.

Friday 4 October 2013

Pistol “kadang-kala terjatuh dalam laut”, Zahid Hamidi setuju alasan KPN

Menteri Dalam Negeri Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi (gambar) hari ini bersetuju dengan kenyataan Ketua Polis Negara Tan Sri Khalid Abu Bakar bahawa kehilangan pistol anggota polis seperti didedahkan Laporan Ketua Audit Negara 2012 berkemungkinan kerana jatuh ke dalam laut.

Ahmad Zahid ketika ditemui di lobi Parlimen hari ini berkata, beliau percaya pistol yang dilaporkan hilang dalam audit berkenaan terjatuh ketika melakukan operasi.

"Saya setuju, dalam operasi kadang-kala (pistol) terjatuh dalam laut. Tapi saya percaya tiada penyelewengan," katanya kepada pemberita.

"Saya minta polis kuatkan SOP dan menjaga peralatan mereka, termasuk pistol supaya tak jatuh ke dalam laut lagi," katanya.

Ketua Audit Negara, Tan Sri Ambrin Buang dalam laporannya berkata, berdasarkan statistik kehilangan aset yang dikeluarkan Bahagian Pengurusan Aset, Jabatan Logistik, PDRM daripada 2010 hingga 2013 mendapati aset yang paling banyak hilang adalah gari dengan sejumlah 156 unit, diikuti senjata api dan kenderaan dengan masing-masing sebanyak 44 dan 29 unit.

Mengulas laporan itu, Khalid dipetik berkata, beliau yakin senjata api polis yang dilaporkan hilang itu tidak jatuh ke tangan penjenayah.

"Kehilangan ini tidak semestinya jatuh kepada penjenayah, mungkin jatuh waktu atas bot dalam laut, atau jatuh dalam air dan tidak ada orang yang dapat,” katanya. – 3 Oktober, 2013./~TMI
Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...

TERIMA KASIH KERANA MENG"KLIK"...

Bloglist