Monday, 23 November 2009

Siapa Selepas Tok Guru Nik Aziz? | Nizar News

SATU - Puteri nabi Syuib mencadangkan kepada bapanya supaya mengambil nabi Musa bekerja kerana dia ‘qawiy - kuat’ dan ‘amin - amanah’. Sifat ‘kuat’ nabi Musa terbukti semasa dia secara berseorangan mengangkat penutup telaga yang biasanya hanya mampu diangkat oleh beberapa orang lelaki yang gagah untuk memberi minum kambing-kambing puteri nabi Syuib. Selepas mengangkatnya, dia beredar dan berehat jauh daripada kedua-dua puteri nabi Syuib itu. Musa tidak mengambil kesempatan di atas kelemahan mereka. Itulah ‘amanah’ nabi Musa.

Semasa nabi Sulaiman menawarkan kepada tenteranya mengenai usaha membawa singgahsana Balqis ke hadapannya, jin ifrit bersedia membawanya sebelum nabi Sulaiman bangun dari tempat duduknya. Namun ada seorang lelaki alim bersedia membawanya sebelum mata nabi Sulaiman berkelip. ‘Kepantasan bekerja’ yang ada pada orang alim itu disyukuri oleh nabi Sulaiman.




Nabi Yusof ditawarkan oleh raja Mesir dengan jawatan di dalam kabinet kerajaan itu. Nabi Yusof memohon diberikan jawatan menteri kewangan. Katanya, dia mampu memikul tugas itu dengan baik kerana dia seorang yang ‘hafiz - bijak mengawal’ dan ‘alim - bijak ekonomi’.

DUA - Kelantan bergolak lagi. Kali ini dengan isu salah seorang exco kerajaan negeri itu yang katanya, ada usaha untuk menggulingkannya. Saya rasa pergelokan Kelantan dalam isu ini sukar diredakan. Ini bukan isu TGNA ditaja ke Mekah, atau isu PMBK, isu Ariffahmi atau Azidi, tetapi ini adalah isu siapakah bakal menggantikan TGNA sebagai MB?

Penggal ini dilihat umum sebagai penggal terakhir TGNA sebagai MB Kelantan. Biasanya, MB adalah Pesuruhjaya PAS negeri. Dan biasanya juga, salah seorang daripada tiga Timbalan Pesuruhjaya PAS negeri akan dilantik mengambil tempat Pesuruhjaya.

Bakal Pesuruhjaya PAS negeri pula bukan dipilih oleh bekas Pesuruhjaya tetapi oleh Presiden. Sekiranya bekas Pesuruhjaya itu masih ada, dia mungkin boleh mencadangkannya kepada Presiden, namun semuanya terletak di tangan Presiden. Mendapat restu AJK PAS Pusat pun, dalam perkara ini hanyalah ‘formality’ sahaja.

Justeru, siapakah yang bakal dipilih oleh Presiden sebagai Pesuruhjaya PAS Kelantan? Juga, sebagai MB Kelantan selepas TGNA? Nyata perkara ini bukan mudah tetapi rumit, sukar, sulit, rencam, sensitif dan …

TGNA dan PAS Pusat tidak boleh menunggu sehinggah saat-saat akhir, atau menyerah kepada keadaan mengenai individu yang layak menggantikan TGNA. Dan, TGNA juga dipercayai telah ada di dalam kepalanya orang yang bakal menggantikannya.

Siapa pun orang itu, ciri-ciri yang dimiliki oleh Musa, Yusof dan orang alim pada zaman Sulaiman hendaklah dimilikinya.

Orang itu hendaklah alim, walau pun tidak sealim TGNA tetapi sekurang-kurangnya dia tahu untuk bertanya dan merujuk kepada orang alim. Maksudnya, dia tahu bila sepatutnya dia bertanya dan bila pula dia tidak perlu bertanya kepada orang alim.

Dia juga hendaklah kuat dan amanah serta pantas dan cekap bekerja. Dia tidak perlu sepantas lelaki alim pada zaman Sulaiman, tetapi dia perlu tangkas untuk mendepani perubahan dan keperluan.

TIGA - Apa pun, sesiapa sahaja boleh menawarkan diri ke jawatan itu seperti Yusof menawarkan dirinya, menunjukkan kebolehan sendiri seperti orang alim pada zaman Sulaiman melakukannya dan melahirkan kekuatan dan amanah seperti yang dilakukan oleh Musa.

Yusof menawarkan dirinya kerana dia tahu dia memang mampu melakukannya. Orang alim pada zaman Sulaiman pula terus melakukannya sebaik sahaja memaklumkan bahawa dia mampu melakukannya sementara nabi Musa pula melakukannya tanpa sebarang niat untuk menarik perhatian atau meminta balasan.

Kalau ciri-ciri nabi Musa, orang alim zaman Sulaiman dan nabi Yusof ada pada mana-mana salah seorang exco Kelantan sekarang, bagi saya itulah orang yang layak menggantikan TGNA. Dan, yang paling mustahak, hendaklah orang itu bukan orang Umno.

http://bongkarsauh.blogspot.com/
Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...
There was an error in this gadget

TERIMA KASIH KERANA MENG"KLIK"...

Blog Pro PR (1)