Friday, 23 October 2009

Repons tulisan Dinsman: Ada yang tak kena dalam PAS sekarang? | Nizar News

Oleh KASSIM MUHAMAD

Terdapat aspek-aspek menarik dalam tulisan Dinsman, "Cuba kalau yang menang di Bagan Pinang itu PAS" dalam Harakah baru-baru ini. Antara lain, Pakatan Rakyat termasuk PAS akan sangat gembira kerana kemenangan berturut-turut kali kelapan ini. Ya, jika itu terjadi.


Sebelum ini sudah ada telahan yang mungkin terlalu berlebih-lebih, iaitu jalan ke Putrajaya sudahpun terbentang luas.
Keseronokan, jika menang di Bagan Pinang, bukanlah tidak bersebab. Namun euforia kemenangan berterusan seperti ini boleh saja membawa pelbagai kesan.

Pertama, ia mencipta rasa yakin diri Pakatan Rakyat, khususnya PAS, dengan andaiannya bahawa orang bukan Melayu kini benar-benar bersama PAS.

Sekadar makluman, sebaik pengumuman Bagan Pinang diketahui, seorang kawan yang sangat yakin dengan pendapat bahawa "PAS itu sama saja dengan Umno" melontarkan pesanan ringkas: "Jangan pandang ringan Umno!"

Sebenarnya pelbagai perkara boleh diutarakan, diungkit dan direndangkan sebagai sebab musabab besar kenapa Pakatan Rakyat, khususnya PAS, tewas. Tapi bukan senarai sebab musabab itu yang mahu dibicarakan, kerana rasanya ada aspek lain yang elok dan lebih wajar diteliti dengan saksama. Ya, bermuhasabah.

Apakah kita selalunya rasional dengan tingkah kita selama ini? Untuk lebih jelas, 'kita' di sini membawa maksud PAS, bukannya komponen Pakatan Rakyat yang lain. Aspek "mempersoalkan kerasionalan kita, khususnya PAS dalam membuat sesuatu tindakan" ini kerap benar diulang-ulangi orang, khususnya dalam blog berbahasa Inggeris seperti Malaysia Today.

Lihat saja komen yang bertali arus apabila sesuatu peristiwa itu meletup dan dibesar-besarkan media arus perdana. Kita tentunya tidak hairan dengan telatah ini kerana manusia memberikan reaksinya berdasarkan maklumat dan tanggapan-persepsi yang menguasainya.

Dan persepsi itu umumnya dipengaruhi pelbagai faktor, antaranya pendedahan media arus perdana seperti akhbar dan TV yang umumnya dikuasai Umno-BN.

Ini bermakna keputusan seseorang manusia itu mungkin saja rasional, mungkin juga tidak. Berapa ramai manusia di dunia ini yang membuat keputusan semata-mata bersandarkan tanggapan-persepsi yang tidak rasional?

Berapa ramai yang kahwin lari walaupun yang memelihara dan membesarkan mereka sehingga dewasa itu adalah kedua ibu bapa? Apakah hasil sesuatu pilihan raya itu menjadi tidak sah jika para pengundi dicaj tinggi emosinya tatkala keluar mengundi?

Manusia membuat keputusan dengan bersandar maklum balas dan maklumat yang diperolehi. Dan salah satu daripadanya ialah bagaimana mereka diajar untuk melihat dan 'menilai' maklum balas yang diasak ke dalam kepala, setiap hari, setiap saat.

Teori pakar propaganda Hilter, Goebbels boleh dipakai sebarang zaman, kecuali mungkin jika manusia semua sudah mahir berfikir dan berpandukan kebenaran.

Perlu dinyatakan, sambil memohon maaf kalau ada yang merasakan saya bersikap kasar, bahawa saya cuba memberanikan diri untuk bercakap terus terang setelah saya puas mendengar orang berbisik di sana-sini tetapi tidak ada yang mahu tampil ke depan dan menyatakan apa yang sering disoksek-soksek merata-rata, hingga ke Sarawak itu.

Biarlah saya mengambil risiko dimarahi pihak tertentu, supaya kita semua tidak menerima hukuman (mala petaka berupa kekalahan dalam PRU-13) semata-mata kerana tidak ada yang mahu bercakap terus terang.

Dan saya pun kurang pandai untuk berselindung di sebalik permainan kata-kata seperti gaya Dinsman itu.

Mari kita teliti semula lima contoh benar lagi nyata yang amat memedihkan yang telah dan sedang berlaku dalam PAS. Dan jangan lupa untuk teliti kesan maklum balas yang diolah semula akibat perbuatan kita (baca: PAS) sendiri.

Kecuali isu kepala lembu, bukannya orang lain (baca: Umno/BN) yang memulakan. Kitalah yang memulakan semuanya. Umno dan seluruh bala tenteranya hanya memanfaatkan bola tanggung (meminjam istilah Azizi Abdullah), yang entah kenapa kita hulurkan. Tak ada beban batu digalas!

Apakah contoh-contoh tersebut? Pertama, gagasan besar Kerajaan Perpaduan. Kedua, kritikan terbuka seorang EXCO (dari parti kita) terhadap SELCAT; dan ketiga, tingkah kita dalam isu kepala lembu.


Yang terakhir kita seperti tidak tahu dan tidak mahu berhenti ialah penggempuran bala tentera kita (baca: PAS) terhadap maksiat konsert. Gempur maksiat konsert ini sama dengan semangat berkobar-kobarnya kita tatkala mahu menyelesaikan peristiwa beer.


Semua ini telah dihujah bijak oleh pandai PAS. Ada nas lengkap dalilnya. Kita tidak ingin teliti itu semua kerana tidak berupaya. Yang mahu dibentangkan ialah soalan dan pemerhatian berikut:

Telatah Unit Amal kita tatkala banjir besar di Johor kekal bersemadi di hati rakyat Johor. Apakah itu pencegahan maksiat atau satu contoh perbuatan mulia yang mesti diutamakan?

Bagaimanakah mahu kita ubati sakit ‘kehilangan kepercayaan’ sesetengah ahli dan penyokong PAS dan juga orang-orang bukan Melayu terhadap KESAN gagasan kerajaan perpaduan?

Kesannya (“Ini parti yang tak boleh percaya. Kasi sokong mahu belot!”) mesti dihadapi dengan nyata, dengan perbuatan.

Cakap dan hujah sudah tidak memadai. Kenapa? Contoh kesan penyakit kehilangan keyakinan ini telah begitu nyata dan cukup banyak di negara ini. Sejarah Umno/BN jelas sekali kepada seluruh rakyat. Kenapakah PAS tega mengikuti jejak-jejak seperti itu?

Apakah mengejar ‘beer’ tanpa sesuatu yang jauh lebih mantap itu, lebih utama daripada melawan rasuah yang berleluasa? Bagaimana mahu menjawab ini semua? Apakah saya, Ah Chong, sekarang tak boleh suka-suka minum?

Apakah kerja melawan maksiat konsert itu lebih besar daripada mengejar kes perceraian yang tidak selesai-selesai?

“Haiya, sekarang Taliban datang lagi cari konsert!” Bagaimana mahu dijawab semua tuduhan yang sangat menyakitkan hati ini? Namun inikah cara yang terbaik membawa mesej Islam – tukang kejar konsert? Adakah tidak boleh dipelajari kaedah Hassan dan Hussein menegur orang dewasa yang salah tatkala berwudhu’?

Kalau Johny bertanya “Apakah sekian banyak harta zakat tidak mampu perbaiki nasib ummah, termasuk yang bukan Islam?” Apakah jawapannya “Itu urusan Islam!”?

Siapakah yang benar-benar bangun berkata dengan lantang, jelas dan berani sekali bahawa peristiwa kepala lembu bukanlah cara Islam? Panglima besar? Atau hanya seorang laskar biasa yang bangun bersuara?

Sebenarnya senarai soalannya cukup panjang. Namun apakah keadaan sebenarnya cukup tenang dan aman dalam PAS? Apakah benar PAS tak ada masalah kerana umumnya baik orang-orang Islam maupun yang bukan-Melayu jelas akan terus menyokong kita?

Atau ada yang berhujah, “Kita berjuang kerana Islam dan Allah sentiasa bersama kita kerana kita yang berjuang demi agama-Nya. Soalan sokongan bukan masalah besar sangat.”

Mungkin apa yang dibentangkan ini berdasarkan pengalaman yang salah. Ini bermakna segala pengamatan yang diturunkan salah belaka. Mungkin. Syukurlah kalau semua ini tidak tepat dan PAS masih jelas kompasnya.

Tatkala ke majlis rumah terbuka PAS, ada teman yang memberikan komen, “Tahun ini tak banyak rakan-rakan orang Cina. Tahun sudah lebih ramai.”

Mari kita akhiri dengan meneliti apa yang ditinggalkan oleh orang-orang tua kita:

Kenapa dibiar tapainya cair, yang tertinggal tuak kelana
Biarpun sekilas ikan di air, sudah kutahu jantan betina

Sumber : Detikdaily
Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...
There was an error in this gadget

TERIMA KASIH KERANA MENG"KLIK"...

Blog Pro PR (1)