Oleh : AHMAD LUTFI OTHMAN
Rabu lalu, Ketua Pemuda PAS Malaysia, Suhaizan Kaiat bersama Setiausaha
Pemuda, Nasaie Ismail berkunjung ke Jabatan Pengarang Harakah. Setiap
Rabu, saya dan editor lain selalunya cuti rehat selepas dua malam
deadline.
Pertemuan itu sepatutnya diadakan lebih awal, sebaik
beliau menang pertandingan sengit, mengisi kekosongan Ustaz Nasrudin
Hassan, hujung November 2013. Saya dan wartawan Arif Juhani hanya
bersembang santai, tanpa sempat bersoal-jawab secara khusus dengan
Suhaizan di Pejabat Pemuda, Jalan Raja Laut, satu pagi hujung minggu.
Waktu
itu, Suhaizan lebih banyak mengisahkan pengalaman berkacanya mendaki
kerjaya politik sejak di kampus lagi. Kebetulan kami dari universiti
yang sama, Universiti Teknologi Malaysia dam belioau turut aktif dalam
PMUTM. Saya lebih mengingati komitmennya dalam kempen memansuhkan PPSMI
dan juga membongkar senarai daftar pemilih -- menjelang PRU13 -- yang
mengelirukan dengan kes nama-nama pengundi pelik.
Sesekali saya
cuba mengorek rahsia "pertembungan dalaman" Pemuda, yang khabarnya belum
selesai walaupun muktamar sudah berakhir, namun Suhaizan hanya
menjawabnya dengan senyuman. Mendengar gosip liar seolah-olah dia cukup
terhimpit tetapi lenggok badannya berbeda sekali.
Cerita
peribadinya menarik dan wajar dikongsi bersama; cuma saya belum sempat
menulisnya. Moga catatan tangan saya di Pejabat Pemuda itu masih boleh
dibaca!
Tengahari 29 Januarai lalu, Suhaizan yang berbaju merah,
tiba agak lewat. Sebelah paginya ada rakaman perutusan Tahun Baru Cina
di Batu Caves. Dia menyapa kami dengan ucap selamat dalam bahasa Cina,
yang mungkin baru dilafaznya semasa di studio tadi.
Dalam sesi
wawancara itu, saya dapat mengesan keistimewaan awal Suhaizan; dalam apa
jua keadaan, dia nampak tenang dan cool. Mungkin tidak banyak isu baru
yang ditekankannya dalam perbualan hampir satu jam itu, selain
mengulangi kerangka besar haluan Pemuda tapi bersikap terbuka mengakui
kelemahan yang perlu diperbaiki dan ruang besar yang masih belum
dimanfaatkan.
Editor ruangan antarabangsa Harakah, Haris
Zalkapli, yang turut sama dalam sesi wawancaram ketika saya minta
merumuskan misi dan visi Suhaizan, mencatatkan: "Yang paling jelas ialah
agenda untuk memobilisasi Pemuda PAS menghadapi cabaran semasa anak
muda, dengan menggalakkan lagi usaha penyebaran maklumat, pendidikan
politik dan kajian serta wacana supaya sebarang tindakan dibuat
berdasarkan maklumat yang tepat dan mendapat sumbang saran daripada
rakyat."
Dalam isu PRK Kajang, Suhaizan turut menyinggung
kritikan keras terhadap KeADILan, sekurang-kurangnya daripada dua
pemimpin kanan Pemuda, iaitu Ketua Pemuda Selangor dan Pengarah Pilihan
Raya Pemuda Malaysia.
Beliau ternyata bersikap terbuka, meraikan
kepelbagaian pendapat, selain memahami gejolak rasa anak muda yang agak
"kebingungan" dengan perkembangan drastik itu. Berdasarkan luahan
kemarahan dalam facebook dan twitter, "langkah taktikal" KeADILan itu
tidak mendapat sokongan ramai.
Jam 12.40 tengahari, saya tidak
sempat menikmati nasi kukus bungkus ayam dara bersama Suhaizan dan
Nasaie kerana terpaksa berkejar ke sebuah restoran berhampiran Kedutaan
Amerika syarikat, Jalan Tun Razak. Seorang rakan lama, pemaju perumahan
berjaya, setia menunggu.
Saya teruja untuk mendengar khabar
sensasi dari sumber yang dekat, tentang pertembungan dalaman Umno,
dikatakan membabitkan Najib Razak dan mentornya, Dr Mahathir Mohamad.
Ya, memang ia bukan rahsia lagi, malah sudah lama dihebohkan.
Sejak
saya menulis buku "Anwar Lawan Ghafar?" pada tahun 1992, pergolakan
dalaman Umno bukan satu cerita menggemparkan. Cerita tentang perebutan
kuasa, konspirasi dan komplot adalah lumrah. Bagaimanapun, selepas Anwar
disingkirkan pada 1998, saya tidak berminat lagi untuk merisik kisah
dalam kain Umno.
Bagi saya, cerita-cerita Umno tanpa kehadiran
aktif Dr Mahathir, Musa Hitam, Tengku Razaleigh Hamzah dan Anwar Ibrahim
sukar menggamit perhatian lagi.
Memilih penjuru restoran yang
tersudut, rakan saya itu memanjangkan kisah yang didengarnya daripada
sumber-sumber, yang didakwanya, dekat dengan Najib. Dia berminat dengan
perkembangan "perdamaian nasional" ataupun yang lebih mutakhir
"konsensus nasional".
"Istimewanya kali ini, masuk satu lagi
faktor baru, peranan Perdana Menteri Turki, Erdogan, untuk memulihkan
hubungan Anwar dan Najib," katanya separuh berbisik, merujuk sumber
Pejabatan Perdana Menteri sendiri.
"Dulu katanya ada peranan
Jusuf Kalla, bekas Naib Presiden Indonesia, sekarang lebih bersifat
global," pintas saya, mengusiknya. "Kerajaan perpaduan bentuk baru kot?"
tambah saya. Kami sama-sama ketawa.
Sambil mencicip potongan
kek bersama teh kosong, selepas menikmati hidangan spaghetti, rakan saya
itu menarik perhatian pertembungan Najib dan Dr Mahathir. "Untuk
menyelamatkan sepupunya, Hishammuddin Hussein yang jelas tertinggal masa
pemilihan Umno lepas, Najib minta jangan undi anak Mahathir, Mukhriz.
Dan Mahathir sangat kecewa," ujarnya.
Saya tidak begitu mengambil
serius dakwaannya tetapi tetap mengambil ingatan seorang penganalisis:
"Politik sifatnya cukup dinamik, ia sentiasa berkembang dan berubah."
Kami
juga berkongsi pandangan tentang situasi di Selangor. Rakan saya yang
lama brgiat dalam Umno peringkat bahagian di negeri termaju itu
menjangkakan kehadiran Anwar dalam kerajaan Selangor pasti tidak akan
menyenangkan Najib dan juga Mahathir.
"Selangor akan menjadi
modal besar Pakatan, bukan hanya misi ke Putrajaya tetapi juga usaha
menawan Negeri Sembilan, Perak dan Johor," tambahnya. Saya tidak
mengerti maksudnya tetapi tidak pula bertanya lebih lanjut.
Dia
mahu tahu pandangan dan sikap PAS tentang pengosongan kerusi Dun Kajang.
"Aku dengar macam PAS tak dirundingi langsung, seolah-olah bukan rakan
kongsi terpenting di Selangor, malah seperti menganggap PAS macam tak
ada di Selangor," katanya.
"Setahu saya, pimpinan Pakatan hanya
berbincang soal pilihan raya kecil sahaja, menyerahkannya kepada
kebijaksanaan KeADILan kerana itu kerusinya, tapi tidak sampai
memutuskan jawatan menteri besar. Khalid masih MB," saya tidak menunggu
lama untuk menjawab.
Lama mengenalinya saya faham dia lebih
menginginkan persefahaman politik lebih erat di antara dua parti Melayu,
malah mengharapkan PAS bersama Umno dalam sebuah kerajaan campuran.
Beberapa kali dia melahirkan rasa kesal apabila PAS tidak menghantar
nama calon menteri besar selepas PRU13.
"Istana Selangor
sebenarnya menunggu calon menteri besar PAS," rakan saya itu
mengulanginya lagi. Cara dia bercerita seperti mempunyai kenalan rapat
yang mengetahui dari dekat kehendak istana. Saya juga, seperti biasa,
hanya ketawa kecil, mendengarnya. Saya mengelak untuk berbantahan dengan
beliau dalam isu "perpaduan Melayu" ini.
"Okey, sekarang, kalau
betul Khalid Ibrahim mahu digugurkan, maka PAS tak perlu terikat dengan
persefahaman lama lagi. Bukankah Khalid dipilih semula, termasuk dengan
sokongan PAS, bukanlah disebabkan ia wakil KeADILan, tetapi kerana
prestasinya selama lima tahun sejak 2008, 'kan? Jadi, pilihan kembali
terbuka," dia nampaknya tidak putus asa mahu meyakinkan saya bahawa PAS
lebih berhak untuk posisi strategik itu.
Saya tidak mahu memberi
harapan palsu kepadanya. "PAS sedar diri dan malu untuk menuntut kuasa,"
jawapan saya untuk melepaskan diri. Selama ini pun kami jarang
sependapat dalam isu-isu kalimah Allah dan perpaduan Melayu.
"Saya
bersetuju dengan pandangan Prof Ungku Aziz. Melayu memang sukar untuk
bersatu," saya sekadar menduganya. "Tetapi lebih tepat, jika hanya
diukur penyatuan kita berdasarkan sokongan politik, kita tidak perlu
bersatu pun. Apa salahnya masing-masing ada parti sendiri, bersaing
dalam pilihan raya bebas, bersedia untuk berbeda pandangan dan akhirnya
hormati keputusan rakyat," nada saya seakan-akan berkhutbah pula.
Semasa
kami rancak berborak, saya tidak sedar dua panggilan telefon daripada
Timbalan Presiden PAS, Mohamad Sabu. Bagaikan ada hal penting untuk
dikongsi. Saya memendekkan bicara.
"Kami dah terlepas di Jalan
Parlimen, nak ke Pejabat KeADILan, ada sidang akhbar bersama Anwar, tadi
memang dekat-dekat Harakah," jawab Mohamad Sabu ketika saya
menghubunginya kembali.
"Takpa, anta turun ke restoran depan
Harakah tu, dalam masa 10 minit saya sampai," ujarnya. Saya terasa
bersalah memaksanya berpatah balik sedangkan dia ada acara lebih
penting.
Saya sebenarnya mahu mendengat sendiri penjelasan
Timbalan Presiden PAS terhadap pelbagai kecaman dan sindiran terhadap
keputusan mengosongkan Dun Kajang. Mungkin ada maklumat dalaman yang
boleh membantu Harakah menentukan sudut terbaik laporannya.
Rakan-rakan
dalam PAS Selangor tidak dapat membantu. Saya faham, mereka sendiri
agak keliru dan lebih banyak meneka serta mentafsirkan. Bagi saya, ia
sesuatu yang normal. Sebelum keputusan dirumuskan dan penjelasan diberi,
biarkan saja suara-suara protes atau yang tidak berpuas hati itu.
Perbedaan
pendapat, hatta percanggahan pandangan, tidak perlu dirisaukan sangat.
Hakikatnya, ia dizahirkan bukan bertujuan untuk memusnahkan kepentingan
bersama tetapi mencari rasional dalam menemukakan yang lebih baik. Lebih
penting, rakyatlah yang menghakimi dan mereka menuntut jawapan tuntas,
bukan sekadar retorika politik.
Seperti lazimnya, Mohamad tidak
gemar untuk menyalahkan rakan-rakan sekutu dalam Pakatan. Beliau lebih
selesa mengkoreksi diri pengalaman getir PAS menguruskan pertentangan
dalaman.
Ternyata, dalam kes tertentu, dan Mohamad memberi
beberapa contoh, PAS sendiri gagal menanganinya dengan baik, sehingga
mengakibatkan kuasa beralih tangan.
"Mungkin ini satu pilihan
KeADILan, dan lebih baik ia diuruskan dengan kadar segera, lagipun PRU14
lambat lagi," ujarnya sambil mengakui beliau cukup menghormati gaya
Khalid Ibrahim menerajui kerajaan Selangor terutama berkaitan good
governance dan urus tadbir yang bersih rasuah.
Meskipun diasak
pelbagai soalan berkaitan, ternyata Mohamad lebih berminat untuk meminta
saya menulis tentang bahang perkauman yang cuba dimarakkan dan ia cukup
berbahaya. Rujukannya lebih fokus kepada situasi di Pulau Pinang.
Kebetulan Mohamad merupakan Pesuruhjaya PAS Negeri dan rakan karib
kepada Ketua Menteri, Lim Guan Eng.
Sambil memuji Polis
Diraja Malaysia (PDRM) sebagai antara yang pasukan terbaik dan cekap,
beliau mempersoalkan mengapa Umno, khasnya di Pulau Pinang, yang cuba
menghidupkan sentimen perkauman masih dibiarkan bebas.
"Hairan
sekali, apabila orang yang membuang kepala babi dalam masjid dan
membakar gereja sampai sekarang tidak dapat ditangkap. Dan cara jenayah
itu dilakukan seolah-olah begitu rapi sekali," ujar Mohamad sambil
menghirup teh kosong.
"Kelmarin saya tengok berita TV, orang yang
melakukan sabotaj dalam demonstrasi aman di Bangkok, melepaskan
tembakan rambang, dikenal pasti seorang polis," tambah saya sambil
melahirkan rasa curiga dengan peranan Cawangan Khas (SB) dalam kempen
provokasi ini.
Mengenai insiden sebuah gereja di Hulu Kelang
dibakar tidak lama dulu, saya difahamkan tiga anak muda terbabit
sebenarnya didorong oleh sebuah pertubuhan rasis yang dikenali diumum.
Sayangnya, dalam perbicaraan motif mereka melakukan jenayah tidak pula
dibongkar dan pengkhianatan terancang itu terpendam begitu sahaja.
"Umno
Pulau Pinang cuba membawa ke arah perkauman dan semua ini adalah usaha
terancang dan kita berharap polis dan pihak keselamatan negara dapat
menangani isu ini," kenyataan Mohamad dalam sidang akhbar petang Rabu
itu bersama Anwar dipetik.
Sementara itu, Lim Guan Eng
mengutuk Umno atas cubaan untuk mempolitikkan insiden-insiden terkini
di Pulau Pinang dengan kenyataan yang menyalahkan parti pembangkang,
padahal Umnolah yang bermain dengan api kebencian kaum dan agama;
berbanding fokus Pakatan Rakyat terhadap isu kenaikan harga gula,
petrol, tarif elektrik dan tol lebuh raya.
Beliau turut manarik
perhatian terhadap tiga sepanduk "berkualiti tinggi" dengan mesej
menghasut yang dinaikkan diketahui di tiga gereja katolik di Pulau
Pinang, selain dua molotov cocktail yang dilempar ke arah rumah ibadat
itu.
Lebih serius lagi apabila Ketua Menteri itu mendedahkan:
"Buat pertama kali dalam sejarah Malaysia, seorang pegawai kerajaan
kanan berketurunan Melayu, Penolong Pegawai Daerah Abu Hassan Osman
diserang secara terbuka pada 21 Januari di hadapan 35 pegawai polis yang
sepatutnya melindungi beliau di Teluk Bahang. Walaupun pakaian Abu
Hassan terkoyak selepas serangan tersebut, penyerangnya tidak diberkas
dengan serta merta ..."
Sehinggalah jam 7 malam, 31 Januari lalu,
seorang rakan memaklumkan melalui SMS: "Jangan lupa tonton program
Lanskap RTM1, jam 9-10 malam, live dari Angkasapuri, Suhaizan lawan Noh
Omar isu PRK Kajang."
Saya tidak pasti siapa dua penalis selain
Suhaizan, dalam forum yang dipengerusikan Syed Munawar. Seorang mewakili
Pemuda Umno, tetapi Suhaizan menyebut, dia mengenali penalis itu
sebagai bekas pemimpin Perkasa, lebih tepat Ketua Wiranya.
Seorang
lagi cuba digambarkan sebagai penganalisis politik, namun argumen dan
hujahnya lebih pekat daripada aktivis Umno sendiri, selain suka
mempamerkan kebenciannya kepada Anwar Ibrahim.
Peliknya, dua
penalis itu lebih ghairah menujukan soalan kepada Suhaizan, berbanding
pertanyaan moderator sendiri. Bertubi-tubi, bukan hanya soalan
dikemukakan, malah penjelasan Ketua Pemuda PAS itu cuba
diputar-belitkan.
Mereka cuba memerangkap Suhaizan dengan
menggambarkan PAS sebagai rakan yang ditinggalkan KeADILan. SUhaizan
didesak untuk respons kepada soalan yang sewajarnya dihalakan kepada
strategis KeADILan.
Dan Suhaizan menunjukkan sikap terbuka dan
jiwa besarnya apabila menjawab penuh ketenangan, langsung tidak gopoh
atau beremosi walaupun diasak, malah cuba direndah-rendahkan. Saya lebih
suka perhatikan mimik mukanya berbanding jawaban atau sanggahan
Suhaizan.
Saya tidak melebih-lebih jika merumuskan bahawa
Suhaizan memang kelihatan cool dan bersahaja. Sesekali beliau mengusik
dua penalis tadi yang nampak tidak puas hati mahu menyerangnya.
"Suhaizan
terpaksa jadi jurucakap KeADILan dan Anwar pula," saya mengusik rakan
baik Suhaizan melalui SMS. "Kenapa RTM tidak panggil Rafizi Ramli
ataupun Saifuddin Nasution Ismail jika mahu mendapat penjelasan langsung
persoalan PRK Kajang," saya menambah tanpa mengharapkan reaksinya,
menyedari nama Rafizi banyak kali disebut.
Meskipun episod awal
PRK Kajang ini turut mendebarkan emosi penyokong Pakatan -- walaupun
pertembungan nanti diyakini dapat dimenangi Anwar -- namun saya yakin
selepas rasional diperincikan, aktivis ketiga-tiga parti, termasuk PAS
dan DAP, akan lebih bersemangat untuk kembali menjayakan road-map ke
Putrajaya.
"Berdasarkan forum RTM tadi, saya bagi empat bintang
kepada Suhaizan tetapi yang agak mencacatkannya bila dia nampak terlalu
bergantung dengan hujah Rafizi. Saya yakin dia ada rasional sendiri
yang lebih meyakinkan tapi terpaksa menghormati rakan-rakan dalam
KeADILan," ulas seorang rakan saya, juga bekas aktivis PMUTM, yang
sama-sama mengenali dari dekat Suhaizan.
-sumber
‘Tarzan’ tundukkan anaconda gergasi
13 minutes ago