.

Monday 10 February 2014

1Azam: Nak siasat sampai bila, soal Mahfuz

KUALA LUMPUR: PAS meminta Peguam Negara, Tan Sri Abdul Gani Patail menyatakan berapa lama lagi tempoh siasatan lanjut Suruhanjaya Pilihan Raya Malaysia (SPRM) terhadap penyelewengan yang berlaku dalam Program 1Azam.

Ketua Penerangan PAS Pusat, Datuk Mahfuz Omar berkata kenyataan Abdul Ghani bahawa tiada campur tangan politik dan kes masih disiasat, bercanggah dengan kenyataan SPRM bahawa pendakwaan akan dilakukan segera iaitu dua hari selepas ikat jamin .

"Sebelum ini SPRM sendiri menyatakan bahawa pendakwaan akan dilakukan dengan segera dan itu bermakna amat jelas bukti sudah ada.

"Kenapa Peguam Negara masih anggap bukti itu tidak mencukupi atau ada sesuatu disebaliknya," soal beliau pada sidang media di Pejabat Agung PAS hari ini.

Mahfuz yang juga Ahli Parlimen Pokok Sena turut melahirkan rasa kesal seolah-olah SPRM dan peguam negara sengaja melewat-lewatkan pendakwaan membabitkan individu yang ada kaitan dengan kerajaan.

Katanya, sikap yang tidak bertegas dalam isu rasuah ini menyebabkan gejala itu terus berleluasa tanpa ada sebarang ketakutan dari mereka yang mengamalkanya apatah lagi mereka itu mempunyai jawatan tinggi dalam parti dan kerajaan.

"Kes rasuah membabitkan 60 orang anggota polis senyap begitu sahaja tanpa sebarang tindakan undang-undang dan kes membabitkan penyelewengan 1Azam juga dengan alasan yang sama.

"Sikap tidak serius dalam menangani masalah rasuah ini membuatkan mereka yang terlibat dalam hal rasuah ini tidak takut apatah lagi mereka yang mempunyai kedudukan di dalam parti serta kerajaan," katanya.

Bekas setiausaha politik kepada Datuk Seri Shahrizat Jalil serta seorang pengarah sebuah yayasan, sebelum ini dilaporkan akan didakwa di Mahkamah Sesyen Kuala Lumpur di bawah Kanun Keseksaan atas tuduhan pecah amanah skim 1Azam membabitkan lebih RM1.1 juta dan satu lagi tuduhan menipu membabitkan RM1 juta.

Namun sehingga sekarang belum ada pendakwaan sebaliknya apabila desakan dilakukan, Peguam Negara menyatakan ia masih lagi disiasat oleh SPRM bagi mendapat bukti yang lebih kukuh./~harakahdaily
Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...

TERIMA KASIH KERANA MENG"KLIK"...

Bloglist