.

Sunday 8 November 2009

Seminar PAS : SETELAH MENDUNG BERARAK PERGI | Nizar News

Oleh : Drs Harun Jaafar

Seminar Memperkasakan PAS telah selamat diadakan pada 7 November 2009. Fakta-fakta yang diperoleh daripadanya menyerlahkan kematangan politik parti Islam itu. Namun demikian, masih kedengaran unsur penafian yang minimum daripada beberapa orang pemimpin. Sikap yang diwarisi daripada UMNO ini perlu dikikis dengan segera. PAS perlu berlapang dada menerima kritikan, tidak kira sepedas mana pun.

Ada pihak dalam PAS yang sanggup menggugurkan pemimpin mereka asalkan tidak wujud sistem dua parti, iaitu BN dan PR. Namun, majoriti perwakilan menerima pandangan agar PAS menjadi anggota bersekutu sesuai dengan rumusan bahawa golongan muda mahu PAS menjadi anggota bersekutu PR.

Di sebalik semua fakta itu, PAS dikatakan menghadapi kemerosotan sokongan golongan muda; banyak blog yang sebelum ini menyokong PAS sudah mengambil pendirian atas pagar; serta ramai orang Melayu tawar hati terhadap PAS kerana lebih mengikut telunjuk DAP dan PKR.

Hadi menegaskan bahawa PAS mahu mengukuhkan kerjasama demi kemenangan Islam. Beliau turut membayangkan PAS mampu berdiri sendiri. Alasan yang diberikan ialah PAS banyak pengalaman. Oleh sebab itu, PAS bukan sahaja berupaya menjadi pembangkang malahan juga mentadbir negeri secara bersendirian.

Penyokong PAS dalam kalangan bukan Muslim pula mengemukakan tiga perkara, iaitu:

(1) PAS jangan bersikap angkuh dan sombong sehingga meminggirkan ahli KPP yang bertungkus-lumus memenangkan PAS dalam PRU Ke-12;

(2) Orang Melayu tidak berpecah. Perpecahan orang Melayu adalah propaganda UMNO untuk menarik sokongan orang Melayu termasuk penyokong PAS; dan

(3) Terdapat dua kategori Melayu. Pertama, yang bertakwa dan menyokong perjuangan Islam. Kedua, menyokong perjuangan UMNO.

Pada akhir seminar, lima resolusi telah dimuktamadkan, iaitu:

(1) Mengukuhkan PR dan meningkatkan persiapan menghadapi PRU Ke-13;

(2) Meningkatkan sokongan bukan Muslim melalui penubuhan KPP di setiap kawasan;

(3) Memantapkan pendirian dan menguatkan parti berdasarkan informasi pada peringkat akar umbi di seluruh negara;

(4) Meningkatkan semula sokongan golongan muda serta menyegarkan unit amal secara komprehensif melalui peningkatan modul sedia ada; dan

(5) Menyediakan pelan tindakan kempen nasional yang bertemakan "PAS untuk Semua".

Namun demikian, cakap-cakap belakang ternyata cuba menggambarkan Hadi dapat mengukuhkan kedudukannya. Fenomena itu memberi tamparan hebat kepada Nik Aziz. Turut diseret dalam kancah itu ialah Kumpulan Erdogan yang didakwa menyokong Anwar dan tidak menyukai Hadi. Kumpulan itu dikatakan selamat selagi ada Nik Aziz.

Kita perlu menyelongkar semua isu yang dibangkitkan sepanjang seminar itu dan ulasan selepasnya dari pelbagai sudut sebelum membuat penilaian yang adil. Sistem dua parti semakin hampir menjadi kenyataan dalam politik Malaysia. Pihak yang rasa tercabar dengan kemunculan sistem itu ialah BN. Sehubungan itu, isu ini dimomokkan dalam media yang menyokong UMNO bagi mengelirukan ahli PAS. Pada masa yang sama, tujuannya adalah untuk mengelabui isu sebenar, iaitu kewujudan pemimpin yang beramasalah dalam PAS.

Melalui pendirian tegas untuk menutup rapat pintu kerjasama dengan UMNO dan menutup kemas isu kerajaan perpaduan, parti kebangsaan Melayu itu membangkitkan isu Erdogan dan memperlekehkan kewibaan Nik Aziz. UMNO silap besar apabila menggunakan kedua-dua isu itu untuk melaga-lagakan para pemimpin PAS. Nik Aziz berada dalam kelasnya yang tersendiri kerana diterima baik oleh ahli parti dan pemimpin bukan Muslim dalam PR. Kedudukan Hadi juga semakin mantap dan diterima oleh majoriti ahli PAS kerana berani menyatakan pendirian tentang komitmen terhadap PR dan menguburkan isu kerajaan perpaduan.

Kini PAS berada di landasan yang betul untuk memacu kejayaan sendiri khasnya dan kejayaan PR amnya. Berdasarkan kenyataan bahawa politik baru bertempur melalui idea, sudah sampai masanya untuk PAS memberi tumpuan kepada pengurusan persepsi. Hal ini wajib dilakukan kerana pada abad ini persepsi boleh ditukar menjadi informasi.

Pada masa yang sama, PAS tidak boleh leka dengan kejayaan PRU Ke-12 kerana dibimbangi undi protes menjadi punca utama kemenangan mereka. Sokongan berdasarkan protes tidak dapat bertahan lama. Melalui kerajaan-kerajaan negeri yang dikuasai PR, PAS bersama DAP dan PKR wajib menunjukkan kemampuan menjadi parti alternatif yang lebih baik daripada UMNO/BN.

Seperkara lagi yang wajib diberi perhatian adalah jangan biarkan kenyataan-kenyataan seperti dalam perenggan keempat di atas terus subur menjadi senjata tajam yang menghiris keyakinan ahli terhadap PAS. Tafsir yang sengaja disalahkan melalui pengemukaan kenyataan tersebut hendaklah dibidas secara bijaksana sebelum syak-wasangka rakan-rakan memunahkan impian murni PR . _Tinta Mutiara


***JOM SERTAI PROGRAM BANTU MEMBANTU SESAMA INSAN.. SILA KLIK***


..
Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...

TERIMA KASIH KERANA MENG"KLIK"...

Bloglist