Oleh : shahbudin Husin
BN nampaknya masih buntu untuk menentukan siapa calonnya yang sesuai
untuk berhadapan dengan Anwar Ibrahim dalam pilihanraya kecil DUN Kajang
pada 23 Mac depan. Walaupun secara tradisinya, kerusi itu milik MCA
tetapi UMNO jelas begitu inginkan calonnya dipilih mewakili BN
bertanding di kerusi tersebut.
Selain disebabkan jumlah pengundi Melayu seramai 48 peratus, UMNO juga
mahukan formula lama tidak lagi diguna pakai dengan alasan apabila ada
pilihanraya kecil, selalunya jentera UMNO lebih aktif dan menonjol. Maka
dengan itu, di tambah pula dengan trend pengundi Cina yang tidak lagi
menyokong kerajaan, kewajaran agar UMNO yang bertanding di Kajang
semakin kuat kedengaran.
Bagaimanapun MCA tetap tetap mahukan kerusi itu menjadi milik mereka
dengan alasan persefahaman dalam komponen BN seharusnya dikekalkan dalam
konteks kebersamaan jangka panjang, bukannya sekadar kepentingan Kajang
semata-mata. Sehingga ini belum diputuskan siapa wakilnya, walaupun ada
desakan agar pemain badminton negara, Lee Chong Wei dipilih berdasarkan
populariti dan jutaan peminat yang dimilikinya.
Namun demikian, sejak bekas Perdana Menteri, Mahathir Mohamad bersuara
mahukan MCA diberi peluang bertanding di Kajang atas alasan parti itu
dengan kepimpinan barunya sedang bangkit untuk meraih kepercayaan
masyarakat Cina, suara dalam UMNO yang mahukan kerusi itu mulai kurang
kedengaran.
Mahathir nampaknya bukan saja masih dihormati dalam UMNO tetapi suaranya seolah-olah lebih berbisa daripara Najib sendiri.
Bagaimanapun, di sebalik penentuan calon yang masih kabur itu,
Nallakaruppan, Presiden MUIP atau Parti India Bersatu Malaysia, telah
tampil menawarkan dirinya sebagai calon mewakili BN. Dengan alasan
beliau pernah berkawan rapat dengan Anwar dan mengetahui banyak rahsia
Ketua Pembangkang itu, Nalla merasakan beliaulah calon paling "winnable"
di antara semua rakyat Malaysia yang menyokong BN.
Seorang lagi yang turut menawarkan diri mewakili BN ialah penyanyi
Herman Tino yang pernah kalah serta hilang wang pertaruhan dengan
bertanding di kerusi Parlimen Tanjung Karang dalam PRU 13 lalu. Herman
yang juga semata-mata ingin menentang Anwar menulis di twitter berkata,
jika beliau kalah ia tidak memberi kesan apa-apa dan beliau masih boleh
menyanyi selepas itu.
Kedua-dua calon yang menawarkan diri ini bagaimanapun, tidak mendapat
respon yang baik daripada UMNO dan BN, malah dalam konteks Nalla
misalnya, beliau lebih menerima kutukan, cacian dan makian berikutan
hasratnya menawarkan diri itu. Nalla dianggap lebih membebankan UMNO dan
BN dengan jajaan cerita seks dah lucahnya itu, di samping latar
belakangnya juga amat diketahui umum.
Selain dua nama itu, ingatkan tiada sesiapa lagi yang teringan dan
berminat untuk menawarkan diri bertanding mewakili BN di Kajang. Selain
harapan untuk menang juga agak tipis, setelah Mahathir bersuara, hampir
semua orang juga akhirnya menyedari kerusi Kajang adalah milik MCA dan
parti itu mesti diberi peluang lagi.
Rupa-rupanya dalam cuaca jerebu, hujan turun juga di tengahari. Tanpa
angin dan tanpa banyak spekulasi, tiba-tiba anak perempuan Menteri Dalam
Negeri, Ahmad Zahid Hamidi yang bernama Nurul Hidayah muncul meluahkan
hasratnya mahu menawarkan diri bertanding menentang Anwar Ibrahim di
Kajang.
Dengan alasan beliau tinggal di Kajang kerana rumah Zahid Hamidi
terletak di Country Height, Nurul bagaimanapun berkata, perkara itu
masih dalam perbincangan dan terserah kepada pucuk pimpinan
menentukannya. Beliau juga turut memberitahu mengenai hasratnya itu
kepada rakan-rakannya.
Jika akhirnya BN memilih anak perempuan Zahid bertanding di Kajang,
bermakna pilihanraya kecil ini akan mencatat sejarahnya yang tersendiri
di mana kedua-dua calon BN dan PKR iaitu Nurul Hidayah dan Anwar
Ibrahim, sama-sama menggunakan alamat tempat tinggal di Country Height,
sebuah kawasan kediaman elit dan mewah di pinggir ibu kota.
Nurul Hidayah beralamat di Country Height kerana bapanya tinggal di situ
manakala Anwar pula menggunakan alamat di tempat yang sama kerana
keluarga bapanya juga tinggal di situ.
Walaupun mungkin hasrat Nurul Hidayah hanya suka-suka untuk menguji UMNO
dan BN yang seolah-olah ketandusan pemimpin untuk berhadapan dengan
Anwar dan barangkali sebagai isyarat awal penonjolan dirinya dalam dunia
politik selepas ini, tetapi semua ini akan menjadikan perbualan
mengenai Kajang tambah hangat lagi.
Selain hangat dengan cerita-cerita kempen serta program turun padang
Anwar yang sudah pun bermula, di samping kehangatan lain yang melibatkan
Khalid Ibrahim, Azmin Ali, PKNS dan hubungan PKR dengan Pas, kemunculan
berita mengenai hasrat anak Zahid Hamidi ini pasti menambah-meriahkan
lagi kehangatan Kajang.
Cuma, jangan sampai keghairahan anak Zahid menonjolkan diri ini akan
menjadikan masa depan politik bapanya turut "kejang" akhirnya. (SH
08/02/2014)
- http://shahbudindotcom.blogspot.com/
Suami terkejut, isteri hamil bayi kembar 9
8 minutes ago