Monday, 9 July 2012

Debat Guan Eng-Soi Lek II: MCA tiada hujah bernas

PETALING JAYA, 8 JULAI: Setiausaha Agung DAP Lim Guan Eng telah mendedahkan kegagalan MCA untuk melaksanakan dasar yang baik bagi masyarakat Malaysia amnya dan kaum Cina khususnya kerana terikat dengan politik kaum yang semakin tidak relevan di tanah air.
Berikut adalah beberapa isu utama yang dibangkitkan oleh Guan Eng, merangkap Ketua Menteri Pulau Pinang, sewaktu debat di antara beliau dan Presiden MCA Datuk Seri Dr Chua Soi Lek yang diadakan di Sunway Convention Centre di sini hari ini.

1. Najib perlu berani berdebat dengan Anwar

“Kita berkumpul di sini untuk menentukan dasar parti manakah yang lebih boleh memberi manfaat kepada rakyat Malaysia. Seharusnya, satu perbahasan patut diadakan di antara Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak dan Ketua Pembangkang Datuk Seri Anwar Ibrahim. Malangnya Perdana Menteri enggan berbahas dengan Anwar. Adakah Najib enggan berbahas dengan Anwar kerana beliau bimbang selepas perbahasan, rakyat akan membuat pernilaian bahawa Anwar lebih layak menjadi Perdana Menteri Malaysia?”

2. MCA tidak layak bercakap tentang dasar negara

“Malah, MCA tidak layak untuk berada di sini untuk bercakap soal dasar kerana bukan MCA yang menentukan dasar, tetapi UMNO yang menentukan dasar. MCA hanya mengaku bercakap bagi kaum Cina. Ia berbeza dengan DAP. DAP bersuara untuk semua orang Malaysia: Melayu, Cina, India, Kadazan dan Iban, kerana kita semua rakyat Malaysia, bukan macam MCA, yang kononnya mahu mewakili orang Cina sahaja.

“Mengapakah mesti kita terus dipecahbelahkan mengikut kaum dan agama? Inilah kejayaan terbesar UMNO. Mereka mahu kita takut satu sama lain supaya BN boleh terus merompak harta dan kekayaan Malaysia. Tengoklah skandal lembu dan kondo. Pak cik yang ternak lembu sepanjang masa tidak dapat pinjaman berjuta-juta ringgit, tapi keluarga menteri yang tak pernah ternak lembu boleh mendapat pinjaman RM250 juta. Jangan-jangan orang Singapura yang ada banyak kondo nak datang ke Malaysia belajar macam mana ternak lembu di kondo.

“Skandal PKFZ sebanyak RM12.5 bilion telah melibatkan pemimpin tertinggi MCA tetapi ahli politik yang aktif tidak dibawa ke mahkamah. Skandal ini juga ditulis dalam satu buku PKFZ: A Nation’s Trust Betrayed oleh seorang bekas ADUN MCA sendiri. Semua skandal ini MCA tidak bersuara tetapi sokong buta sahaja.”

3. DAP berjuang untuk semua kaum

“Kita harus bersatupadu sebagai anak Malaysia. Kalau kita terus dipecahbelahkan, hanya kroni-kroni dan orang-orang ataslah yang untung. Kalau kita bersatupadu, baru dapatlah kita semua menikmati hasil kejayaan ekonomi Malaysia. Mengapakah hanya pemimpin Melayu yang boleh membela hak orang Melayu, hanya pemimpin Cina yang boleh membela hak orang Cina? Tibalah masanya untuk pemimpin-pemimpin membela hak semua rakyat Malaysia dan membantu satu sama lain.”

4. Kerajaan yang bersih

“DAP percaya bahawa kerajaan yang bersih dapat berfungsi lebih baik daripada kerajaan yang korup. Kerajaan yang bersih memerlukan tender terbuka, kontrak terbuka, kebebasan maklumat dan pengisytiharan harta perdana menteri, menteri, menteri besar dan ketua menteri. Mengapa kerajaan pusat tidak mengikut contoh kerajaan negeri Pulau Pinang yang telah mengisytiharkan aset kepada umum? Adakah kerana para pemimpin BN mempunyai terlalu banyak aset untuk disembunyikan?”

 
5. Kejayaan kerajaan Pakatan Rakyat Pulau Pinang

“Kejayaan sebuah kerajaan yang bersih terserlah di kerajaan-kerajaan negeri Pakatan Rakyat. Di Pulau Pinang, kita telah mencatatkan lebihan bajet setiap tahun walaupun perbelanjaan Kerajaan Negeri dinaikkan sebanyak 55%. Kita membuat jalan, longkang, rumah mampu milik dan taman hijau.

“Berbanding dengan hutang Kerajaan Persekutuan yang naik ke RM480 bilion pada 31 Mac 2012, beban hutang Negeri pula dikurangkan sebanyak 95% daripada RM630 juta kepada RM30 juta, yang merupakan lagi satu rekod dalam sejarah Malaysia.

“Ini membolehkan wang bantuan diberikan kepada warga emas, ibu-bapa dan pelajar-pelajar sekolah dan IPTA, ibutunggal dan OKU. Semua sekolah pelbagai aliran diberikan peruntukan setiap tahun, dan bukan lima tahun sekali atau lima puluh tahun sekali, seperti BR1M RM500, yang menimbulkan soalan macam mana seorang datuk MCA dari Pahang pun boleh menerima RM500 yang diberikan kepada keluarga susah.

“Pulau Pinang merupakan negeri pertama di Malaysia yang menghapuskan kemiskinan tegar dan kita akan menjadi negeri pertama yang menghapuskan kemiskinan sama sekali menjelang 2015. Pulau Pinang juga merupakan negeri pertama yang memberikan WiFi percuma kepada rakyat di tempat-tempat awam di Pulau Pinang.

“Ada mereka yang telah mengatakan bahawa sekiranya Pakatan Rakyat melaksanakan tender terbuka, maka orang Melayu akan rugi. Tetapi di Pulau Pinang di bawah kerajaan Pakatan Rakyat, 70% daripada tender-tender terbuka telah dimenangi oleh kontraktor Melayu yang berkeupayaan. Ini membuktikan bahawa kontraktor Melayu memang berdaya saing. Sebenarnya, yang tidak berguna hanyalah kontraktor dan kroni UMNO dan BN.”

6. Hentikan kezaliman, kekejaman dan ketidakadilan

“Mari kita ambil kembali hak kita daripada kroni-kroni BN dengan menghapuskan tol Lebih Raya Utara-Selatan dan menarik balik subsidi yang diberi kepada pengeluar tenaga bebas (IPP). Kita juga tidak boleh lagi membiarkan salah guna kuasa di mana rakyat Malaysia mati sewaktu dalam tahanan, seperti apa yang berlaku kepada Teoh Beng Hock, Ahmad Sarbaini dan A. Kugan. Kita mesti tubuhkan IPCMC untuk menghentikan kejadian seperti ini.

Kita tidak boleh lagi membiarkan kaum wanita sentiasa takut untuk berjalan-jalan dan meletakkan kenderaan dengan penuh ketakutan. Kita tidak boleh menerima lagi dasar yang meletakkan untung lebih utama daripada kesihatan dan nyawa rakyat. Mari kita tutup loji nadir bumi Lynas di Kuantan dan menghentikan pembinaan loji nuklear yang dicadangkan oleh BN.”

7. Jangan pinggirkan hak rakyat di Sabah dan Sarawak

“Jangan dibiarkan rakyat Sabah menjadi orang asing di bumi sendiri di mana pendatang asing tanpa izin diberi kerakyatan. Kita perlu ada suruhanjaya diraja untuk menghapuskan masalah ini. Jangan dinafikan hak Sabah dan Sarawak untuk menikmati hasil sumber alam sendiri yang hanya diberi 5% royalti minyak. Kita patut tambah royalti kepada Sabah dan Sarawak menjadi 20%.”

8.  Hak untuk semua

“Kita tidak boleh lagi menerima manipulasi dan pecah perintah rakyat mengikut kaum dan agama. Kita perlu bersatu atas prinsip-prinsip bersama iaitu keadilan, kebebasan dan demokrasi. Kita mesti pastikan rakyat dari kaum minoriti seperti Datuk Ambiga Sreenevasan, Pengerusi Bersama Bersih, yang diugut, diancam dan diganggu kerana beliau adalah dari kaum India, beragama Hindu dan seorang wanita.”
 
9. Kaum bukan faktor perpecahan tetapi politik perkauman BN perlu ditentang

“Sekiranya Pakatan Rakyat menang, calon yang paling layak akan menjadi Perdana Menteri, iaitu Datuk Seri Anwar Ibrahim. PAS, PKR dan DAP telah pun bersetuju hal ini. Jangan kita biarkan Barisan Nasional terus memperalatkan isu perkauman anti-bukan-Melayu hanya untuk mengekalkan kuasa. Adakah ini menguntungkan rakyat apabila BN tak mahu jawab mana pergi RM52 bilion  saham yang sepatutnya diberikan kepada orang Melayu dan bumiputera miskin?

“Barisan Nasional akan menggunakan perkauman untuk menakutkan kita kerana mereka sudah tiada isu lagi. Jangan kita menakutkan diri sendiri dan terus menyokong sebuah kerajaan yang bersifat kroni dan rasuah. Hanya dengan perubahan kepada ketuanan rakyat dan bukan ketuanan UMNO barulah kita boleh bebaskan diri daripada rasuah dan hidup bermaruah.

10. Inikah jasa MCA?

“Adakah Menteri Pengangkutan telah menjalankan tugasnya untuk memastikan semua lapangan terbang dan pelabuhan kita diuruskan dengan baik? Mengapa Lapangan Terbang Antarabangsa Pulau Pinang telah 3 kali dilewatkan pembinaannya? Mengapa Pelabuhan Pulau Pinang mahu diturunkan taraf kepada pelabuhan pengantara sahaja dan diswastakan pula pihak ketiga yang akan memangsakan rakyat di negeri Pulau Pinang? Mengapa tidak ada rundingan dengan rakyat di Pulau Pinang? Sebaliknya, Menteri Pengangkutan lebih berminat dengan nombor plet kereta, terutamanya plet yang bernombor WWW 15.

“Menteri Pelancongan pula merasakan tidak ada salahnya untuk membelanjakan RM1.8 juta untuk membuat Facebook sedangkan kita semua tahu itu boleh dilakukan dengan percuma!”

“Menteri Kesihatan mahu mengswastakan perkhidmatan kesihatan dan harga ubat pula akan menjadi mahal dengan membelinya dari orang tengah. Sedangkan kita semua tahu ia boleh dibeli terus daripada pembuatnya dengan harga yang lebih murah, dan ada antara mereka yang beroperasi di Malaysia. Mengapa terjadi begini?”

“Menteri Perumahan dan Kerajaan Tempatan pula menghalang usaha kita mahu menghidupkan kembali pilihan raya kerajaan tempatan, justeru menafikan hak rakyat Malaysia untuk memilih sendiri wakil ahli majlis dan datuk bandar kita.”

Mahu ke mana BN?

Apabila soalan daripada Datuk Seri Chor Chee Heung, Menteri Perumahan dan Kerajaan Tempatan, ditujukan kepada Guan Eng, beliau turut mengakui berlaku “ketirisan” RM26 bilion, menyebabkan Guan Eng member reaksi: “Inilah kali pertama saya mendengar seorang menteri mengakui bahawa korupsi dalam kerajaan telah mengakibatkan kerugian RM26 bilion!”

Guan Eng juga menjelaskan kerajaan negeri Pulau Pinang telah membina 3,000 unit rumah mampu milik sejak 2008 melalui PDC dan akan membinca 18,000 unit lagi tidak lama lagi.

Selain itu, Ketua Menteri Pulau Pinang juga menjelaskan bahawa kerajaan Pakatan terpaksa mewarisi masalah dan kelemahan kerajaan BN dahulu, termasuk membayar hutang tertunggak.

Malah, katanya, laporan media kononnya kerajaan Pakatan telah merosakkan bukit-bukit di Pulau Pinang adalah tidak benar, terutama menyedari hakikat bahawa media massa dikawal oleh UMNO-BN.

Apabila Guan Eng bertanya kepada hadirin, “Siapa yang menguasai akhbar The Star (yang melaporkan bukit-bukit telah dirosakkan di Pulau Pinang)?”, ratusan suara bergema: “MCA!”.

Setiausaha Agung DAP itu turut mengingatkan rakyat bahawa jika “kita berjaya hapuskan korupsi, BN akan musnah. Jika kita tidak hapuskan korupsi, Malaysia akan musnah.” – Roketkini.com
Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...
There was an error in this gadget

TERIMA KASIH KERANA MENG"KLIK"...

Blog Pro PR (1)