Wednesday, 4 January 2012

Pakatan Rakyat Akan Hilang 4 Kerusi Di Wilayah Persekutuan?

Oleh : Suara Pakatan Rakyat





MAKLUMAT dalaman dari UMNO memberitahu penulis bahawa Barisan Nasional (BN) menjangkakan Pakatan Rakyat akan hilang sekurang-kurangnya 4 kerusi parlimen di Wilayah Persekutuan dalam pilihanraya umum yang akan datang.

Kerusi pertama ialah Parlimen Lembah Pantai yang kini diwakili Naib Presiden PKR, YB Nurul Izzah Anwar.

Disebalik tanggapan banyak pihak bahawa BN akan mengekalkan Datuk Seri Shahrizat Abdul Jalil (yang juga bekas penyandang) sebagai calon mereka dikawasan tersebut, sumber tersebut memaklumkan penulis bahawa BN akan mencalonkan Datuk Seri Nong Chik Raja Zainal Abidin yang juga Ketua Bahagian UMNO Lembah Pantai.

BN menjangkakan, Nong Chik mampu menang dikawasan tersebut dengan majoriti sekitar 3000 undi. Jangkaan ini adalah berdasarkan tinjauan pendapat di kalangan penduduk yang rata-rata tidak berpuas hati dengan Nurul Izzah yang dikatakan jarang berada di kawasan tersebut memberi khidmat kepada rakyat kerana lebih mengutamakan program ceramah di merata negara.

Nurul Izzah juga banyak meninggalkan tugas-tugas membantu rakyat di kawasan tersebut kepada pegawai di pusat khidmatnya. Itupun, dengan perletakkan jawatan M. Parthiban selaku pegawai pusat khidmat Lembah Pantai sejak 2008 baru-baru ini menambahkan lagi tekanan untuk PKR mengekalkan kerusi di kawasan tersebut.

PKR juga dikatakan menyedari hal ini dan ada besar kemungkinan Nurul Izzah dipindahkan ke Parlimen Batu.

Kerusi kedua yang dijangka terlepas ke tangan BN ialah kerusi Titiwangsa yang dahulunya dimenangi Allahyarhamuha Dr. Lo’lo Haji Mohd. Ghazali dari parti PAS yang mengalahkan calon BN, Datuk Aziz Jamaludin bin Haji Mohd Tahir dengan majoriti 1,972 undi.

BN kali ini dijangka menurunkan Datuk Johari Abd Ghani yang juga Pemangku Ketua Bahagian UMNO Titiwangsa yang dikatakan mempunyai pengaruh yang cukup kuat dikawasan tersebut.

Selain dari pernah menjawat pelbagai jawatan dalam sektor korporat, antaranya KFC Holding, Johari juga adalah anak jati Kuala Lumpur yang lahir dikawasan setinggan Kampung Pandan pada 1964. Statusnya sebagai anak tempatan kawasan tersebut menjadikan penerimaan masyarakat terhadap Johari begitu baik sekali.

Selain itu Johari juga mendapat sokongan tidak berbelah bagi dari 2 bekas Ahli Parlimen dan Ketua Bahagian UMNO kawasan tersebut iaitu Datuk Drs Suleiman Mohamad dan Datuk Astaman Aziz walaupun pada asalnya Drs. Sulaiman dikatakan mahu meletakkan anak lelakinya sebagai calon.

Tapi sumber memaklumkan penulis bahawa hasil dari kaji selidik yang dijalankan, anak lelaki Drs. Suleiman tidak menepati ciri-ciri winnable candidate yang dimahukan pucuk pimpinan parti. Dengan itu membuka peluang seluas-luasnya kepada Johari untuk bertanding di kawasan tersebut tanpa tentangan dari sesiapa termasuk Drs. Sulaiman sendiri yang khabarnya menerima hasil kaji selidik tersebut dengan baik.

Datuk Johari juga dikatakan bijak menggunakan sepenuhnya kekosongan yang ditinggalkan Allahyarhuma Dr. Lo’lo sejak jatuh sakit untuk memberi khidmat kepada rakyat. Apatah lagi bila petugas di Pusat Khidmat Titiwangsa juga dikatakan gagal memberikan khidmat yang sepatutnya kepada kawasan tersebut sejak ketiadaan Dr. Lo’lo.

Walaupun begitu, kerana pengaruh Allahyarhuma Dr. Lo’lo yang masih kuat di kawasan tersebut, Datuk Johari dijangka akan menang dengan majoriti tipis (sekitar 1000 undi atau kurang).

Kerusi ketiga ialah Parlimen Wangsa Maju yang kini disandang wakil rakyat bebas, Wee Choo Keong yang memenangi kerusi tersebut pada 2008 atas tiket PKR.

BN dijangka mencalonkan Datuk Shafei Abdullah yang juga Ketua Bahagian UMNO Wangsa Maju bagi menggantikan calon MCA yang tewas dalam pilihanraya umum yang lepas. Dikenali sebagai seorang yang agresif menjalankan program kebajikan dan kemasyarakatan, Shafei akan menyambung semula tradisi penguasaan UMNO dikawasan tersebut yang dilepaskan kepada MCA akibat dari persempadan semula pada 2008.

Jawatan Shafei sebagai Setiausaha Politik Menteri Kewangan yang juga merangkap Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak dikatakan memberi kelebihan kepada Shafei untuk mengukuhkan kedudukannya dikawasan tersebut termasuk membawa ‘boss’nya itu turun ke kawasan tersebut sekitar tahun 2010 yang lepas.

Shafei dikatakan amat berkeyakinan untuk merampas semula kerusi itu dari Wee Choo Keong yang dijangka akan mempertahankan kerusi tersebut dibawah bendera bebas, seterusnya menyaksikan pertandingan 3 penjuru (BN, PKR & Bebas) dalam pilihanraya umum yang akan datang.

Kerusi terakhir diintai BN ialah kerusi Parlimen Bandar Tun Razak yang kini diwakili Menteri Besar Selangor, YAB Tan Sri Khalid Ibrahim.

Dikhabarkan bahawa pimpinan Pakatan Rakyat tidak akan mencalonkan semula Khalid di kawasan ini dan akan menamakan calon baru dari parti PKR juga. Bandar Tun Razak dikatakan berada dalam kedudukkan ‘selamat’ berikutan pergolakan dalaman UMNO bahagian tersebut disamping MCA yang mewakili kawasan itu sebelum ini tidak banyak bergerak.

Dengan keadaan demikian, mungkinkah UMNO akan membuat kejutan disitu?

Kemungkinan itu ada kerana penulis mendapat khabar bahawa dalam Pilihanraya Umum Ke-13 yang akan datang, BN akan menurunkan salah seorang adik Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak sebagai calonnya dikawasan tersebut untuk menggantikan calon dari MCA.

Strateginya ialah mendapatkan simpati penduduk kawasan berkenaan yang dinamakan dengan nama bapanya yang juga Perdana Menteri kedua.

Selain dari itu, adik Najib yang bakal dicalonkan ini, bebas dari sebarang kontroversi selain disenangi oleh semua pemimpin UMNO dan MCA di kawasan berkenaan.

Penulis harap maklumat dalaman ini berguna dalam menyediakan Pakatan Rakyat dengan strategi yang betul dan berkesan bagi mengekalkan penguasaan kita di Wilayah Persekutuan.










Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...
There was an error in this gadget

TERIMA KASIH KERANA MENG"KLIK"...

Blog Pro PR (1)