Oleh: Shahbudin Husin
Sementara ramai tertunggu-tunggu siapakah yang berani menyahut cabaran
untuk menampar muka Ahli Parlimen Seputeh, Teresa Kok demi untuk
mendapatkan ganjaran wang tunai RM1200 yang ditawarkan oleh sebuah NGO,
secara tiba-tiba keluar berita mengenai perletakan jawatan pemimpin
Hindraf, P Waytha Moorthy sebagai Timbalan Menteri di Jabatan Perdana
Menteri dan Ahli Dewan Negara berkuatkuasa 10 Februari ini.
Meletak jawatan dalam suasana politik tidak menentu sambil menuduh Najib
dan Putrajaya sebagai pemungkir janji, pedihnya lebih memeritkan
berbanding tamparan yang singgah dipipi.
Sebagaimana yang dipetik daripada kenyataan Setiausaha Hindraf, P Ramesh
bahawa perletakan jawatan itu adalah kerana kegagalan Putrajaya
menunaikan janjinya kepada masyarakat India seperti yang dimetrai antara
Najib dengan Waytha, beberapa hari sebelum pilihanraya umum lalu.
Dengan adanya perjanjian itu yang didapati menyaksikan beralihnya
sebahagian sokongan pengundi India kepada BN sebagaimana yang dibuktikan
melalui kemenangan MIC yang lebih baik berbanding pilihanraya 2008 dan
juga melalui peti undi di kawasan yang didiami mereka, Waytha kemudian
telah dilantik sebagai Senator dan Timbalan Menteri di Jabatan Perdana
Menteri.
Namun hanya kira-kira lapan bulan berada dalam kerajaan dan menunggu
janji-janji kepada kaum India masih seperti menunggu buah yang tak
gugur, Hindraf akhirnya memutuskan Waytha perlu "mencampakkan" semua
jawatan yang diberikan Najib itu berikutan tiada tanda-tanda ianya akan
ditunaikan oleh kerajaan.
Menurut Ramesh lagi, pihaknya telah melakukan segala yang boleh,
menandatangani perjanjian dengan musuh semata-mata untuk kepentingan
masyarakat India serta dengan kepercayaan segala janji yang
ditandatangani akan menjadi kenyataan.
Malangnya, tambah Ramesh, setelah lapan bulan menanti dan bersabar, Hindraf sudah putus asa dengannya.
Di ketika kepimpinan Najib begitu dipertikaikan sebagai lemah, tidak
tegas, gagal menunaikan janji, tidak mengutamakan rakyat sebagaimana
yang dijanjikan sebelum pilihanraya, melupakan beberapa akujanjinya
sendiri serta banyak lagi, perletakan jawatan pemimpin Hindraf itu yang
bermakna mereka sudah menarik balik sokongan yang pernah diberi sebelum
ini, keadaan ini tentunya merupakan tamparan yang menyakitkan bagi
Perdana Menteri.
Di tambah dalam suasana BN perlu menghadapi pilihanraya kecil DUN Kajang
pada 23 Mac depan, putusnya ikatan kasih antara kerajaan dengan Hindraf
ini pastinya juga bakal menyaksikan sebahagian lagi daripada jumlah 10
peratus pengundi India di DUN Kajang tidak akan memberikan undinya
kepada BN.
Jika Teresa Kok sedang kerisauan kiranya cabaran menamparnya disambut
oleh mana-mana pihak yang pendek akal, lebih-lebih lagi setelah Menteri
Dalam Negeri, Ahmad Zahid Hamidi menyatakan bahawa ganjaran yang
ditawarkan oleh sebuah NGO mengenainya tidak boleh dikira sebagai ugutan
serta tidak perlu disiasat polis, tamparan yang dilakukan oleh Hindraf
ini jauh lebih menyakitkan Najib.
Dengan adanya serangan terbuka terhadap Najib daripada dalam UMNO
sendiri, sokongan rakyat secara keseluruhan tidak bertambah baik,
pengundi Cina kekal menolak BN, Pakatan Rakyat makin meningkatkan
tekanan menghadapi PRU 14, dan kini Hindraf pula memutuskan ikatannya
lantaran kecewa kerana janji-janji tidak ditunaikan, kedudukan BN atau
kerajaan bukan saja dilihat sukar di Kajang, bahkan juga untuk
mengekalkan kuasanya dalam pilihanraya akan datang.
Hindraf pula, melakukan tamparan kepada Najib ini bukannya kerana adanya
ganjaran terbuka yang ditawarkan oleh Anwar atau Pakatan Rakyat tetapi
barangkali dengan berbuat demikian, faedah untuk kaum India sudah boleh
dibayangkan untuk diperolehi melalui Selangor yang bakal mendapat ketua
kerajaan yang baru selepas ini, sebelum manfaat selebihnya akan dikutip
selepas PRU 14 nanti. (SH 09/02/2014)
-http://shahbudindotcom.blogspot.com/2014/02/najib-kena-penampar.html
Berang kena kacau, warga asing korek mata lelaki tempatan
18 minutes ago