PENULIS sambut baik keinginan Presiden PAS, Datuk Seri Abdul Hadi Awang untuk mengundurkan diri dari bertanding dalam pilihanraya akan datang. Taun Guru juga membayangkan untuk melepaskan semua jawatan dalam parti PAS dan membuka jalan kepada muka-muka baru.
Penulis dapat rasakan keputusan itu adalah suatu yang sukar untuk dibuat, lebih-lebih lagi dalam keadaan pilihanraya umum akan diumumkan pada bila-bila masa dari sekarang.
Walaupun begitu, penulis ingin mencadangkan agar Tuan Guru Hadi memikirkan semula keinginannya itu kerana penulis percaya kepimpinan beliau masih ditagih oleh ahli-ahli PAS khasnya dan Pakatan Rakyat amnya.
Soal umur tidak sepatutnya menjadi masalah kerana dalam Pakatan Rakyat sendiri, ada ramai pemimpin-pemimpin yang lebih berusia tapi masih diharap untuk memimpin parti masing-masing. DAP sebagai contoh masih lagi mengekalkan bukan satu tapi dua pemimpin veterannya iaitu Lim Kit Siang dan Karpal Singh.
Dalam PAS sendiri, Datuk Nik Aziz Nik Mat masih lagi ‘steady’ memimpin Majlis Syura Ulama PAS walaupun sudah menjangkau usia 80 tahun. Sedangkan Tuan Guru Hadi masih lagi berupaya untuk terus memimpin PAS dalam usia mencecah 65 tahun.
Pada penulis sendiri, Tuan Guru Hadi boleh dianggap sebagai pemimpin yang tiada tolok bandingnya yang pernah dilahirkan PAS. Walaupun pada satu ketika dilabel sebagai ulama radikal kerana dikatakan terpengaruh dengan Revolusi Iran pada lewat 70-an, Hadi sebenarnya adalah seorang yang sangat bersederhana dalam hidupnya.
Kejayaannya mengekalkan kerusi Presiden PAS tanpa bertanding selama beberapa penggal adalah bukti kepada kehebatan pimpinan beliau.
Musuh-musuh PAS seperti UMNO tidak ada banyak isu yang boleh digunakan untuk ‘menyerang’ Tuan Guru Hadi dan PAS melainkan isu-isu remeh seperti poligami dan Amanat Hadi yang sengaja dibesar dan diputarbelitkan.
Lagipun, penulis bimbang pengunduran Tuan Guru Hadi akan meninggalkan ruang-ruang kosong yang sukar diisi oleh pemimpin sedia ada di dalam parti PAS.
Kebimbangan penulis ini adalah berasaskan keadaan semasa dalam kepimpinan PAS, dimana jawatan Timbalan Presiden dan Naib-Naib Presiden PAS adalah diisi oleh mereka yang tidak punya latar belakang ulama.
Bukan menidakkan kebolehan masing-masing, tapi penulis lihat imej ulama yang telah dibina sekian lama oleh Tuan Guru Hadi sendiri, sukar untuk ditandingi sesiapa di kalangan Timbalan dan Naib Presiden sedia ada.
Sementara itu, dikalangan ulama popular dalam PAS, hanya Ketua Penerangannya, Dato’ Tuan Ibrahim Tuan Man sahaja yang dilihat paling hampir untuk menggantikan Tuan Guru Hadi. Tapi banyak pihak melihat beliau belum bersedia untuk memimpin PAS apatah lagi bila tewas dalam pertandingan merebut jawatan Naib Presiden baru-baru ini.
Perlu juga diingatkan, walaupun jawatan Presiden PAS bukanlah jawatan tertinggi dalam parti, kedudukkan jawatan tersebut masih lagi dipandang tinggi dan memainkan peranan yang sangat-sangat penting. Bukan sebarang orang yang boleh menduduki kerusi tersebut kalau setakat pandai berkopiah putih dan berjubah sahaja.
Justeru penulis berharap kepada kepimpinan tertinggi PAS yang bakal bersidang berhubung perkara tersebut dapat memujuk Tuan Guru Hadi agar memikirkan semula rancangannya untuk bersara dan kekal memimpin PAS untuk beberapa penggal lagi.