.

Friday, 13 January 2012

Akhbar Cina dan PAS

Oleh : Dr.Mujahid Yusof Rawa
Seandainya dibandingkan dengan media arus perdana Melayu, akhbar Cina sememangnya lebih bersikap terbuka dan bebas dalam memuatkan berita-berita politik, malangnya orang Melayu tidak dapat menikmati ciri-ciri ini dalam suratkhabar arus perdana seperti Utusan Malaysia dan Berita Harian. Keadaan malang ini bagi suratkhabar Melayu diburukkan dengan kata-kata sinis secara sindiran oleh mereka yang kecewa sikap pengaruh politik yang begitu jelas dalam UM dan BH sehingga mendapat jolokan Utusan Meloya dan Berita Hairan.

Saya difahamkan, secara tradisinya masyarakat Cina amat mendahagakan dan menghargai ruang kebebasan bersuara. Maka tidak hairanlah apabila satu ketika dahulu apabila syarikat besar Huaren, satu sayap perniagaan parti MCA cuba ambil alih penguasaan syarikat Nanyang, tindakan itu dikecam hebat oleh masyarakat Cina, malah edaran Nanyangmenurun kerana bantahan pembaca yang mula hilang kepercayaan dengan hilangnya kebebasan akhbar yang cuba diragut oleh cengkaman politik MCA. Budaya ini telah memberikan tamparan di pipi yang kuat kepada UM dan BH yang sebaliknya berbudayakan penguasaan politik untuk hidup. Akibatnya, penafian mendapat pemberitaan yang adil dan bebas dalam masyarakat Melayu, telah menelurkan satu aliran pemikiran satu hala dan sukar membuat penilaian yang adil dalam situasi politik tertentu.

Manakala masyarakat Cina dengan pembudayaan kebebasan pemberitaan menikmati kadar daya pilih yang lebih selesa menilai sesuatu keadaan politik. Ia dapat diperlihatkan apabila media internet sepertiMerdekaReview, Malaysiakini (edisi bahasa Cina) diwujudkan, setelah menyedari keterbatasan dalam ruang media arus perdana bahasa Cina itu sendiri. Itulah jurang kesan pemberitaan dalam kedua-kedua kelompok masyarakat di negara kita.

Namun ini bukan bermakna tidak ada masalah dalam komuniti akhbar berbahasa Cina dari sudut lain pula. Masalah ini berlaku apabila setiap kaum di negara ini telah terhubung antara satu sama lain. Maksudnya, apa yang diberikan kepada masyarakat Cina dari maklumat dan berita bukan bermakna orang Melayu tidak boleh akses maklumat daripadanya dan sebaliknya lebih-lebih lagi terkesan. Para sidang pengarang perlu meletakkan dalam perkiraan mereka bahawa setiap baris yang tertulis dalam bahasa Cina akan terbaca atau disampaikan maklumatnya kepada segmen pembaca Melayu. Kerana perkembangan ini, walaupun pembaca akhbar Cina adalah dari kalangan masyarakat Tiong Hua, kini orang Melayu pun sudah mula sensitif bahan yang dimuatkan. Khususnya PAS, kewujudan DHPP (Dewan Himpunan Penyokong PAS) adalah jambatan untuk mendapat akses dari perspektif PAS tentang apa yang dibicarakan dalam artikel-artikel bahasa Mandarin.

Perjuangan Islam tidak dapat dipisahkan dari PAS sejak dulu hinggalah hari ini. Usaha PAS meroboh tembok yang terhalang selama ini antara dirinya dan masyarakat bukan Islam telah menampakkan perkembangan yang positif. Fobia tentang retorik Islam PAS kini sudah mula berkurangan di kalangan masyarakat Cina apabila PAS dilihat lebih versatile dalam pendekatannya, apatah lagi kesungguhan PAS melahirkan sayap bukan Islam adalah sebenarnya satu pengiktirafan kepada bukan Islam untuk turut serta dalam cita-cita dan hasrat PAS.

Tonggak utama kebimbangan bukan Islam khusunya masyarakat Cina ialah isu negara Islam yang pada hemat mereka adalah amat menakutkan apatah lagi konsep negara Islam itu disudutkan kepada perlaksanaan undang-undang hudud yang amat "mengerikan" itu. Parti MCA dan Gerakan banyak menyumbang kepada menyempitkan Islam yang diperjuangkan oleh PAS di kalangan masyarakat mereka. Malah isu negara Islam=Hudud terus menjadi bahan sensasi untuk melarikan pengundi Cina dari menyokong PAS. Media cetak perdana bebahasa Cina tidak kurang memainkan peranan isu ini samada secara jujur untuk memahamkan pembacanya atau sebaliknya. Kalau sebelum ini apa yang diberitakan tentang fobia negara Islam dan ketakutan mereka kepada Hudud tidak diendahkan oleh PAS, tetapi kini PAS turut memantau segala isu ini dan cuba untuk membawa pemikiran yang tepat di dada-dada akhbar surat khabar Cina atau sekurang-kurangnya membuka akses yang terus bagi menjelaskan kekeliruan yang berlaku.

Baru-baru ini tersiar artikel tentang perlaksanaan undang-undang Islam dalam Nanyang Siang Pau bertarikh 27,28 dan 29 Disember 2011. Tidak keterlaluan kalau saya mengatakan artikel bersiri itu dalam beberapa hal tidak mewakili pandangan Islam sebenarnya tentang perlaksanaan Hudud apatah lagi imej yang dipaparkan boleh menimbulkan pertikaian tentang motifnya dan hubungkaitnya dengan keadilan Islam. Terganggu dengan artikel ini saya berasa terpanggil untuk menjelaskan keadaan, apatah lagi isu ini berkait rapat dengan perjuangan PAS. Saya khuatir salah tafsir dan paparan akan memantulkan imej negatif tentang Islam dan apa yang PAS lakukan dalam konteks Islam yang lebih dinamik dan progresif serta demokratik.

Dalam pertemuan 5 Januari tempoh hari, saya bersama Taufiq dari Negeri Sembilan telah membuat kunjungan muhibbah ke pejabat Nanyang Siang Pau dan telah membuka saluran dialog dengan harapan berbagai kekeliruan dan fobia negara Islam=Hudud dapat diatasi bersama. Pertemuan itu penting dan membawa petunjuk kepada hubungan PAS dan akhbar Cina dalam bentuk penglibatan positif yang selama ini terpisah atas sebab-sebab bahasa dan budaya.

Amat menarik untuk diamati bahawa bahasa dan budaya turut memainkan peranan dalam memahami bagaimana Islam dan isu-isunya digambarkan dalam alam lingua bahasa Mandarin. Karakter tulisan yang digunakan dan istilah yang cuba diterjemahkan kadang-kadang boleh membawa makna yang berlainan. Sebab itulah akses PAS dan akhbar Cina hari ini amat penting untuk PAS memahamkan kepada komuniti editorial mereka supaya memahami istilah Islam dan yang berkaitan dengannya dari ruh asal bahasanya dan bukan dari ruh bahasa yang menterjemahkannya. Saya akur bahawa tidak semua bahasa dapat menterjemahkan secara tepatnya sesuatu istilah tetapi mungkin dengan hubungan baru ini editorial akhbar Cina dapat memunggah lagi khazanah bahasa Mandarin dan menggali istilah yang lebih dinamik dalam memahamkan pembacanya tentang Islam dan secara tidak langsung membentuk frasa dan perbendaharaan kata yang unik dalam konteks Malaysia yang Islam merupakan raison detere yang diterima oleh semua rakyat Malaysia hari ini.

*Dr.Mujahid Yusof Rawa adalah ahli parlimen Parit Buntar, merangkap Pengerusi Perpaduan Nasional PAS.

1 comment:

ANDA KOMEN ANDA TANGGUNG

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...

TERIMA KASIH KERANA MENG"KLIK"...

Bloglist