Oleh: Shahbudin Husin
Masalah utama yang dihadapi oleh Najib untuk meletakkan calon-calon yang
dianggap winnable tetapi berada di luar kepimpinan UMNO bahagian ialah
sikap-sikap kebanyakan Ketua-Ketua UMNO Bahagian yang didapati masih
kemaruk untuk bergelar YB walaupun sudah menjadi wakil rakyat lebih
daripada dua penggal.
Mereka ini didapati masih belum bersedia memberi ruang kepada orang lain
mengganti-pakai gelaran YB itu walaupun Najib sudah berulang kali
menyebut tentang keinginan untuk meletakkan calon yang dianggap winnable
itu.
Disebalik Najib bercakap soal winnable yang bermaksud calon baru yang
bersih serta boleh diterima rakyat, wakil-wakil rakyat lama ini tetap
juga beranggapan mereka juga adalah winnable walaupun dalam pilihanraya
lalu kemenangan yang diperolehi sekadar cukup makan sahaja.
Di Selangor, wakil-wakil rakyat lama yang terdiri daripada pemegang
jawatan Ketua Bahagian dan lain-lain jawatan dalam UMNO didapati masih
ghairah melobi dan menonjolkan diri dengan harapan dipilih lagi sebagai
calon pilihanraya.
Selain Dr. Khir Toyo yang masih menghadapi kes mahkamah dan mengumumkan
mahu berundur, didapati tiada pemimpin lain yang berbuat demikian.
Mereka bukan saja didapati masih ghairah melobi untuk menjadi calon
tetapi beberapa wakil rakyat Selangor juga sudah mengadakan pertemuan
sulit di Jakarta untuk membentuk 'kesatuan' bagi membolehkan mereka
melakukan desakan yang lebih mantap dan tersusun kepada pucuk pimpinan.
Dengan melakukan komplot sehingga ke Jakarta bagi membolehkan terus
dipilih sebagai calon pilihanraya, bermakna harapan pucuk pimpinan untuk
meletakkan calon-calon winnable yang berada di luar kepimpinan UMNO
Bahagian pastinya melalui jalan sukar dan tidak mustahil hanya tinggal
angan-angan saja.
Difahamkan antara perbincangan yang dibuat selain mendesak untuk terus
dipilih sebagai calon, mereka juga turut menyentuh mengenai proses
pemilihan UMNO yang akan diadakan selepas pilihanraya nanti.
Di Johor pula, beberapa wakil rakyat yang sudah lebih tiga penggal
memegang jawatan itu turut didapati masih ghairah melobi dan tidak
segan-segan bercerita tentang hasrat mahu terus bertanding dalam
pilihanraya akan datang ini.
Sebahagian daripada mereka juga didapati makin rancak memasang kain
rentang di seluruh pelusuk kawasan masing-masing memuji-muji kepimpinan
Najib dengan pelbagai ungkapan manis sambil meletakkan gambar mereka
bersebelahan dengan Perdana Menteri di kain rentang tersebut.
Keadaan ini tentunya tidak lain adalah didorong oleh keghairahan yang
tidak pernah padam untuk terus menjadi wakil rakyat. Dan sekali lagi
keghairahan ini turut menyukarkan kemasukan calon-calon baru yang
dianggap winnable untuk dipilih sebagai calon pilihanraya.
Di Sabah juga keadaan yang sama berlaku di mana sebahagian besar wakil
rakyat UMNO sedia ada secara terbuka menyatakan keinginan untuk terus
bertanding.
Di sebuah negeri di utara pula berlaku keadaan yang lebih terbuka di
mana beberapa wakil rakyat yang terdiri daripada pimpinan UMNO Bahagian
bukan saja meluahkan hasrat untuk terus menjadi calon, bahkan terdapat
yang menggambarkan kemungkinan untuk bertanding sebagai calon Bebas jika
diketepikan oleh UMNO.
Tinjauan secara rambang di semua negeri sebenarnya mendapati kebanyakan
wakil rakyat yang terdiri daripada Ketua Bahagian dan pemegang lain-lain
jawatan dalam UMNO masih mahu terus menjadi calon walaupun menyedari
usia mereka makin meningkat dan sudah pun merasai nikmat
beberapa penggal menjadi wakil rakyat.
Pimpinan UMNO Bahagian ini langsung tidak peduli soal kemenangan UMNO
dan BN secara keseluruhannya, apatah lagi mahu memberi ruang kepada
calon-calon baru menjadi wakil rakyat. Apa yang difikir dan diusahakan
ialah memastikan mereka terus dipilih sebagai calon pilihanraya.
Dalam hal ini Najib sudah tentu serba salah kerana jika Ketua Bahagian
dan wakil-wakil rakyat yang sudah lama terus dipilih sebagai calon ia
akan menyukarkan impian kemenangan yang ingin digapai kerana rakyat akan
menilai Najib gagal dalam transformasinya serta tidak mengotakan janji
untuk meletakkan calon-calon baru yang dianggap winnable.
Di sisi yang lain, jika Ketua Bahagian terlalu ramai diketepikan ia
mungkin pula menjejaskan kedudukan Najib dalam pemilihan UMNO selepas
itu, terutama jika UMNO dan BN cuma menang tipis saja dalam PRU 13
nanti. Ketua-ketua Bahagian yang diketepikan ini kemungkinan akan
bersuara lantang mendesak agar Najib mengundur diri dan digantikan
dengan pemimpin lain.
Soalnya mampukah Najib menjadi seorang yang tegas dan tidak tunduk
kepada pelbagai karenah yang ditimbulkan oleh wakil-wakil rakyat usang
serta pimpinan UMNO Bahagian ini sedangkan selama ini beliau sudah dicop
sebagai Perdana Menteri paling lemah dalam sejarah Malaysia? (SH
17/07/2012).
61 Muslim ditahan kerana hina Islam sejak 2020
1 minute ago