Oleh: Mohd Sayuti Omar
Semasa di lapangan terbang Subang kelmarin dulu saya berjumpa dengan
seorang ahli Umno peringkat bahagian. Kalau tidak salah inilah pertama
kali saya berjumpa dengannya dan bercakap lama dengan beliau. Kelewatan
kapal terbang yang hendak kami naiki memberi peluang saya mendengar
ceritanya.
Dia mengenali saya sebagai seorang penulis dan wartawan. Jadi saya kira
apa yang dia ceritakan adalah jujur dan bukan mengada-ngadakan cerita.
Banyak yang dicerita dalam masa lebih dua jam itu. Kapal kami lewat.
Semua cerita menggambarkan Umno dalam keadaan tenat untuk mengekalkan
kuasa hari ini.
Dalam banyak-banyak cerita negatif mengenai Umno itu timbullah soal
Setiausaha Agung Umno Teuku Adnan Mansor yang kononnya sakit dan akan
melepaskan jawatan. "You tahukan Teuku Adnan sakit," tanya dia kepada
saya. Saya menggeleng kepala.
"Dia sakit dan hendak letak jawatan." Katanya. Surat perletakan jawatan
sudah pun diserahkan kepada Presiden, Najib Razak. Tetapi Najib tahan
dulu tunggu sampai selesai perhimpunan agung Umno dua minggu lagi.
Saya mengasak ahli itu apakah sebab musababnya, masakan soal sakit,
biasanya orang politik bagaimana sakit sekali pun dia tidak mudah untuk
berundur. Jawatan dan kuasa adalah obat bagi orang politik.
Dia mulanya tidak mahu mencerita keadaan Teuku Adnan lebih lanjut,
tetapi selepas diasak dia menjawab; "Teuku Adnan juga sudah mnenghidu
yang Umno akan kalah," katanya, menyebabkan saya terperagah.
Sekali lagi berkebetulan semasa balik semalam saya terjumpa pula dengan
seorang bakal calon Umno di Kelantan. Sekali lagi kapal terbang yang
hendak dinaiki lewat dan memberi kesempatan kami berbual fasal Umno. Di
celah-celah perbualan itu saya menyebut fasal Teuku Adnan ingin merisik
khabar sejauh mana kebenaran apa yang diceritakan oleh ahli jawatankuasa
bahagian itu.
"Betulkah setiausaha agung Umno hendak letak jawatan"? Tanya saya.
"Dengarnya begitulah," jawabannya ringkas. Saya tidak mahu memanjangkan
persoalan dan mendiamkan diri saja. Bagi saya jawaban yang diberi
menerusi bahasa badan itu sudah cukup untuk dijadikan maklumat mengorek
perkara ini lebih lanjut.
Sementara itu dari sumber lain pula memberi tahu, katanya Teuku Adnan
juga tidak akan mempertahankan kerusi Putrajaya dalam pilihan raya akan
datang? Alasan bukan sakit tetapi katanya dia sudah dapat mengesan
pegawai kerajaan akan membuat kejutan dalam pilihan raya kali ini. Cerita mengenai Teuku Adnan ini menarik dan perlu diselidiki.
Bunuh rakan senegara, polis buru lelaki Indonesia
55 minutes ago