KUALA LUMPUR 6 September: Sasterawan Negara, Datuk A Samad Said berkata
siasatan polis langsung tiada kaitan dengan tindakannya membaca puisi di
Himpunan Janji Demokrasi pada malam ambang kemerdekaan Khamis lalu.
Sebaliknya, beliau yang lebih mesra dipanggil Pak Samad berkata,
polis banyak bertanya mengenai hal peribadi yang tidak sepatutnya
dijawab.
“Tidak ditanyakan langsung mengenai puisi. Saya fikir saya dipanggil
atas sebab puisi, tapi dalam pertemuan tadi, saya langsung tidak ditanya
mengenainya, soalan yang ditanya tiada kena mengena.
“Saya memilih untuk tidak menjawab semua soalan itu, kecuali
informasi tentang diri saya,” katanya ketika ditemui pemberita selepas
memberi keterangan di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Dang Wangi petang
tadi.
Selain Pak Samad, turut memberi keterangan adalah Pengarah Eksekutif
Pusat Kesedaran Komuniti Selangor (Empower), Maria Chin Abdullah.
Mereka hadir bersama peguam Datuk S Ambiga yang mewakili Pak Samad manakala Lathefaa Koya mewakili Maria.
Semalam, Ketua Polis IPD Dang Wangi, ACP Zainuddin Ahmad mengeluarkan
notis untuk menyiasat sama ada sasterawan itu melanggar undang-undang
dengan membaca sajak dalam perhimpunan itu mengikut Akta Perhimpunan
Aman 2012.
Menurut Ambiga, notis yang dihantar kepada Pak Samad adalah di bawah
peruntukan Seksyen 9 (5), Akta Perhimpunan Aman 2012, iaitu sebagai
penganjur perhimpunan.
“Bagaimanapun Pak Samad bukan penganjur dan notis telah ditarik balik. Keterangan hanya diberi di bawah Seksyen 112,” katanya.
Mengulas soal siasat ke atas Maria, Latheefa berkata, anak guamnya ditanya soalan-soalan yang polis sendiri mempunyai jawapan.
“Kami tidak melihat ada nilai menarik polis memanggil Maria dan Pak
Samad hanya semata-mata untuk menjawab soalan yang mereka sendiri
mempunyai jawapan.
“Ditanya mengenai sidang media pemakluman Himpunan Janji
Demokrasi…sudah ada gambar, video dan mereka tahu apa yang dicakapkan
pada sidang media itu,” katanya.
Short URL: http://www.keadilandaily.com/?p=35579
Sendiri pasang CCTV, sendiri dirakam mencuri
21 minutes ago