Friday, 21 March 2014

Dr Wan Azizah lawan Chew Mei Fun, UMNO berzumba tepuk tangan

Oleh : Izmil Amri
DAP tidak bertanding. Yang bertanding pada Pilihan Raya Kecil (PRK) Dewan Undangan Negeri (DUN) Kajang, Ahad ini ialah Presiden Parti Keadilan Rakyat (PKR), Datin Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail.

Dr Wan Azizah bukan calang-calang calon dan jika mengalami kekalahan sudah pasti di mana PKR akan sorok muka dan menanggung malu dan nak lari bersembunyi?

PKR pasti berhempas pulas dan menggerakkan seluruh jenteranya demi memenangkan Dr Wan Azizah. Ini wanita yang setia dan sudah terlalu lama berkorban demi keluarga dan parti. Sudah hampir 16 tahun air mata Azizah melembutkan kerak hati rakyat Malaysia. Azizah mesti menang. Malah Azizah sebenarnya mesti menang besar.

DAP, meskipun tidak bertanding di Kajang, tetapi akan memastikan Dr Wan Azizah menang besar. Ini semangat dan komitmen DAP kepada koalisi politik yang terbentuk masuk tahun keenam.

Tiada banyak soal, bingkas sahaja ia membuka bilik operasi dan mengatur ceramah, mencetak sepanduk dan membikin video kempen demi membantu kemenangan rakan politiknya itu.

Dr Wan Azizah akan ditentang calon Barisan Nasional (BN) daripada MCA, Datin Paduka Chew Mei Fun. Chew Mei Fun ini dulu sudah kalah ketika menentang Setiausaha Publisiti DAP, Tony Pua di kerusi Parlimen Petaling Jaya Utara. Itu saja yang saya tahu mengenai beliau. Seperti juga anda semua.

‘Badan bukan kerajaan’ yang terkait UMNO, akan terpaksa mengambil cuti daripada kegiatan politik ultra-Melayunya buat sementara waktu. Tidak ada cara lain. Lainlah kalau akan ada bomoh buaya yang akan boleh menghadirkan hujah bahawa Chew Mei Fun itu seorang Melayu dan bukan seorang calon Cina daripada sebuah parti politik yang 100% Cina.

Tugasan kempen BN

Kajang mempunyai komposisi pengundi majmuk dengan undi Melayu sebagai undi penentu. Itu berdasarkan perkiraan pasca 5 Mei tahun lalu bahawa majoriti undi masyarakat Cina berpihak kepada bekas ADUN Kajang daripada PKR, Lee Chin Cheh. 48% pengundi Kajang berketurunan Melayu, majoritinya orang Minang. Hampir dua pertiga daripada jumlah peratusan ini turut mengundi PKR, memberikan kemenangan dengan marjin yang agak selesa.

Tugas BN sekarang ialah untuk mendapatkan undi orang Cina. Inilah kelompok yang harus digoda dan dihasut supaya melawan Kerajaan Negeri Selangor yang dipimpin Pakatan Rakyat untuk merampas kerusi Kajang dan meletakkan seorang lagi pembangkang di DUN Selangor. Walaupun nampaknya setakat ini operasi politik yang sedemikian hampir saja mustahil.

Maka operasi politik sekunder ialah untuk memalukan Dr Wan Azizah melalui kemenangan dengan majoriti yang berkurangan, berbanding keputusan hampir setahun lalu. Ini akan dilakukan UMNO-BN dengan menggoda pengundi Melayu. Setakat yang kita ketahui berdasarkan perkiraan pasca 505, tapak sokongan yang paling kuat untuk BN oleh pengundi Melayu adalah di Daerah Mengundi Sungai Kantan. UMNO akan jenuh berusaha untuk mengekalkan undi Melayu di kawasan itu dan terpaksa gigih mendapatkan undi Melayu lain yang berada di 15 daerah mengundi lagi.

Pengundi Melayu ini semua nanti akan dihidang dengan kisah kes liwat Datuk Seri Anwar Ibrahim. Mereka akan dijamu dengan drama lubang dubur Saiful dan bagaimana Dr Wan Azizah itu hanyalah boneka dalam persembahan wayang kulitnya yang dalangnya ialah Anwar. Sebagai hidangan sampingan, jentera kempen UMNO-BN akan menjaja cerita sepupu besan Anwar yang dituduh merampas pesawat MH370 kerana kecewa dan sedih dengan hukuman penjara yang dikenakan mahkamah terhadap Anwar tempoh hari.

Ini semua akan dihidang seperti jamuan bufet di hotel lima bintang. Sepertimana selalunya UMNO-BN buat kenduri makan percuma beserta iringan karaoke dan poco-poco untuk menarik minat anak muda Melayu yang baru pulang daripada merempit dan berkhalwat di kawasan air terjun.

Kajang bukan PJU

Ini Kajang. Bukan Petaling Jaya. Kempen yang sama dilakukan sewaktu Chew Mei Fun bertanding tahun lalu, tidak laku di kawasan ini. Chew Mei Fun dulu bertanding di kawasan majoriti Cina. Undi Cina hampir sahaja solid untuk Pakatan Rakyat.

Kalau BN beri jaminan kapal terbang hilang boleh muncul seandainya mereka menang di Kajang pun belum tentu undi masyarakat Cina boleh mereka menangi.

Jadi apa mereka buat? Mereka hasilkan satu ilusi bahawa mereka benar-benar peduli dengan PRK Kajang ini. Seolah-olah kita tidak tahu bahawa mereka langsung tidak kisah Chew Mei Fun nak terbalik atau tersungkur. Tidak, mereka tidak peduli.

Yang buat mereka nampak macam peduli ialah beberapa individu di media sosial yang melakukan tweet berbayar untuk ‘berkempen’ bagi pihak BN, selain video di YouTube. Itu pun kalau apa yang mereka lakukan itu boleh dikira sebagai kempen.

Di sini kita lihat perbezaan cara kempen Pakatan Rakyat dan BN. Di satu pihak, rakan kongsi koalisi politik PR bingkas membantu kawannya dengan tiada sebarang imbuhan. Di satu pihak lain, harus bayar dan ‘outsource’ barulah kelihatan hasil.

Ini hal yang tidak akan difahami oleh pihak sebelah sana. Bagaimana mungkin kerja kempen boleh berjalan tanpa disuruh dan tanpa jenuh menanti ‘duit turun’.

Namun seperti juga mereka, kita di balik sini juga jenuh memahami modus operandi kempen BN seperti ‘Zumba Perdana’. Tapi tak apa, UMNO memang suka benda-benda gitu.

‘Pilih Mei Fun, tak menyesal’

Timbalan Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin ketika melancarkan Zumba Perdana yang tadi disebut itu menyebut bahawa “pengundi tidak akan menyesal jika memilih Chew, kerajaan Persekutuan akan menghulurkan segala bentuk bantuan bagi memastikan segala perancangan yang dibuat dilaksanakan sebaiknya.”

Muhyiddin juga memberitahu bahawa pengundi Kajang tidak harus mengulangi kesilapan memilih calon PKR kerana “parti itu lebih mementingkan agenda pimpinan atasan” berbanding “memperjuangkan suara dan nasib orang Melayu”.

Pertamanya Tan Sri, rakyat Petaling Jaya Utara sudah menyesal memilih Chew Mei Fun sebelum 2008. Sekarang Chew Mei Fun sudah tidak lagi menjadi wakil rakyat bagi kawasan Parlimen Petaling Jaya Utara. Rakyat PJU pilih Tony Pua, dan Tony Pua masih lagi Ahli Parlimen PJU untuk dua penggal berturut-turut.
Kenapa orang Kajang mahu pilih wakil rakyat yang ditolak seluruh kawasan Parlimen PJU, saya pun tak tahu.

Kedua, kalau Mei Fun tidak menang di Kajang; adakah rakyat Kajang tidak lagi menjadi warganegara Malaysia dan tidak mendapat bantuan kerajaan? Adakah ini budaya politik balas dendam yang menjadi modus operandi BN?

Ketiga, ya memang PKR mementingkan agenda pimpinannya. Sama seperti UMNO juga mementingkan agenda pimpinannya. Agenda pimpinan PKR termaktub dalam dasar 17 Perkara yang boleh dibaca di sini.

Dan ya, 17 Perkara itu tidak termasuk “memperjuangkan suara dan nasib orang Melayu” kerana PKR, DAP dan PAS sebagai parti berbilang kaum meletakkan agenda ketuanan rakyat melampaui kepentingan politik perkauman sempit.

TPM dan pihak yang sedang berkempen bagi pihak UMNO-BN perlu cuba lagi. Rakyat belum sudi membeli hujah begini. – Roketkini.com

No comments:

Post a Comment

ANDA KOMEN ANDA TANGGUNG