Pendedahan yang dibuat menerusi Laporan Ketua Audit Negara 2012
bukanlah perkara yang mengejutkan buat rakyat Malaysia, yang sudah tidak
yakin lagi dengan kesungguhan Kerajaan Umno BN untuk membanteras rasuah
dan mengukuhkan lagi kebertanggungjawaban pentadbiran.
Ini telah menjadi satu fenomena tahunan, yang mengundang banyak
retorik dan janji-janji kosong daripada Kerajaan namun akhirnya tiada
tindakan diambil dan kesilapan sama berulang.
Pendirian
kami ialah meskipun diadakan begitu banyak mekanisme semak dan imbang,
ataupun audit tiga kali setahun tidak akan menyelesaikan masalah ini,
apa yang diperlukan ialah keazaman politik Kerajaan untuk
menguatkuasakan mekanisme semak dan imbang tersebut. Malangnya, kerajaan
telah berkali-kali gagal dalam ujian kebertanggungjawaban ini.
Saya ingin mengetahui siapakah yang betul di dalam kontroversi
konsert K-Pop – Ketua Audit Negara dan Menteri Belia dan Sukan hari ini
Khairy Jamaluddin yang mendakwa Kementerian terpaksa akhirnya membiayai
konsert tersebut; atau Ahmad Shabery Cheek, Menteri sebelum Khairy yang
mendakwa konsert tersebut dibiayai penaja menerusi akaun Majlis Sukan
Negara? Shabery malah mendakwa Ketua Audit culas dalam menyediakan
laporan tersebut.
Adakah Khairy bersedia menjamin rakyat Malaysia bahawa Kementeriannya
tidak lagi akan terperangkap di dalam perbelanjaan yang dipertikaikan
seperti ini apabila Laporan Audit 2013 akan dibentangkan pada 2014
nanti, terutamanya bagi tempoh selepas Mei 2013 apabila beliau dilantik
menjadi Menteri.
Kewajaran membelanjakan RM67.61 juta wang rakyat bagi satu acara
seperti Hari Belia Negara 2012 menimbulkan persoalan, apabila kesan
positif jangka panjangnya terhadap anak muda boleh dipertikaikan. Berapa
banyakkah wang tersebut memberi kesan secara langsung kepada anak muda
yang sepatutnya menerima manfaatnya, dan berapa banyakkah pergi ke
syarikat pengurusan acara yang mengaturkan program tersebut?
Hakikatnya RM67.61 juta boleh digunakan untuk memperbaiki kedudukan
dan memberikan manfaat kepada anak muda negara. Wang tersebut boleh
digunakan untuk kemudahan sukan, pemerkasaan diri dan
inisiatif-inisiatif lain yang mampu memberi kesan yang berpanjangan di
kalangan generasi muda.
Sementara laporan Ketua Audit Negara mungkin menarik perhatian
terhadap pembaziran dan kegagalan sistemik, ini juga merupakan peluang
yang baik untuk Kerajaan memikirkan semula pendekatan dasar dan kesannya
terhadap rakyat Malaysia yang biasa.
Nik Nazmi Nik Ahmad
Timbalan Speaker Dewan Undangan Negeri Selangor
Adun Seri Setia
Short URL: http://www.keadilandaily.com/?p=55967