Setelah lebih seminggu kempen pilihan raya kecil Kuala Besut, hari ini saya hendak bercakap sikit fasalnya. Saya tidak turun ke Kuala Besut, pertamanya kerana bulan Ramadhan, keduanya kurang 'berangin'. Dalam usia separuh abad begini sudah tidak berapa larat lagi untuk menjelajah dari satu pentas syarahan ke pentas syarahan. Semasa berlangsung pilihan raya kecil di kawasan itu tahun 1979 (kalau tidak silap), saya 'bertumah' berhari-hari dan ikut sama berada di tempat pengiraan undi sampai selesai. Ketika itu usia awal 20-an.
Allahyarham Daud Samad |
Dendam ini bukan kerana apa melainkan kerana Pas merasakan ia dikhianati oleh Umno dalam peristiwa penggulingan kerajaan Pas pimpinan Daud Samad dalam suasana tragis dalam tahun 1959. Saya percaya keadaan dan perasaan sama juga akan berlaku di Perak. Kalau adalah mana-mana pilihan raya kecil di Perak, Pas khasnya akan memberi tentangan hebat.
Di Kuala Besut ini sejauh mana ianya sengit dan berhawa saya tidak tahu kerana saya tidak turun walaupun sekali. Hanya memantau dan membaca laporan dalam media massa baru sahaja. Pastilah membaca media massa tidak akan dapat membuat ulasan atau gambaran tepat secara adil kerana media massa akan menulis mengikut kecenderongannya sendiri. Saya pula ada kaedah pengamatan tersendiri.
Pilihan raya kecil ini (24 Julai 2013) seperti sedia maklum ia adalah pilihan raya pertama selepas berlangsungnya pilihan raya umum ke-13. Pilihan raya ini menjadi penting kedua-dua parti yang bertanding, Pas dan UBN kerana perbezaan kerusi di antara kedua pihak yang diraih dalam pilihan raya lalu tipis; 17:15. Keadaan itu UBN yang menjadi begitu terdesak kerana kalau mereka kalah ia boleh menjejaskannya sebagai kerajaan. Kedudukan dalam DUN Terengganu akan jadi 16:16. Kedudukan itu dari segi moralnya ia memenangkan Pas.
Justeru Umno akan mempertahankannya dengan apa cara sekalipun bagi mengelakkan berlaku suasana kritikal itu. Kekalahan UBN di Kuala Besut sesuatu yang sangat memalukan. Bukan saja Ketua Umno di situ, Idris Jusoh tetapi MBnya Mat Said juga akan terkising-kising. Keaiban itu juga akan terheret kepada presiden Umno yang juga perdana menteri Najib Razak. Najib boleh menilai dan insaf kekalahan adalah satu simbol penolakan rakyat terhadap kepimpinannya selepas gagal mendapat majoriti dua pertiga dan mencatat pilihan raya terburuk buat UBN.
Kalau berlaku suasana itu (berkedudukan 16:16) kemungkinan DUN Terengganu akan dibubarkan. Keadaan kerajaan Terengganu jadi tidak stabil, dan akan membawa kepada pembubaran Dewan Undangan Negeri (DUN).
Signifiken itulah yang diharapkan oleh Pas, pembubaran DUN Terengganu. Pembubaran memberi peluang kepada Pas untuk merampas Terengganu. Sebab itu Pas dalam kempennya tidak mahu kepada kerusi MB tetapi inginkan kerusi Kuala Besut. Pilihan raya semula untuk negeri Terengganu memberi peluang kepada Pas membetulkan kesilapan-kesilapan teknikal yang berlaku semasa pilihan raya umum lalu.
Pastinya kalau diadakan pilihan raya hal-hal yang berlaku di tiga DUN; Bukit Besi, Kota Putera dan Seberang Takir tidak akan berulang lagi. Kejadian itu menyebabkan Pas bersama PKR gagal membentuk kerajaan, akan menginsafkan Pas dan PKR agar jangan 'berkekah' sesama sendiri. Begitu juga isu seluar dalam Mustapa Ali yang dimainkan oleh Umno Terengganu akan dapat diatasi. Baru ini Pas tidak sempat cover isu berkenaan kerana ia ditabur begitu cepat dan meluas.
Bolehlah dianggap kemenangan Umno ke atas Terengganu dalam pilihan raya lepas berbau hamis kerana seluar dalam dikatakan milik Mustapa Ali menjadi isu yang cukup berkesan kepada pengundi saluran 1 dan 2.
Apakah rakyat Terengganu khasnya di Kuala Besut dapat merasai keperluan berkenaan di sebalik natijah pilihan raya kecil itu? Pengundi Kuala Besut seramai lebih 17,679 boleh menjadi penentu kepada masa depan Terengganu. Atau mereka boleh bertindak menjadi hakim memberi peluang semula kepada UBN dan Pas untuk menentukan kekuatan dan nasib mereka. Apakah pengundi di Kuala Besut boleh melakukannya? Boleh!
Kita berharap pengundi Kuala Besut akan membuat perhitungan sebaik mungkin mengenai nasib diri rakyat dan negeri Terengganu. Mudahan mereka tidak akan mudah terpesona dan menggadaikan maruah diri dengan tawaran projek yang belum tentu dibuat UBN sebanyak RM377 juta. Hendaknya mereka tidak mudah menjual undi mereka dengan wang ringgit. Sesungguhnya nilai peranaan dan tanggungjawab mereka bagi membuka nasib kepada negeri Terenggau yang ada ditangan mereka kini lebih mahal dari itu. Mereka kena menyedari hakikat ini. Pengorbanan mereka didambarkan.
Pengundi Kuala Besut juga perlu mengenang dan mengorek apakah hikmah menyebabkan Allah memanggil bekas Adun, Abdul Rahamn Moktar terlalu awal? Ia tidak sia-sia sebenarnya melainkan ada hikmah disebaliknya. Dalam hal ini bagi saya, Allah sengaja membuka peluang kepada pengundi Kuala Besut untuk menjadi pengadil atau penentu kepada dimensi baru politik di Terengganu. Allah sengaja memilih Kuala Besut mungkin kerana pengundinya berani dan adil membuat keputusan serta berkedudukan sama rata dari segi pengaruh dan kekuatan parti. Pemanggilan Allah kepada Abdul Rahman itu bukan semata-mata Allah ingin memberi rezeki tetapi ada hikmah dan rahsia jauh dari itu.
Salah satu rahsianya sekiranya pengundi Kuala Besut memberi kemenangan kepada Pas, ia menjadikan kedudukan kerusi 16:16. Kedudukan itulah membuka dimensi baru kepada politik Terengganu. Pertama ia menguji atau memberi peluang kepada kedua pihak apakah boleh duduk bersama, membentuk kerajaan campuran. Kedua, ialah bagi mengadakan pilihan raya semula berasingan dengan pilihan raya federal. Pilihan raya bersendirian itu dilihat lebih murni, bersih dan berwibawa.
Barang kali untuk melihat perwujudan kerajaan campuran agak sukar dan sesuatu yang amat mustahil bila diukur kepada minda politik orang Melayu yang kian hilang pedoman waktu ini. Kalau pun ada ura-ura itu ia tidak mudah dipersetujui secara jemain, tetap akan ada penentangan.
Maka natijah dari kemenangan nanti tidak dapat tidak ia membuka peluang membolehkan DUN Terengganu dibubarkan. Kesimpulannya apa yang saya dapat simpulkan pengundi di Kuala Besut diuji bukan saja memilih Pas atau Umno tetapi diuji sejauh mana mereka dapat membaca rahsia di sebalik kejadian itu.
Hendaknya seluruh pengundi Kuala Besut tidak akan mengsia-sia peluang yang ada ditangan mereka dan jadilah sebagai orang yang mencatat sejarah baru untuk negeri Panji Alam itu. Sudah pasti sekiranya Kuala Besut dimenangi Pas yang kemudian menjadikan kedudukan kerusi di DUN 16:16 pengundi Kuala Besut akan dikenang dan diingat sebagai pengundi yang bijak, bebas dan berani mengambil peluang keemasan bagi mewujudkan suasana memungkinkan DUN Terengganu dibubar.
Dalam kosokata lain pengundi Kuala Besut akan memiliki kuasa penasihat seperti MB yang ghalibnya bila sampai masa akan menasihat Sultan membubarkan Dewan Undangan Negeri. Pengundi Kuala Besut dalam kedudukan hari ini adalah sebagai penasihat Sultan. [wm.kl.1:45 t/hari 22/07/13]