SEREMBAN: Himpunan Suara Rakyat Suara Keramat peringkat
Negeri Sembilan malam tadi menyaksikan kehadiran lebih 50,000 orang
yang terdiri dari pelbagai kaum.
Himpunan bagi membantah
keputusan Pilihan Raya Umum ke-13 (PRU13) malam tadi itu berlangsung di
kawasan parkir Jalan Haruan 4/7, Pusat Komersial Oakland di sini.
Seperti
siri himpunan di beberapa negeri sebelum ini, lautan hitam mewarnai
himpunan sebagai tanda matinya demokrasi di negara ini pada hari
pengundian 5 Mei lalu atau lebih dikenali sebagai 'blackout 505'.
Antara pimpinan Pakatan Rakyat yang hadir malam tadi termasuklah
Ketua Umum PKR Datuk Seri Anwar Ibrahim, Presiden PKR Wan Azizah Wan
Ismail, Timbalan Presiden PAS Mohamad Sabu, Naib Presiden Salahudin Ayub
serta pimpinan DAP termasuk Anthony Loke.
Anwar dalam ucapannya
malam tadi turut menyelar kenyataan Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri
Ahmad Zahid Hamidi yang menggesa rakyat yang tidak berpuas hati dengan
sistem pilihan raya supaya keluar dari negara ini.
Kenyataan itu dinyatakan Zahid dalam rencananya yang disiarkan akhbar Utusan Malaysia bertarikh 16 Mei 2013.
Menurut Anwar kenyataan Zahid itu angkuh dan pada masa sama cuba menghina rakyat di negara ini.
"Kamu ingat negara ini bapa kamu punya? Ini cara menghina rakyat," kata Anwar.
Sebelum
ini, selain pimpinan Pakatan Rakyat, kenyataan Zahid itu juga turut
dibidas Penganalisis politik, Prof Madya Datuk Dr Mohammad Agus Yusoff.
Agus
menjelaskan beliau terkejut dengan kenyataan tersebut dan
menyifatkannya tidak wajar diungkap keluar dari mulut seorang menteri.
“Mengapa DS Zahid boleh mengeluarkan kenyataan sebegini?” tanya beliau di dalam Facebooknya.
Beliau
juga mempersoalkan apakah salah jika rakyat mempersoalkan pelaksanaan
sistem pilihan raya yang ada dan apakah perlembagaan negara kita
menghalangnya.
“Setahu saya, Perkara 10 Perlembagaan menjamin hak
rakyat untuk bebas mengeluarkan pendapat, berhimpun dan berpersatuan,”
jelasnya.
Tambahnya, tidak ada satu klausa pun dalam
perlembagaan yang membenarkan menteri untuk memberitahu rakyatnya supaya
berhijrah ke negara lain hanya kerana berbeza pendapat dalam politik.
-harakahdaily
Remaja 16 tahun tembak ibu bapa, adik-beradik
27 minutes ago