Sunday, 1 November 2009

Isu EGM Dan Seminar PAS Oleh Khalid Samad | Nizar News

Isu EGM dan Seminar

Dengan berbagai isu yang begitu hangat diperkatakan seminggu dua ini, ramai yang bertanya ke mana telah saya menghilang. Sebenarnya saya tidak ke mana-mana tetapi berbagai program menyebabkan saya tidak berpeluang untuk menulis dan berkongsi pandangan saya dalam isu-isu ini. Semenjak bermulanya mesyuarat ketiga, penggal kedua Dewan Rakyat, kebanyakkan masa di antara Isnin hingga Khamis telah digunakan sepenuhnya untuk persiapan Parlimen. Di samping itu, saya juga telah berkesempatan menghadiri program-program berikut sepanjang minggu ini:


•Selasa 27 - Forum ISA di Dewan Perhimpunan Cina, Kuala Lumpur anjuran SUARAM.
•Rabu 28 - Program Ceramah PAS cawangan Palm Grove Klang bersama masyarakat India.
•Khamis 29 - Majlis Makan Malam PKR Johor dan Ceramah PAS Kawasan Pulai, Johor.
•Jumaat 30 - Tazkirah dan Khutbah Jumaat di Masjid Al-Huda Seksyen 19 Shah Alam dan Ceramah PKR di Kuala Terengganu.
•Sabtu 31 - Jambori Jabatan Amal Malaysia 2009 di Sungai Besar dan Ceramah PAS di Teluk Intan [Link 2]

Terima kasih kepada semua pihak yang telah menjayakan program-program tersebut. Dalam pada itu, perbahasan Bajet 2010 masih tidak sempat disiapkan sepenuhnya lagi...!

Namun, persoalan yang saya kira amat memerlukan penjelasan di kala ini ialah isu EGM yang telah ditukar kepada Seminar Politik beserta siasatan JK Disiplin. Oleh itu 3 perkara inilah yang ingin saya ulas pada hari ini. Untuk makluman semua, saya tidak hadir mesyuarat yang diadakan pada hari Rabu malam Khamis tersebut kerana saya bukan AJK PAS Pusat. Oleh yang demikian, ulasan saya adalah berhubung keputusan yang dibuat yang telah pun diketahui umum.

Sebelum itu saya ingin ucapkan tahniah kepada TGNA atas ketegasan beliau yang mana hasil dari desakan beliau supaya diadakan EGM, maka mesyuarat khas ini telah diadakan dengan kadar segera. Jika tidak kerana desakan tersebut, besar kemungkinan semuanya akan berjalan dengan begitu sahaja dan rintihan rakyat bawahan termasuk ahli PAS sendiri berhubung masalah persepsi masyarakat terhadap PAS akan berlalu begitu sahaja. Syabas dan tahniah TGNA.

Kedua saya juga ingin ucapkan syabas kepada TGHH kerana pantas mengadakan mesyuarat khas tersebut. Ianya merupakan bukti TGHH amat menghormati pandangan dan kedudukan TGNA sebagai Mursyidul ‘Am. Kepimpinan tertinggi PAS memahami di antara tugas MA ialah memantau perjalanan PAS dan di dalam proses memantau itu, MA berhak menegur dan memberikan pendapat beliau sekiranya terdapat gambaran bahawa PAS telah terlajak ataupun tergelincir dari apa yang telah dipersetujui bersama.

Oleh itu, tanggapan bahawa TGNA telah tersilap atau terlanjur dalam menjalankan fungsi beliau sebagai MA adalah satu tanggapan negatif yang ingin disebarluaskan oleh UMNO/BN dan kuncu-kuncu mereka.

Syabas dan tahniah juga kepada TGHH atas keputusan yang tuntas dibuat melalui mesyuarat khas tersebut yang telah memutuskan 3 perkara seperti berikut:-

1.Seminar Politik akan diadakan pada 7 November 2009 di Markaz Tarbiyyah PAS Gombak. Seminar ini adalah seminar peringkat kebangsaan di mana perwakilan dari setiap kawasan seluruh negara akan turut hadir.
2.Persoalan PAS Selangor akan ditangani oleh Jawatan Kuasa Disiplin dan
3.PAS tetap bersama PR dan akan terus memperkukuhkan PR.

Berdasarkan 3 keputusan tersebut di atas, maka boleh saya rumuskan bahawa isu yang telah dibangkitkan oleh TGNA tidak ‘dimatikan’ begitu sahaja dan itulah yang saya maksudkan dengan ‘The problem is not being swept under the carpet’, tetapi sebaliknya ditangani melalui 3 TINDAKAN yang wajar dan saya kira amat munasabah.

PERTAMA: Seminar Politik
Seminar Politik ini akan melibatkan ahli hingga ke peringkat akar umbi melalui perwakilan dari setiap kawasan. Dari sudut kehadiran, ianya bagaikan EGM tetapi bezanya ianya lebih menumpu kepada usaha penjelasan dan bukan tindakan pemecatan atau rombakan pimpinan. Penjelasan yang akan diberi semestinya akan tertumpu kepada persoalan-persoalan yang telah dibangkitkan oleh TGNA berhubung persepsi rakyat terhadap arah tuju PAS dalam mencorak demensi baru politik tanah air. Di antara pembentang kertas kerja berhubung persoalan ini ialah Professor Dr. Abdul Aziz Bari! Ini telah dipersetujui dan diputuskan di dalam mesyuarat berkenaan.

Maka apakah maknanya ini semua? Cuba kita imbau kembali dan fikirkan bersama. Fakta-fakta isu ini adalah seperti berikut:-


•Isu EGM yang dicadangkan TGNA berpunca dari kritikan Professor Dr. Abdul Aziz Bari yang tersiar di dalam Sinar Harian.
•Mengikut apa yang ditulis Prof Aziz, di antaranya, TGHH dan beberapa pimpinan utama PAS yang disebut oleh Prof Aziz, perlu diganti oleh kerana tidak bertindak ke atas pemimpin tertentu yang banyak menimbulkan persepsi negatif terhadap PAS. Ketiadaan tindakan menghasilkan andaian bahawa pimpinan-pimpinan utama yang disebut adalah pro-UMNO!
•Apakah reaksi PAS? Oleh itu, PAS telah bersetuju menganjurkan Seminar dan menjemput Professor berkenaan untuk membentangkan hujjah-hujjah beliau kepada seluruh ahli PAS!

Maka jelas ini merupakan satu bukti yang amat nyata akan sikap keterbukaan PAS dan kesediaan pimpinan PAS untuk ditegur serta kesediaan menerima pendapat umum. Respon pimpinan bukan untuk mendesak ahli wala’ secara membabi buta tetapi sebaliknya menggambarkan seruan kepada semua, sehingga ke peringkat setiap kawasan, agar mendengar dan menilai apa yang hendak disampaikan. Teliti hujjah-hujjah beliau, pengkritik kita dan nilaikan dan pertimbangkan bersama. Tidak perlu respon dengan emosi yang hanya layak bagi sebuah parti yang tidak matang seperti UMNO.

Dengan mengambil langkah demikian, bagi teguran-teguran yang dapat dipersetujui, PAS akan mengambil tindakan untuk mengatasinya. Dalam masa yang sama, bagi hujjah yang tidak dipersetujui, PAS akan nyatakan kepada beliau, terima kasih, tapi berpendapat sebaliknya berdasarkan hujjah-hujjah yang tertentu.

Yang penting, pandangan yang dikemukakan, walaupun kritis, didengari dan dipertimbangkan sewajarnya. Ini menjamin kefahaman ahli berhubung isu yang dibincangkan dan memastikan kewajaran tindakan-tindakan yang seterusnya.

KEDUA: siasatan ke atas PAS Selangor oleh JK Disiplin
Ini juga merupakan satu tindakan yang wajar. Ia membuktikan bahawa PAS Pusat memahami bahawa isu-isu yang dibangkitkan adalah amat penting, yang mana hingga tindakan disiplin mungkin diperlukan. Saya difahamkan bahawa banyak aduan telah diterima oleh JK tersebut dengan besertakan bahan-bahan bukti dalam bentuk rakaman ucapan dan sebagainya. Kebanyakkan dari bukti-bukti ini telah pun menjadi pengetahuan umum.

Yang penting ialah selepas menerima aduan-aduan ini, JK Disiplin perlu mengadakan siasatan dan kesimpulan yang terhasil dari siasatan ini haruslah dikemukakan kepada semua supaya tidak akan lagi timbul andaian bahawa tindakan diambil mengikut sikap ‘pro ini’ atau ‘pro itu’. JK Disiplin perlu sedar bahawa bukan sahaja ahli PAS sedang memerhatikan tindakan PAS dan cara PAS menangani isu ini, tetapi juga rakan-rakan PAS di dalam PR dan seluruh pemerhati politik Malaysia. Dengan itu amat penting agar tiada usaha ‘cover-up’, sikap ‘favoritisme’ atau pilih kasih sepertimana di dalam UMNO, yang mengamalkan budaya politik yang semakin jelas ditolak rakyat negara ini. Dengan itu, proses ini akan mampu menghantar satu mesej yang jelas bahawa PAS merupakan satu parti politik yang berprinsip serta berdisiplin dan para pemimpin, walau popular mana sekalipun, tidak terlindung dari sebarang tindakan.

Dalam pada itu, ada yang menyingkap istilah ‘Ahli Badr’ yang merupakan istilah yang digunakan terhadap para sahabat yang telah turun berperang di dalam perang Badr Al-Qubra. Mereka menikmati layanan yang sedikit istimewa dari Rasulullah (SAW). Di antaranya, seperti kisah perutusan surat oleh Khatib ke Makkah sebelum pembukaan kota Makkah yang sekiranya ‘tergelincir’ sehingga kesetiaannya telah dipersoalkan. Maka hakikat bahawa mereka juga ‘Ahli Badr’ telah disebut sebagai hujjah bagi membela golongan ini. Turun semasa Badr merupakan ujian serta bukti keimanan dan kesetiaan yang tidak boleh dipertikaikan.

Namun begitu, perlu diingat. Mereka tetap ditegur dan tindakan mereka yang ‘tersilap’ atau ‘tergelincir’ telah diakui tersilap dan tergelincir. Ianya tidak dipertahankan sama sekali. Mereka hanya lepas dari tindakan hukuman dan disiplin atas sebab pengorbanan mereka sebelum itu tetapi tindakan mereka tetap diakui silap dan tidak lagi diteruskan.

Perlu juga diingat bahawa pengorbanan mereka diketengahkan sebagai bukti kesetiaan mereka oleh pembela mereka, bukan mereka sendiri!

Pada masa yang sama ada juga kisah Khalid Al-Walid yang diturunkan pangkat demi menjamin persepsi masyarakat tidak terseleweng sehingga menjejas aqeedah ummat Islam pada masa itu perlu juga dijadikan iktibar. Maka jelas persepsi masyarakan adalah penting. Walaupun persoalan yang kita hadapi sekarang tidak melibatkan persepsi yang boleh menjejas keimanan, ia melibatkan persepsi terhadap sebuah gerakan Islam, samada ia jujur dan ikhlas dalam persahabatannya terhadap masyarakat Islam dan bukan Islam.

Dengan suasana dan persekitaran politik yang sebegini di mana ramai, khususnya yang bukan Islam, mula mempersoalkan kejujuran PAS di dalam PR, JK tersebut perlu membuktikan bahawa PAS sememangnya bersungguh-sungguh bersama dengan PR sebagai alternatif kepada BN.

KETIGA: pengisytiharan PAS tetap bersama PR dan akan terus kukuhkan PR
Pengisytiharan ini menyediakan semua, termasuk ahli PAS, bahawa PAS sanggup mengambil tindakan terhadap sesiapa juga yang menjejaskan kerjasama PAS di dalam PR. Tindakan yang menjejas kekukuhan PR perlu dihentikan dan harus disekat. Sesiapa yang terus menjejaskan kekukuhan PR, walau setinggi mana sekalipun jawatan beliau, akan dikenakan tindakan yang sewajarnya.

Akhir sekali, timbul persoalan, bagaimana pula dengan EGM? Pada saya, EGM ini merupakan satu pilihan yang ‘evergreen’ atau sentiasa wujud. Sekiranya seminar dan JK Disiplin tidak bertindak sepertimana sepatutnya dan ‘Kukuhkan PR’ hanyalah menjadi seperti cogankata 1Malaysia ‘Rakyat di dahulukan…’, maka EGM merupakan satu tindakan yang tetap boleh dipertimbangkan bersama.

WaLlahu 'Alam
KHALID SAMAD

Sumber : http://www.khalidsamad.com/2009/11/isu-egm-dan-seminar.html
Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...
There was an error in this gadget

TERIMA KASIH KERANA MENG"KLIK"...

Blog Pro PR (1)