
perniagaan yang terbabit dalam skandal RM40 juta untuk Umno Sabah.
Dedah Pengarah Strategi KEADILAN, Rafizi Ramli pada sidang medianya
di Parlimen hari ini, Nedim Nazri menggunakan kenderaan mewah jenis
Hummer berwarna hitam dengan nombor pendaftaran WNX 9776 milik Chia.
“Kenderaan itu berharga RM459,000…hak miliknya boleh disahkan melalui carian saman di laman MyEG.
“Saman bernombor 1100105197 bertarikh 1 April 2011 mengesahkan ia
milik Michael Chia atau Chia 0tien Woh (670406-12-5261),” jelas Rafizi.
Menurut Rafizi, berdasarkan pemantauan, kereta tersebut kebiasaannya
dipandu oleh pemandu peribadi keluarga Nedim di antara kediaman beliau
di Clearwater Residence, dan kedai miliknya di Bangsar Shopping Complex.
Beliau turut menunjukkan beberapa gambar bukti kenderaan tersebut
diparkir di kawasan kondo bersama pemandu dan pengawal peribadi Nedim.
Selanjutnya Rafizi berkata, dalam keadaan Chia disiasat Suruhanjaya
Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM), kenyataan Nazri yang bermati-matian
mempertahankan taikun balak itu pasti menimbulkan konflik kepentingan
dalam skandal RM40 juta.
Chia adalah individu utama dalam skandal penyeludupan wang haram RM40
juta kepada Ketua Menteri Sabah, Datuk Seri Musa Aman dan ditahan
Suruhanjaya Bebas Pencegahan Rasuah Hong Kong (ICAC) pada 2008 berhubung
perkara itu.
Nazri sebelum ini berkata di Parlimen, Musa dibebaskan dari tuduhan
rasuah selepas pihak berkuasa di Malaysia dan Hong Kong mendapati RM40
juta yang didakwa cuba diseludup Chia ke Malaysia bukan untuk Musa,
sebaliknya untuk Umno Sabah.
“Beliau adalah Menteri Undang-undang…(tetapi) jadi peguam dan pembela nombor satu kepada Michael Chia.
“Ia cukup untuk timbulkan keraguan bahawa ada unsur rasuah di antara
Nazri yang lindungi Michael Chia melalui kenyataannya, kerana tertuduh
(Chia) biayai kenderaan mewah yang digunakan anaknya,” kata Rafizi.
KEADILAN mahu Nazri memberi maklum balas sebelum mengambil tindakan selanjutnya.
“Sebagai ingatan, beliau harus sedar bahawa penafian membabi-buta
kononnya beliau tidak tahu dengan urusan peribadi anaknya tidak diterima
rakyat.
“Setahun lalu, ada seorang menteri yang guna alasan serupa dan dia
terima hukuman politik. Masyarakat tidak lagi terima alasan sebegitu
rupa,” kata Rafizi merujuk Datuk Seri Shahrizat Jalil berhubung skandal
National Feedlot Corporation (NFC) membabitkan keluarganya.
Short URL: http://www.keadilandaily.com/?p=38706