.

Showing posts with label TGNA. Show all posts
Showing posts with label TGNA. Show all posts

Saturday, 5 December 2009

KITA DOA HINGGA PECAH PERUT | Nizar News

Ungkapan ini keluar dari mulut Tuan Guru Nik Aziz (TGNA) dalam ucapannya semasa perhimpunan menyokong kepimpinannya diadakan di tapak kuliah hari Jumaat di Kota Bharu.

Muhyiddin yang tergamam dengan soalan wartawan mengenai perkara itu tidak tahu berkata apa-apa mungkin kerana ketakutan dan kerisauan yang amat sangat. Kita perlu tahu bahawa sudah banyak kali pemimpin UMNO terperangkap dengan strategi politik TGNA.

Namun, setelah diasak banyak kali oleh wartawan, Muhyiddin tetap mengulang perkara yang itu-itu juga dan menutup rapat realiti sebenar seperti yang dimaklumkan oleh para pemimpin PAS.

Rakyat Malaysia, terutamanya penduduk Kelantan sudah tahu dengan sejelas-jelasnya sikap para pemimpin UMNO terhadap pemberian royalti petroleum kepada negeri mereka dan betapa paradoksnya apabila penerima hasil memberi wang ehsan kepada penyumbang hasil. Suatu hal yang tidak pernah berlaku dalam mana-mana negara di dunia. Inilah dasar 1 Malaysia, rakyat didahulukan, pencapaian diutamakan!!!

Secara tersirat, para pemimpin UMNO menerima kenyataan bahawa Kelantan wajar menerima royalti petroleum sebanyak 5 % daripada PETRONAS. Walau bagaimanapun, hati busuk mereka mengatakan tidak payah diberi royalti itu.

Sebabnya mudah sahaja. Kelantan yang dikuasai PAS akan membangun dengan megahnya, mungkin mengatasi negeri-negeri maju yang lain di Malaysia, seandainya royalti petroleum sebanyak 5 % itu berada dalam tangan ahli-ahli ekonomi Kerajaan Negeri Kelantan.

Rakyat tahu Terengganu, Sarawak, dan Sabah sudah lama dapat wang itu. Berapa banyak jumlahnya tiada sesiapa yang mengira. Namun, kadar kemiskinan tegar di negeri-negeri tersebut berada pada tangga pertama, kedua, dan ketiga terbanyak.

Rakyat sedih melihat data kemiskinan tegar yang dikeluarkan oleh menteri di parlimen dari masa ke masa. Situasinya tidak pernah berubah. Minyak yang dikeluarkan semakin kurang hari demi hari. Inilah akibatnya apabila wang berada dalam tangan perasuah. Berada dalam tangan orang yang tidak amanah. Berada dalam tangan orang yang hanya mementingkan diri sendiri dan kroni.

Barangkali TGNA sudah terlalu penat memikirkan masalah yang bukan sahaja tidak pernah selesai dalam pentadbiran dan pemerintahan UMNO/BN itu malahan semakin bobrok dan menjijikkan. Jika keadaan ini diambil kira, TGNA wajar mengeluarkan gesaan itu.

Maka jika itu sahaja jalan yang tersedia untuk menyelesaikan masalah, penyokong-penyokong PAS khasnya dan penyokong Pakatan Rakyat amnya, perlulah akur dan mempraktikkan seruan itu. Jangan bertangguh lagi. Lakukanlah secara beramai-ramai atau bersendirian setiap hari.

Doa orang yang teraniaya akan dimakbulkan. Itu janji Allah. Pihak yang dilaknatkan tidak perlu risau dan takut jika yakin dengan sepenuh hati diri mereka berada di pihak yang benar. _ Tinta Mutiara

Tuesday, 24 November 2009

Garam dan usia adalah guru MB Kelantan | Nizar News

Oleh ANUAL BAKRI HARON

MAHKLUK bernama 'usia' penuh dengan keajaiban. Ia sebuah program perjalanan genetik yang berada dalam khazanah kehidupan. Ia tidak dapat dielakkan. Bagaikan tabii sebuah perahu yang menghilir, ia perlahan mengalir.


Adakala, ia tersangkut awal dan boleh kekal terhenti. Ada masanya, ia boleh terhenti sementara dan mengalir lagi untuk juga berhenti di tengah... Hanya orang yang ditakdirkan panjang usianya saja yang akan terus mengalir; rapat hingga kehujung.Hujung boleh bermakna 100 tahun misalnya. Dalam perjalanan merempuh tebing dan melayan selekoh di liku-liku cabaran hidup itulah orang yang berusia mengumpul garam.Garam itulah yang mengasingkan antara orang yang bijaksana dengan yang kurang. Tentu sekali air yang dalam lebih jernih.

Dalam banyak hal, kematangan banyak tertakluk kepada usia. Jika tidak, masakan junjungan besar kita Nabi Muhamad SAW dilantik dalam usia empat puluh tahun. Jika itulah had minimum bermulanya usia kepimpinan yang sihat maka itulah dalilnya.

Namun, ini tidak bermakna yang pemimpin tidak boleh lahir lebih awal. Namun, jika kita bercakap soal “bench marking” dari isyarat yang digaris oleh langit, maka inilah idealnya. Bermula dari usia itu, Rasulullah SAW menerima wahyu-wahyu suci. Di sana kita dapat saksikan betapa faktor kewarasan memainkan peranan.

Dalam usia awal dewasa (early adulthood) yakni antara umur 20-39 tahun atau disebut juga sebagai zaman vicenarian/tricenarian ini, manusia terlalu tinggi digerakkan oleh nafsu ammarah,emosi dan kecintaan untuk memenuhi kegelojohan cita-cita. Dunialah, apa lagi! Tanpa perimbangan dan kawalan agama, tamaknya akan sering melanggar tebing. Ia kerap terbabas.

Jika dia seorang pemimpin parti atau organisasi dan kurang berhati-hati, dia akan banyak merempuh tembok amanah dan melanggar pelbagai disiplin yang barangkali dia sendiri yang rangkakan.

Kadangkala, atas nama ghairah berdakwah, dia terlalu rajin mengingatkan anak buah tetapi dialah orang yang pertama melanggari kata-kata dari kuliahnya. Kemudian, dia lazimnya sibuk dan banyak membakar masa produktifnya untuk mempertahankan kesalahan diri dari kubu persembunyiannya yang bernama ego. Dalam mabuk kuasa dan popularity itulah, dia memalukan dirinya. Ini akan terbukti dalam jangka panjang.

Manakala, usia pertengahan dewasa antara 40-59 tahun atau disebut sebagai tahap Quadragenarian/Quinquanarian pula adalah usia pembenihan dan pertumbuhan bakat kepimpinan yang terbaik.

Zaman yang dikenali sebagai renaissance kewarasan ini adalah zaman yang subur dengan gelora sumbangan. Dengan bekal taqwa, ilmu dan keikhlasan, seorang mukmin sejati akan dapat disaksikan kegemilangan akhlaknya yang terpuji sewaktu menangani apa jua isu seputar amanah yang dipikulnya. Dia lazimnya berprestasi tinggi.

Bagaikan kemuliaan seekor penyu, dia akan menelurkan ribuan jasa tanpa diriuhinya akan kehadiran 'sayanya'. Dia adalah air yang senuh se tin. Keakuan dan ketrampilannya dipendamkan serahsia mungkin tetapi di sana orang seakan-akan tahu dia adalah sebutir geliga yang tergilap.

Tanpa mengocak loceng kehadiran, sentuhannya masih terasa. Tangannya mungkin tidak kelihatan tetapi cakar-cakar amal yang mulia dari sentuhan dan tinggalan jasanya ada di terkesan di mana-mana.

Membelek muka surat profil Tok Guru Nik Abdul Aziz, kita boleh menemui catatan-cacatan keajaiban seumpama ini di sana sini. Sejak tahun 1967, sewaktu parti saingan galak menangkap ulama’, berbekalkan keyakinan, keimanan dan keberanian, beliau telah mewaqafkan usianya kepada gerakan Islam.

Jika PAS mengasaskan Kepimpinan Ulama’ seawal tahun 1982, maka dialah pancang dan tunggulnya. Dan, dia masih unggul; tetap tercegat setia berdiri di situ hingga sampai ke hari ini.

Demikian, sebuah nilai istiqomah. Sewaktu PAS berjalan di dalam pelita; di tengah-tengah hembusan nafas pihak musuh yang sentiasa termuncung-muncung, mahu memadamkan api kebenaran itu, Tok Guru nekad membelah malam. Dia tetap tekun untuk sabar berperahu.

Dalam usia pertengahan dewasa yang di kategorikan oleh pengkaji sebagai usia gemilang itulah, Tok Guru benar-benar menepati perjalanan teori. Akhirnya, dalam usia kira-kira 58 tahun, barulah beliau ditakdirkan oleh Allah menduduki kerusi Menteri Besar.

Rupanya, dari tahun 1967-1990, selama 23 tahun, Tok Guru Nik Abdul Aziz telah menjalani satu tempoh tarbiyyah amali penuh kepayahan memimpin jemaah sebelum beliau di lantik CEO untuk sebuah kerajaan.

Sebelum kecemerlangan beliau terserlah, beliau dijeruk ke dalam tempayan ujian yang cukup menguji terlebih dahulu. Beliau dihujani dengan lembing fitnah dan ungkit umpatan. Beliau berembun di pelana pagi, setiap kembali dari kuliah di jauh malam.

Beliau cuma bermula dengan sebuah motor Honda Cub dan bukan dengan kenderaan 4 wheel. Inilah yang dikatakan sebagai proses perjalanan usia. Kewarasan kepemimpinannya tidak datang percuma. Tidakkah hikmah itu barang yang hilang.

Lazimnya, apa yang hilang perlu di cari?

Sesungguhnya, di sana ada sebuah madrasah yang bernama 'the making of Nik Abdul Aziz'. Jika orang mahu naik dengan sekedar bersandar dibahunya atau berkonspirasi untuk menjatuhkannya, maka percayalah. Orang atau orang-orang itu tidak akan kekal lama justeru ia menyalahi segala hukum dan protokol pembikinan biasa kelahiran seorang pemimpin. Kata pepatah Inggeris, 'usually a true leader is not born. It is made'.

Jika kita semak kisah Nabi Allah Yusuf Alaihissalam misalnya, kita akan cepat menangkap keunikan Yusuf yang didewasakan melalui pelbagai ujian. Usialah yang menjadi latar tempat dan masa bagi tumbuhnya benih kepimpinan. Sekurang-kurangnya,Nabi Yusuf a.s. telah diuji dalam sembilan keadaan iaitu:

a) Menjadi sasaran kebencian saudara-saudaranya.

b) Berpisah dengan keluarga.

c) Dibuang ke sumur dalam usia 12 tahun.

d) Dijual dan menjadi hamba sahaya.

e) Digoda dan dirayu wanita.

f) Dituduh memperkosai isteri Perdana Menteri.

g) Dipenjara selama 9 tahun.

h) Mendapat kekayaan dan kenikmatan yang melimpah. i) Memaafkan saudara-saudaranya.

Menyemak sejarah Mahatma Gandhi, kita boleh temui proses kematangan yang dilalui beliau melalui lorong usia yang hampir sama. Mari kita amati fakta-fakta ini.

a) Dalam usia 13 tahun, beliau dipaksa berkahwin dengan seorang perempuan bernama Kasturba.

b) Dalam usia 19 tahun beliau meninggalkan tanah air bagi menyempurnakan Ijazah Undang-Undang.

c) Beliau berjanji pada ibunya untuk tidak minum arak, berzina, dan tetap menjadi Vegetarian sepanjang menimba ilmu di London.

d) Pada tahun 1891, beliau kembali ke tanah air dan memulakan langkah permulaan kerjayanya di Bombay dan Rajkot.

e) Pada tahun 1893, beliau telah berhijrah ke Selatan Afrika untuk menegakkan keadilan di sana. Beliau menetap di sana selama 12 tahun dan menubuhkan satu parti Natal India Congress untuk memulihkan kehidupan rakyat India di sana mengikut hak-hak keadilan dan tanpa pencabulan hak asasi manusia.

f) Pada 1914, beliau kembali ke tanah air, dan menubuhkan Satyagraha Ashram berhampiran Ahmedabad. Dipengerusikan oleh G.K.Gokhale dan Lokmanya Tilak, beliau telah menjelajah ke seluruh pelusuk negara untuk mendengar ceramah-ceramah yang disampaikan oleh golongan professional. Selepas itu, beliau mulalah menjejakkan kaki di dalam kancah politik.

g) Beliau memperkenalkan tiga gerakan dengan satu matlamat untuk bebas daripada peraturan dan undang-undang British. Yang pertama ialah Non-Cooperation Movements, objektif penubuhannya adalah untuk mengembalikan keamanan di tempat itu melalui pemboikotan barangan-barangan yang diimport, mahkamah British dan sekolah-sekolah di bawah pentadbiran British, dan menggalakkan penggunaan barangan tempatan.

h) Yang kedua, ialah dengan menggerakkan Civil Disobedience Movement yang telah ditubuhkan pada 6 April 1930. Sebagai permulaannya Gandi March atau 'Satyagraha' telah digunakan untuk menentang Undang-Undang Garam British; dan beliau mengarahkan pengikutnya untuk menghasilkan garam sendiri.

i) Yang ketiga, beliau telah menubuhkan Quit India Movement pada tahun 1942, dengan mendesak pihak British berundur dari negara itu. Selepas pihak British berundur, India telah mencapai kemerdekaan pada 15 Ogos 1947.

j) Pada 30 Januari 1948, beliau berakhir di muncung senapang seorang communalist.

Merumuskan kepimpinan Gandhi, Pandit Jawaharlal Nehru sempat berkata begini: "The light has gone out of our lives and there is darkness everywhere".

Kembali kepada kisah Tuan Guru Nik Abdul Aziz, beliau kini dicadangkan oleh Zaid Ibrahim, Pengerusi Penaja Pakatan Rakyat Malaysia (PRM) untuk mempengerusikan PRM bagi mencontohi sifat kepemimpinan Gandhi.

Zaid Ibrahim melihat kualiti yang ada pada Tok Guru melangkaui sempadan usia, batas agama, dan tembok kaum.

Sejurus setelah Zaid membuat cadangan banci sokongan yang dibuat oleh NTV7 pada malamnya benar-benar mengesahkan kredibiliti Tok Guru Nik Abdul Aziz. Tok Guru memborong 44% sokongan sementara Anwar mendapat 43%.

Pendek kata, walaupun Tok Guru Nik Aziz sedang dikepung oleh isu di sekitar tajaan untuk mengerjakan haji, dan hingusan isu yang keluar dari bersin menantunya di PMBK, beliau tetap sabar bersahaja.

Terkini pula, ada tanda-tanda kerusi Pesuruhjaya Negeri beliau mahu digugat oleh seorang pemilik blog (mungkin atas suruhan) tetapi beliau masih tetap selamba kerana duri di hutan tidak siapa pun pernah menajamnya.

Melalui proses usia dan pengalaman yang panjang Tok Guru Nik Abdul Aziz yang kini berusia 78 tahun, sudah masak dengan sepak terajang. Sungguhpun beliau boleh dilihat perlahan kerana sedang berada dalam zaman 'septuagenarian' yakni antara usia 70-79 tahun tetapi beliau masih dilihat utuh.

Mari kita tumpang keutuhan beliau bersaksikan kata-kata ini: "Saya telah tua sekarang ini, dan hanya boleh membaca kepala angin samada ribut atau hujan akan turun berdasarkan pengalaman saya. Saya boleh baca contohnya jika air berombak, saya akan menyatakan mungkin ada tunggul di bawahnya. Tapi jika saya hendak mengangkat sauh sendiri sekarang ini saya sudah tidak berdaya melakukannya. Begitu juga hendak mengangkat dayung atau turun mencampakkan sauh pun saya tidak mampu. Orang lainlah yang perlu melakukannya.

Jadi, saya hanya boleh baca kepala angin. Ini kerana terdapat angin yang bawa ribut atau hujan berdasarkan pengalaman saya yang ada." - (Harakah Bil.1488, 13-15 November 2009, N9).

Sebetulnya, proses usia adalah proses perjalanan kematangan. Jauhi dari tabiat tidak sabar. Usah dipaksa kematangan itu datang dengan menjolok durian yang lambat gugur. Laluilah denai pengalaman melalui urutan proses kematangan yang normal sebelum duduk dikerusi kemudi. Biar ia berlaku secara natural. Jika tidak, usah disalahkan orang apabila orang menamakan kita sebagai budak awang yang belum mumayyiz. Jangan karier kita berakhir; mati muda dalam malu; terhingguk-hingguk di kerusi malas.

Penulis adalah Setiausaha Politik dan dulunya Setiausaha Akhbar kepada Menteri Besar Kelantan, Tuan Guru Dato' Nik Abdul Aziz Nik Mat.


( http://www.detikdaily.net/v5/modules.php?name=News&file=article&sid=4914 )

Monday, 2 November 2009

YANG INI TAK JADI KONTROVERSI KE? | Nizar News

Tuan Guru Datuk Nik Aziz Nik Mat (TGNA) berkata:

Sebelum Allah mencipta manusia, bumi ini telah ada. Kalau Allah cipta dulu manusia baru cipta bumi, di mana manusia nak tinggal ... dia (manusia) kata dia cipta (dunia) ... UMNO tak kenal Pencipta, sebab itu dia rampas kerajaan ... dia (UMNO) anggap bumi ini dia punya.

Di samping itu, TGNA turut menjelaskan tohmahan UMNO kononnya budaya membaca ayat al-Quran oleh beberapa pemimpin DAP sebagai suatu penghinaan kepada Islam. Katanya:

Nabi pun mengutus surat kepada semua pemimpin kerajaan bukan Islam. Nabi mula dengan tulis ayat al-Quran. Nabi tulis untuk pemimpin bukan Islam baca, bukan Nabi tulis: Jangan baca ayat al-Quran ini sebab nanti hina Islam. Pemimpin UMNO bodoh agama dan tak suka ikut Nabi.

Seterusnya TGNA kata:

Perjuangan PAS berdasarkan ajaran Islam, bukannya politik perkauman Melayu sebagaimana yang diamalkan UMNO.

Ini pula pandangan Ngeh Khoo Ham terhadap PAS:

Dulu saya memang ingat PAS (sebagai) parti ekstremis agama, fundamentalis, dan tidak suka orang Cina (dan) bukan Islam. Itu semua sebelum kenal Tok Guru dan Hj. Nizarlah.

Catatan

Biasanya para pemimpin UMNO akan melenting bila dikatakan begitu. Bagaimana dengan kenyataan TGNA yang terbaru ini?

Dengan pengakuan Ngeh itu, masihkah UMNO hendak mengatakan PAS menjadi kuda tunggangan DAP? _PENA MUTIARA


** Jom Sertai Program Bantu Membantu Sesama Insan... Sila Klik..TQ. ***




.

Sunday, 1 November 2009

Isu EGM Dan Seminar PAS Oleh Khalid Samad | Nizar News

Isu EGM dan Seminar

Dengan berbagai isu yang begitu hangat diperkatakan seminggu dua ini, ramai yang bertanya ke mana telah saya menghilang. Sebenarnya saya tidak ke mana-mana tetapi berbagai program menyebabkan saya tidak berpeluang untuk menulis dan berkongsi pandangan saya dalam isu-isu ini. Semenjak bermulanya mesyuarat ketiga, penggal kedua Dewan Rakyat, kebanyakkan masa di antara Isnin hingga Khamis telah digunakan sepenuhnya untuk persiapan Parlimen. Di samping itu, saya juga telah berkesempatan menghadiri program-program berikut sepanjang minggu ini:


•Selasa 27 - Forum ISA di Dewan Perhimpunan Cina, Kuala Lumpur anjuran SUARAM.
•Rabu 28 - Program Ceramah PAS cawangan Palm Grove Klang bersama masyarakat India.
•Khamis 29 - Majlis Makan Malam PKR Johor dan Ceramah PAS Kawasan Pulai, Johor.
•Jumaat 30 - Tazkirah dan Khutbah Jumaat di Masjid Al-Huda Seksyen 19 Shah Alam dan Ceramah PKR di Kuala Terengganu.
•Sabtu 31 - Jambori Jabatan Amal Malaysia 2009 di Sungai Besar dan Ceramah PAS di Teluk Intan [Link 2]

Terima kasih kepada semua pihak yang telah menjayakan program-program tersebut. Dalam pada itu, perbahasan Bajet 2010 masih tidak sempat disiapkan sepenuhnya lagi...!

Namun, persoalan yang saya kira amat memerlukan penjelasan di kala ini ialah isu EGM yang telah ditukar kepada Seminar Politik beserta siasatan JK Disiplin. Oleh itu 3 perkara inilah yang ingin saya ulas pada hari ini. Untuk makluman semua, saya tidak hadir mesyuarat yang diadakan pada hari Rabu malam Khamis tersebut kerana saya bukan AJK PAS Pusat. Oleh yang demikian, ulasan saya adalah berhubung keputusan yang dibuat yang telah pun diketahui umum.

Sebelum itu saya ingin ucapkan tahniah kepada TGNA atas ketegasan beliau yang mana hasil dari desakan beliau supaya diadakan EGM, maka mesyuarat khas ini telah diadakan dengan kadar segera. Jika tidak kerana desakan tersebut, besar kemungkinan semuanya akan berjalan dengan begitu sahaja dan rintihan rakyat bawahan termasuk ahli PAS sendiri berhubung masalah persepsi masyarakat terhadap PAS akan berlalu begitu sahaja. Syabas dan tahniah TGNA.

Kedua saya juga ingin ucapkan syabas kepada TGHH kerana pantas mengadakan mesyuarat khas tersebut. Ianya merupakan bukti TGHH amat menghormati pandangan dan kedudukan TGNA sebagai Mursyidul ‘Am. Kepimpinan tertinggi PAS memahami di antara tugas MA ialah memantau perjalanan PAS dan di dalam proses memantau itu, MA berhak menegur dan memberikan pendapat beliau sekiranya terdapat gambaran bahawa PAS telah terlajak ataupun tergelincir dari apa yang telah dipersetujui bersama.

Oleh itu, tanggapan bahawa TGNA telah tersilap atau terlanjur dalam menjalankan fungsi beliau sebagai MA adalah satu tanggapan negatif yang ingin disebarluaskan oleh UMNO/BN dan kuncu-kuncu mereka.

Syabas dan tahniah juga kepada TGHH atas keputusan yang tuntas dibuat melalui mesyuarat khas tersebut yang telah memutuskan 3 perkara seperti berikut:-

1.Seminar Politik akan diadakan pada 7 November 2009 di Markaz Tarbiyyah PAS Gombak. Seminar ini adalah seminar peringkat kebangsaan di mana perwakilan dari setiap kawasan seluruh negara akan turut hadir.
2.Persoalan PAS Selangor akan ditangani oleh Jawatan Kuasa Disiplin dan
3.PAS tetap bersama PR dan akan terus memperkukuhkan PR.

Berdasarkan 3 keputusan tersebut di atas, maka boleh saya rumuskan bahawa isu yang telah dibangkitkan oleh TGNA tidak ‘dimatikan’ begitu sahaja dan itulah yang saya maksudkan dengan ‘The problem is not being swept under the carpet’, tetapi sebaliknya ditangani melalui 3 TINDAKAN yang wajar dan saya kira amat munasabah.

PERTAMA: Seminar Politik
Seminar Politik ini akan melibatkan ahli hingga ke peringkat akar umbi melalui perwakilan dari setiap kawasan. Dari sudut kehadiran, ianya bagaikan EGM tetapi bezanya ianya lebih menumpu kepada usaha penjelasan dan bukan tindakan pemecatan atau rombakan pimpinan. Penjelasan yang akan diberi semestinya akan tertumpu kepada persoalan-persoalan yang telah dibangkitkan oleh TGNA berhubung persepsi rakyat terhadap arah tuju PAS dalam mencorak demensi baru politik tanah air. Di antara pembentang kertas kerja berhubung persoalan ini ialah Professor Dr. Abdul Aziz Bari! Ini telah dipersetujui dan diputuskan di dalam mesyuarat berkenaan.

Maka apakah maknanya ini semua? Cuba kita imbau kembali dan fikirkan bersama. Fakta-fakta isu ini adalah seperti berikut:-


•Isu EGM yang dicadangkan TGNA berpunca dari kritikan Professor Dr. Abdul Aziz Bari yang tersiar di dalam Sinar Harian.
•Mengikut apa yang ditulis Prof Aziz, di antaranya, TGHH dan beberapa pimpinan utama PAS yang disebut oleh Prof Aziz, perlu diganti oleh kerana tidak bertindak ke atas pemimpin tertentu yang banyak menimbulkan persepsi negatif terhadap PAS. Ketiadaan tindakan menghasilkan andaian bahawa pimpinan-pimpinan utama yang disebut adalah pro-UMNO!
•Apakah reaksi PAS? Oleh itu, PAS telah bersetuju menganjurkan Seminar dan menjemput Professor berkenaan untuk membentangkan hujjah-hujjah beliau kepada seluruh ahli PAS!

Maka jelas ini merupakan satu bukti yang amat nyata akan sikap keterbukaan PAS dan kesediaan pimpinan PAS untuk ditegur serta kesediaan menerima pendapat umum. Respon pimpinan bukan untuk mendesak ahli wala’ secara membabi buta tetapi sebaliknya menggambarkan seruan kepada semua, sehingga ke peringkat setiap kawasan, agar mendengar dan menilai apa yang hendak disampaikan. Teliti hujjah-hujjah beliau, pengkritik kita dan nilaikan dan pertimbangkan bersama. Tidak perlu respon dengan emosi yang hanya layak bagi sebuah parti yang tidak matang seperti UMNO.

Dengan mengambil langkah demikian, bagi teguran-teguran yang dapat dipersetujui, PAS akan mengambil tindakan untuk mengatasinya. Dalam masa yang sama, bagi hujjah yang tidak dipersetujui, PAS akan nyatakan kepada beliau, terima kasih, tapi berpendapat sebaliknya berdasarkan hujjah-hujjah yang tertentu.

Yang penting, pandangan yang dikemukakan, walaupun kritis, didengari dan dipertimbangkan sewajarnya. Ini menjamin kefahaman ahli berhubung isu yang dibincangkan dan memastikan kewajaran tindakan-tindakan yang seterusnya.

KEDUA: siasatan ke atas PAS Selangor oleh JK Disiplin
Ini juga merupakan satu tindakan yang wajar. Ia membuktikan bahawa PAS Pusat memahami bahawa isu-isu yang dibangkitkan adalah amat penting, yang mana hingga tindakan disiplin mungkin diperlukan. Saya difahamkan bahawa banyak aduan telah diterima oleh JK tersebut dengan besertakan bahan-bahan bukti dalam bentuk rakaman ucapan dan sebagainya. Kebanyakkan dari bukti-bukti ini telah pun menjadi pengetahuan umum.

Yang penting ialah selepas menerima aduan-aduan ini, JK Disiplin perlu mengadakan siasatan dan kesimpulan yang terhasil dari siasatan ini haruslah dikemukakan kepada semua supaya tidak akan lagi timbul andaian bahawa tindakan diambil mengikut sikap ‘pro ini’ atau ‘pro itu’. JK Disiplin perlu sedar bahawa bukan sahaja ahli PAS sedang memerhatikan tindakan PAS dan cara PAS menangani isu ini, tetapi juga rakan-rakan PAS di dalam PR dan seluruh pemerhati politik Malaysia. Dengan itu amat penting agar tiada usaha ‘cover-up’, sikap ‘favoritisme’ atau pilih kasih sepertimana di dalam UMNO, yang mengamalkan budaya politik yang semakin jelas ditolak rakyat negara ini. Dengan itu, proses ini akan mampu menghantar satu mesej yang jelas bahawa PAS merupakan satu parti politik yang berprinsip serta berdisiplin dan para pemimpin, walau popular mana sekalipun, tidak terlindung dari sebarang tindakan.

Dalam pada itu, ada yang menyingkap istilah ‘Ahli Badr’ yang merupakan istilah yang digunakan terhadap para sahabat yang telah turun berperang di dalam perang Badr Al-Qubra. Mereka menikmati layanan yang sedikit istimewa dari Rasulullah (SAW). Di antaranya, seperti kisah perutusan surat oleh Khatib ke Makkah sebelum pembukaan kota Makkah yang sekiranya ‘tergelincir’ sehingga kesetiaannya telah dipersoalkan. Maka hakikat bahawa mereka juga ‘Ahli Badr’ telah disebut sebagai hujjah bagi membela golongan ini. Turun semasa Badr merupakan ujian serta bukti keimanan dan kesetiaan yang tidak boleh dipertikaikan.

Namun begitu, perlu diingat. Mereka tetap ditegur dan tindakan mereka yang ‘tersilap’ atau ‘tergelincir’ telah diakui tersilap dan tergelincir. Ianya tidak dipertahankan sama sekali. Mereka hanya lepas dari tindakan hukuman dan disiplin atas sebab pengorbanan mereka sebelum itu tetapi tindakan mereka tetap diakui silap dan tidak lagi diteruskan.

Perlu juga diingat bahawa pengorbanan mereka diketengahkan sebagai bukti kesetiaan mereka oleh pembela mereka, bukan mereka sendiri!

Pada masa yang sama ada juga kisah Khalid Al-Walid yang diturunkan pangkat demi menjamin persepsi masyarakat tidak terseleweng sehingga menjejas aqeedah ummat Islam pada masa itu perlu juga dijadikan iktibar. Maka jelas persepsi masyarakan adalah penting. Walaupun persoalan yang kita hadapi sekarang tidak melibatkan persepsi yang boleh menjejas keimanan, ia melibatkan persepsi terhadap sebuah gerakan Islam, samada ia jujur dan ikhlas dalam persahabatannya terhadap masyarakat Islam dan bukan Islam.

Dengan suasana dan persekitaran politik yang sebegini di mana ramai, khususnya yang bukan Islam, mula mempersoalkan kejujuran PAS di dalam PR, JK tersebut perlu membuktikan bahawa PAS sememangnya bersungguh-sungguh bersama dengan PR sebagai alternatif kepada BN.

KETIGA: pengisytiharan PAS tetap bersama PR dan akan terus kukuhkan PR
Pengisytiharan ini menyediakan semua, termasuk ahli PAS, bahawa PAS sanggup mengambil tindakan terhadap sesiapa juga yang menjejaskan kerjasama PAS di dalam PR. Tindakan yang menjejas kekukuhan PR perlu dihentikan dan harus disekat. Sesiapa yang terus menjejaskan kekukuhan PR, walau setinggi mana sekalipun jawatan beliau, akan dikenakan tindakan yang sewajarnya.

Akhir sekali, timbul persoalan, bagaimana pula dengan EGM? Pada saya, EGM ini merupakan satu pilihan yang ‘evergreen’ atau sentiasa wujud. Sekiranya seminar dan JK Disiplin tidak bertindak sepertimana sepatutnya dan ‘Kukuhkan PR’ hanyalah menjadi seperti cogankata 1Malaysia ‘Rakyat di dahulukan…’, maka EGM merupakan satu tindakan yang tetap boleh dipertimbangkan bersama.

WaLlahu 'Alam
KHALID SAMAD

Sumber : http://www.khalidsamad.com/2009/11/isu-egm-dan-seminar.html
Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...

TERIMA KASIH KERANA MENG"KLIK"...

Bloglist