.

Friday 4 May 2012

Politik Mafia

Oleh Izmil Amri

Jarang kita jumpa orang yang tidak suka kepada filem The Godfather. Bahagian pertama siri adaptasi novel-novel Mario Puzo arahan Francis Ford Coppola ini adalah epitome filem mafia sepanjang zaman. Hanya mungkin digugat kursinya itu oleh filem lain seperti Scarface, yang juga dibintangi oleh Al Pacino.

The Godfather, jika dibaca tulisan asal Puzo adalah dokumentasi keluarga-keluarga mafia Sicily yang membuka gerai operasinya di kota New York lewat tahun 40-an. Sicily sebuah pulau yang kalau dilihat pada peta Itali seakan ditendang keluar oleh keseluruhan negara itu yang bentuk topografinya seakan kasut but. Di sini ada himpunan bangsa-bangsa Eropah yang mendiam di kota-kota Palermo dan Corleone setelah berhijrah dari Turki dan Greek melalui jalan laut.

Struktur ‘keluarga’ mafia Itali berdiri atas paksi ukhwah. Bunyinya agak tidak enak, untuk menggabungkan ukhwah dan mafia dalam satu ayat, tetapi itulah dia asimilasi budaya assabiyah Arab ke dalam organisasi mafia, hatta undang-undang besar menyimpan rahsianya yang disebut omerta itu lahir daripada konsep Qurani yang menyuruh supaya tetap teguh seperti apa yang telah diperintahkan.

Mafia di sana, mafia di sini
United Malays National Organisation berdiri atas prinsip-prinsip ini. Ya, ini tuduhan yang besar, tetapi tidak sama sekali negatif. Struktur organisasi sarang labah-labah dan punya ayahanda ini bukan sahaja kedapatan di dunia balik sini, malah jauh di sebelah sana juga. Sebagaimana orang Arab punya syaikh qabilah, demikian juga orang Sicily punya budaya ‘godfather‘nya; dan kita orang Melayu pula punya Ayahanda. Ini fitrah insani. Harus punya pemimpin dan tempat berpaut untuk dapat perlindungan dan memastikan kemandirian.

The Godfather bermula dengan kisah seorang pengurus jenazah berbangsa Sicily yang anak perempuannya cuba dirogol oleh dua lelaki Amerika. Seperti kebiasaan perempuan Sicily yang disebut jauh lebih bahaya berbanding lupara senjata Itali, anak gadis pengurus jenazah ini mempertahankan kehormatannya dan melawan. Oleh sebab itu dia dipukul dua lelaki ini yang akhirnya apabila dibawa ke muka pengadilan tidak pula mendapat hukuman setimpal.

Ayahnya berang dan berkeputusan untuk pergi menemukan keadilan pada pengaruh dan kuasa ‘Ayahanda’ Vito Corleone, sang Godfather yang punya ramai anak buah dan menyimpan politisi dan hakim-hakim di koceknya sepertimana kita menyimpan duit syiling. Disuruhnya bunuh kedua lelaki yang menyepak terajang anak gadisnya, tetapi Don Corleone ini meski kejam. masih punya rasa adil saksama.

“Anak gadis kau masih hidup,” katanya. “Itu tidak adil,” ujarnya pada cadangan untuk dibunuh dua lelaki itu.
Hemat yang begini jarang-jarang kita ketemu di dalam struktur politik mana-mana parti politik di Malaysia. Menurut sesetengah pihak, politisi disaran menonton siri drama TV bermutu tinggi berjudul ‘Three Kingdoms’ atau San Guo dalam bahasa Mandarin; supaya mudah-mudahan beroleh ilmu mengatur strategi daripada Zhuge Liang. Saranan ini terpakai jika yang mahu ditawan itu wujud dalam skala besar, seperti contohnya, sebuah negara kota.

Namun demi menawan hati dan memenangi konflik runcit-runcitan yang punya potensi membelon besar, siri kisah Mafia seperti The Godfather adalah filem yang baik untuk mengungkap metodologi yang tepat dan cerdik dalam menguruskan situasi. Kelicikan mafia ini tampak jelas sebenarnya pada modus operandi partai pemerintah. Kurang digunakan di kalangan partai yang mahu memerintah.

Ini kasihan. Sungguh pun kalau nampak gasar dan kurang adab, metod mafia tetap berkesan. Seperti halnya menghidang kepala kuda tersayang kepada pemiliknya seorang pengarah produksi filem yang keras kepala. Ya, caranya gasar dan menakutkan; tetapi tetap memberi impak dan keputusan yang dimahukan.

Kejam di sana, lucah di sini

Sama halnya seperti operasi melucahkan Pakatan Rakyat seperti yang sedang dibuat perkakas dan aparat regim pemerintah hari ini. Terbaru dengan mendedahkan gambar-gambar yang kononnya aksi ghairah Ahli Parlimen Gombak yang juga Timbalan Presiden Parti Keadilan Rakyat, Azmin Ali di dalam jamban. Kita tidak hairan sebenarnya dengan kerja-kerja kotor begini. Ia biasa saja. Malah usaha demikian wajar diketawakan kerana dibuat secara tidak bersungguh.

Usaha tidak bersungguh tidak digemari oleh mafia Sicily. Niat membunuh karakter dengan gambar-gambar tidak jelas hanyalah layak mendapat gred C untuk ‘effort‘. Dan usaha begini bukan baru, malah sudah menjadi kelaziman UMNO dan aparatnya yang hanya bermodalkan lendir dan nafsu, serta persepsi masyarakat terhadap tuduhan kegilaan seksual politisi Pakatan Rakyat.

Seolahnya politisi dan pimpinan mereka di balik sana itu suci murni bagai rahib yang tersudut di mihrab mengaji kitab dan memuji Tuhan.

Anak Setiausaha Agung DAP juga tidak terselamat dari kancah kejahatan politik lucah UMNO ini. Dituduhnya budak itu meraba-raba buah dada. Seronok dia dengan permainan politik begitu. Namun akhirnya tuduhan kekal tuduhan, berakhir sebagai fitnah yang tidak dibuktikan, dan UMNO sekadar bermain dengan persepsi. Dan permainannya itu pula dibuat berulang kali.

Cumanya propaganda politik lucah ini UMNO menyalahi prinsip Goebbels. Bagi Menteri Propaganda parti Nazi itu, pembohongan yang diulang sehingga menjadi kebenaran itu bukanlah skandal lucah, tetapi indoktrinasi, seperti menyebarkan propaganda bahawa bangsa Arya itulah umat terpilih paling mulia. Ya, itu pembohongan yang diulang sehingga berjaya menjadi kepercayaan bangsa itu sendiri.

Justeru tilikan UMNO tidak begitu tepat apabila berterusan menyebarkan fitnah seksual terhadap pemimpin-pemimpin parti Pakatan Rakyat. Sekali, orang mungkin percaya. Dua kali, orang sudah tak selera. Tiga kali, orang mula meluat sampai muntah-muntah.

Namun barangkali ini sekadar caranya mengalih fokus umum daripada tawaran gaji minimanya yang memalukan, atau kekejaman polis ke atas demonstran dan wartawan, atau kes skandal kapal selam yang sedang rancak dibicarakan di kota Paris.

Alangkah kasihan mafia video lucah di Malaysia. – Roketkini.com

3 comments:

ANDA KOMEN ANDA TANGGUNG

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...

TERIMA KASIH KERANA MENG"KLIK"...

Bloglist