Friday, 7 March 2014

Kes telur busuk: Polis ambil keterangan lelaki


BUTTERWORTH - Polis menahan seorang lelaki bagi membantu siasatan kejadian telur busuk pecah di tangan Ahli Parlimen Seputeh Teresa Kok ketika bersalam dengan seorang pengunjung semasa ceramah anjuran pakatan pembangkang di Taman Cermai di sini malam semalam.

Lelaki berusia 25 tahun itu bagaimanapun dibebaskan dengan jaminan polis hari ini selepas polis mengambil keterangannya.

"Siasatan lanjut mengenai kejadian itu masih dijalankan dan kami minta orang ramai tidak buat sebarang spekulasi... biar polis siasat," kata Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Pulau Pinang Senior Asisten Komisioner Mazlan Kesah ketika dihubungi.

Dalam kejadian kira-kira pukul 11 malam itu, Teresa dihampiri seorang lelaki dan telur busuk yang berada dalam genggaman lelaki berkenaan pecah ketika mereka bersalam.

Susulan itu, keadaan bertukar kecoh dan Kok segera dibawa keluar dari tempat ceramah dengan kawalan ketat Unit Amal Pas, manakala lelaki terbabit ditahan penyokong pakatan pembangkang sebelum diserah kepada polis.

Sementara itu dalam kes berasingan, seorang kanak-kanak lelaki berusia tujuh tahun cedera di kepala dan menerima 10 jahitan selepas dilapor dipukul bapa saudaranya dengan topi keledar dan kerusi plastik di rumahnya di sini Ahad lepas.

Timbalan Ketua Siasatan Jenayah Pulau Pinang Superintendan Shahurinain Jais yang melawat kanak-kanak itu di Hospital Seberang Jaya di sini hari ini, berkata kanak-kanak tersebut dilapor dipukul kerana mengoyakkan buku teks ketika membuat kerja sekolahnya.

"Beberapa anggota keluarga yang turut berada di dalam rumah menghalang lelaki terbabit dan membawa kanak-kanak berkenaan ke hospital sebelum membuat laporan polis," katanya kepada pemberita selepas melawat kanak-kanak itu.

Beliau berkata berikutan kejadian itu polis menahan seorang lelaki berusia 24 tahun bagi membantu siasatan. - Bernama
Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...
There was an error in this gadget

TERIMA KASIH KERANA MENG"KLIK"...

Blog Pro PR (1)