Oleh : Izmil Amri
DAP tidak bertanding. Yang bertanding pada Pilihan Raya Kecil (PRK)
Dewan Undangan Negeri (DUN) Kajang, Ahad ini ialah Presiden Parti
Keadilan Rakyat (PKR), Datin Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail.
Dr Wan Azizah bukan calang-calang calon dan jika mengalami kekalahan
sudah pasti di mana PKR akan sorok muka dan menanggung malu dan nak lari
bersembunyi?
PKR pasti berhempas pulas dan menggerakkan seluruh jenteranya demi
memenangkan Dr Wan Azizah. Ini wanita yang setia dan sudah terlalu lama
berkorban demi keluarga dan parti. Sudah hampir 16 tahun air mata Azizah
melembutkan kerak hati rakyat Malaysia. Azizah mesti menang. Malah
Azizah sebenarnya mesti menang besar.
DAP, meskipun tidak bertanding di Kajang, tetapi akan memastikan Dr
Wan Azizah menang besar. Ini semangat dan komitmen DAP kepada koalisi
politik yang terbentuk masuk tahun keenam.
Tiada banyak soal, bingkas sahaja ia membuka bilik operasi dan
mengatur ceramah, mencetak sepanduk dan membikin video kempen demi
membantu kemenangan rakan politiknya itu.
Dr Wan Azizah akan ditentang calon Barisan Nasional (BN) daripada
MCA, Datin Paduka Chew Mei Fun. Chew Mei Fun ini dulu sudah kalah ketika
menentang Setiausaha Publisiti DAP, Tony Pua di kerusi Parlimen
Petaling Jaya Utara. Itu saja yang saya tahu mengenai beliau. Seperti
juga anda semua.
‘Badan bukan kerajaan’ yang terkait UMNO, akan terpaksa mengambil
cuti daripada kegiatan politik ultra-Melayunya buat sementara waktu.
Tidak ada cara lain. Lainlah kalau akan ada bomoh buaya yang akan boleh
menghadirkan hujah bahawa Chew Mei Fun itu seorang Melayu dan bukan
seorang calon Cina daripada sebuah parti politik yang 100% Cina.
Tugasan kempen BN
Kajang mempunyai komposisi pengundi majmuk dengan undi Melayu sebagai
undi penentu. Itu berdasarkan perkiraan pasca 5 Mei tahun lalu bahawa
majoriti undi masyarakat Cina berpihak kepada bekas ADUN Kajang daripada
PKR, Lee Chin Cheh. 48% pengundi Kajang berketurunan Melayu,
majoritinya orang Minang. Hampir dua pertiga daripada jumlah peratusan
ini turut mengundi PKR, memberikan kemenangan dengan marjin yang agak
selesa.
Tugas BN sekarang ialah untuk mendapatkan undi orang Cina. Inilah
kelompok yang harus digoda dan dihasut supaya melawan Kerajaan Negeri
Selangor yang dipimpin Pakatan Rakyat untuk merampas kerusi Kajang dan
meletakkan seorang lagi pembangkang di DUN Selangor. Walaupun nampaknya
setakat ini operasi politik yang sedemikian hampir saja mustahil.
Maka operasi politik sekunder ialah untuk memalukan Dr Wan Azizah
melalui kemenangan dengan majoriti yang berkurangan, berbanding
keputusan hampir setahun lalu. Ini akan dilakukan UMNO-BN dengan
menggoda pengundi Melayu. Setakat yang kita ketahui berdasarkan
perkiraan pasca 505, tapak sokongan yang paling kuat untuk BN oleh
pengundi Melayu adalah di Daerah Mengundi Sungai Kantan. UMNO akan jenuh
berusaha untuk mengekalkan undi Melayu di kawasan itu dan terpaksa
gigih mendapatkan undi Melayu lain yang berada di 15 daerah mengundi
lagi.
Pengundi Melayu ini semua nanti akan dihidang dengan kisah kes liwat
Datuk Seri Anwar Ibrahim. Mereka akan dijamu dengan drama lubang dubur
Saiful dan bagaimana Dr Wan Azizah itu hanyalah boneka dalam persembahan
wayang kulitnya yang dalangnya ialah Anwar. Sebagai hidangan sampingan,
jentera kempen UMNO-BN akan menjaja cerita sepupu besan Anwar yang
dituduh merampas pesawat MH370 kerana kecewa dan sedih dengan hukuman
penjara yang dikenakan mahkamah terhadap Anwar tempoh hari.
Ini semua akan dihidang seperti jamuan bufet di hotel lima bintang.
Sepertimana selalunya UMNO-BN buat kenduri makan percuma beserta iringan
karaoke dan poco-poco untuk menarik minat anak muda Melayu yang baru
pulang daripada merempit dan berkhalwat di kawasan air terjun.
Kajang bukan PJU
Ini Kajang. Bukan Petaling Jaya. Kempen yang sama dilakukan sewaktu
Chew Mei Fun bertanding tahun lalu, tidak laku di kawasan ini. Chew Mei
Fun dulu bertanding di kawasan majoriti Cina. Undi Cina hampir sahaja
solid untuk Pakatan Rakyat.
Kalau BN beri jaminan kapal terbang hilang boleh muncul seandainya
mereka menang di Kajang pun belum tentu undi masyarakat Cina boleh
mereka menangi.
Jadi apa mereka buat? Mereka hasilkan satu ilusi bahawa mereka
benar-benar peduli dengan PRK Kajang ini. Seolah-olah kita tidak tahu
bahawa mereka langsung tidak kisah Chew Mei Fun nak terbalik atau
tersungkur. Tidak, mereka tidak peduli.
Yang buat mereka nampak macam peduli ialah beberapa individu di media
sosial yang melakukan tweet berbayar untuk ‘berkempen’ bagi pihak BN,
selain video di YouTube. Itu pun kalau apa yang mereka lakukan itu boleh
dikira sebagai kempen.
Di sini kita lihat perbezaan cara kempen Pakatan Rakyat dan BN. Di
satu pihak, rakan kongsi koalisi politik PR bingkas membantu kawannya
dengan tiada sebarang imbuhan. Di satu pihak lain, harus bayar dan
‘outsource’ barulah kelihatan hasil.
Ini hal yang tidak akan difahami oleh pihak sebelah sana. Bagaimana
mungkin kerja kempen boleh berjalan tanpa disuruh dan tanpa jenuh
menanti ‘duit turun’.
Namun seperti juga mereka, kita di balik sini juga jenuh memahami modus operandi kempen BN seperti ‘Zumba Perdana’. Tapi tak apa, UMNO memang suka benda-benda gitu.
‘Pilih Mei Fun, tak menyesal’
Timbalan Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin ketika melancarkan
Zumba Perdana yang tadi disebut itu menyebut bahawa “pengundi tidak
akan menyesal jika memilih Chew, kerajaan Persekutuan akan menghulurkan
segala bentuk bantuan bagi memastikan segala perancangan yang dibuat
dilaksanakan sebaiknya.”
Muhyiddin juga memberitahu bahawa pengundi Kajang tidak harus
mengulangi kesilapan memilih calon PKR kerana “parti itu lebih
mementingkan agenda pimpinan atasan” berbanding “memperjuangkan suara
dan nasib orang Melayu”.
Pertamanya Tan Sri, rakyat Petaling Jaya Utara sudah menyesal memilih
Chew Mei Fun sebelum 2008. Sekarang Chew Mei Fun sudah tidak lagi
menjadi wakil rakyat bagi kawasan Parlimen Petaling Jaya Utara. Rakyat
PJU pilih Tony Pua, dan Tony Pua masih lagi Ahli Parlimen PJU untuk dua
penggal berturut-turut.
Kenapa orang Kajang mahu pilih wakil rakyat yang ditolak seluruh kawasan Parlimen PJU, saya pun tak tahu.
Kedua, kalau Mei Fun tidak menang di Kajang; adakah rakyat Kajang
tidak lagi menjadi warganegara Malaysia dan tidak mendapat bantuan
kerajaan? Adakah ini budaya politik balas dendam yang menjadi modus
operandi BN?
Ketiga, ya memang PKR mementingkan agenda pimpinannya. Sama seperti
UMNO juga mementingkan agenda pimpinannya. Agenda pimpinan PKR termaktub
dalam dasar 17 Perkara yang boleh dibaca di sini.
Dan ya, 17 Perkara itu tidak termasuk “memperjuangkan suara dan nasib
orang Melayu” kerana PKR, DAP dan PAS sebagai parti berbilang kaum
meletakkan agenda ketuanan rakyat melampaui kepentingan politik
perkauman sempit.
TPM dan pihak yang sedang berkempen bagi pihak UMNO-BN perlu cuba lagi. Rakyat belum sudi membeli hujah begini. – Roketkini.com
ADUN PAS Pulau Pinang sedang dirawat di hospital
40 minutes ago