.

Sunday 20 May 2012

Hadi akan cari calon pengganti sebelum berundur, kekal tidak bertanding PRU

KUALA LUMPUR, 20 Mei — Presiden PAS, Datuk Seri Abdul Hadi Awang kekal dengan keputusannya untuk tidak akan bertanding dalam pilihan raya akan datang walaupun kepimpinan PAS dan Pakatan Rakyat (PR) memintanya mengkaji semula keputusan tersebut.

Hadi sebaliknya berkata, beliau sendiri akan mencari calon terbaik bagi menggantikan dirinya untuk bertanding di kedua-dua kerusi yang didudukinya di kawasan parlimen Marang dan juga kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) Rhu Rendang.

"Jika mereka tidak berpuas hati dengan calon pilihan saya, saya akan terus mencari. Saya bertanggungjawab dalam hal ini dan akan terus mencari calon yang sesuai hingga mereka melepaskan saya," kata pemimpin veteran PAS berusia 65 tahun ini.

Hadi  dilantik menjadi Presiden selepas menggantikan Datuk Fadzil Noor yang meninggal dunia pada 2002.
Beliau mengharapkan parti dan rakan PR akan menghargainya memandangkan beliau telah berkhidmat sebagai wakil rakyat selama 30 tahun dan empat penggal sebagai Ahli Parlimen
.
Hadi yang pernah tewas pada 2004 berkata, beliau telah terlalu lama dalam politik dan telah tiba masanya untuk beliau berundur.

Dipetik akhbar The Sunday Star, Hadi dalam temuramah khas di pejabat agung PAS di sini menjelaskan, dirinya letih kerana perlu menjelajah ke seluruh negara.

"Saya penat. Sebagai presiden, saya perlu melawat ke seluruh negara. Sebagai wakil rakyat, saya perlu melawat kawasan saya.

"Saya rasa seperti mengabaikan kawasan saya kerana saya perlu berjauhan dengan Terengganu. Jadi lebih baik jika ada orang yang menggantikan saya," katanya.

Saya harap akan terus dibenarkan untuk fokus dalam hal ehwal parti," tambahnya yang akan mengekalkan kerusi presiden.

Hadi turut mempertahankan keputusan parti komponen PR itu untuk memindahkan Naib Presiden PAS, Salahuddin Ayub ke Johor daripada Kelantan dalam pilihan raya umum akan datang.

"Kami memutuskan Salahuddin akan bertanding di Johor. Ia menunjukkan perkembangan positif. Sebagai Naib Presiden, saya percaya beliau mampu untuk bekerjasama dengan pemimpin di sana," katanya.

Bagaimanapun, Hadi menjelaskan partinya belum membuat keputusan sama ada Ahli Parlimen Kubang Kerian itu akan bertanding kerusi parlimen ataupun DUN, atau kedua-duanya di negeri kubu kuat Umno tersebut.

Selain itu, Hadi turut menjelaskan PR sudah bersiap sedia untuk menghadapi pilihan raya umum dengan hampir 80 peratus senarai nama calon sudah lengkap./~TMI
Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...

TERIMA KASIH KERANA MENG"KLIK"...

Bloglist