.

Sunday, 21 April 2013

Tindakan Kamilia adalah manifestasi ramai ahli-ahli UMNO




Isu Kamilia Ibrahim, Naib Ketua Wanita UMNO Malaysia, bertanding dengan tiket bebas amat menarik. Menarik bukannya kerana ia mengejutkan, ia kejadian yang pertama kalinya berlaku dalam sejarah UMNO atau lebih khusus lagi sejarah Wanita UMNO, tetapi bagaimana reaksi UMNO terhadap tindakan Kamilia itu.

Walaupun Kamilia telah meletakkan jawatan selepas sahaja beliau mengemukakan kertas pencalonannya, Tan Sri Muhyiddin telah membuat kenyataan yang UMNO akan mengeluarkan surat pemecatan keatas Kamilia isnin ini. Sebagai seorang Pemimpin Tertinggi Wanita dan Ahli Majlis Tertinggi pula, sememangnya Kamilia sepatutnya dibawa bersama dalam rundingan dalam banyak isu parti termasuklah isu perletakan calon dalam pilihanraya kali ini.

UMNO telah mengguris Kamilia sebegitu rupa dan tindakan beliau bertanding diatas tiket bebas itu merupakan tindakan manifestasi Wanita UMNO terhadap pandangan pimpinan UMNO terhadap Wanita. Perlakuan terhadap Kamilia itu merupakan lambang UMNO sudah kehilangan wibawa yang tidak tahu berbuat apa yang sangat penting untuk menjaga hati ahli-ahli Wanita nya.

Ketua Wanita, Shahrizat sudah tidak ada kredibiliti lagi dan sepatutnya Sharizat tidak lagi berada dalam jawatan yang beliau sandang itu kerana isu skandal NFC. Beliau tidak lagi bertanding dalam pilihanraya kali ini. Shahrizat adalah seorang yang 'politically menopause'. Selepas Shahrizat orang yang terkanan adalah Kamilia dan sepatutnya beliau mempunyai suara bagi mewakili wanita dalam isu pilihanraya kini.

Tetapi sebaliknya Pimpinan Tertinggi UMNO membuat kenyataan yang amat menjelekan kononnya Kamilia telah menolak cadangan UMNO untuk bertanding kerusi DUN Chandan, Kuala Kangsar. Sebenarnya Kamilia tidak dihubungi langsung sehingga malam sebelum penamaan calon. Saya selalu berkata dalam UMNO bercakap benar itu adalah salah dan dicegah. Ia dianggap sebagai dosa yang besar dan boleh membawa maut kepada karier politik mereka yang bersuara lantang.

Dalam UMNO yang boleh berfikir hanyalah  pemimpin tertinggi sahaja. Ahli-ahli lain tidak boleh membawa pemikiran baru. Tindakan Kamilia memberi kenyataan yang penglibatan Shahrzat dan keluarganya dalam isu NFC telah menjejaskan imej Wanita menjadi dosa besar dan Kamilia dimangsakan dalam pilihanraya kali ini.
Ada pihak dalam UMNO yang telah membidas Kamilia kerana tindakan beliau bertanding diatas tiket bebas itu, tetapi tidak ada siapa dalam UMNO jauh sekali dikalangan pimpinan Wanita bertanya kenapa ini boleh berlaku. Tetapi bagi ahli-ahli Wanita yang biasa, ramai yang merasa terhina sehinggakan saya sendiri yang tidak kena-mengena lagi dengan UMNO pun dihubungi oleh kakak-kakak dalam UMNO meminta saya memberikan komen dalam blog saya ini.

Saya hendak memberitahu kepada kakak-kakak dalam UMNO itu yang saya sudah lama berfikir tentang kerosakan dalam UMNO itu dan sudah lama juga saya berkeyakinan yang UMNO itu sudah tidak boleh diperbaiki lagi kerana tidak ada seorang pun dalam kepimpinan tertinggi UMNO itu boleh menyelamatkan parti itu. Kalau ada pun dikalangan ahli UMNO yang berkemampuan, mereka telah diterajang keluar oleh UMNO yang tidak mahu mengalih dan menganjak sikap buruk pimpinan itu.

Bagi saya Kamilia mempunyai hak untuk bertindak demi menjaga maruah Wanita yang tidak dihormati oleh UMNO lagi. Kamilia telah dikorbankan oleh UMNO dan sekarang beliau sendiri mengorbankan dirinya sendiri untuk Wanita UMNO. Yang sangat menyayat hati ramai Wanita UMNO telah mengambil keputusan untuk tidak mengiktiraf sumbangan Kamilia kepada UMNO selama ini. Ini kenyataan yang sangat memilukan dari UMNO yang sepatutnya menjadi parti contoh kepada rakyat yang ramai-ramai ini.

Selalunya orang seperti Kamilia ini akan dinilai dengan baik setelah UMNO itu terkubur. Semasa itu nanti akan ramai lah yang akan teringat kepada Kamilia dan barulah mereka hendak menghargai beliau tetapi semasa itu nanti Kamilia sendiri sudah terlalu lanjut usianya untuk berbuat sesuatu. Pendeknya UMNO sepatutnya tamatkan kontraknya untuk menjaga negara,

Sepatutnya UMNO diketepikan sepuluh tahun dahulu lagi. Seandainya UMNO ditolak sepuluh tahun dahulu, ada kemungkinan parti itu boleh diperbaiki tetapi apabila UMNO sudah menjadi parti beku saya tidak nampak bagaimana UMNO boleh diperbaiki lagi kerana semua organ-organ dalam UMNO itu sudah rosak ketahap ‘terminal’.

Tetapi rakyat Melayu masih bernasib baik kerana parti yang ditindas selama ini sudah begitu matang dan serius untuk mengambilalih kepimpinan dari UMNO, iaitu PAS. Himpitan yang dialami oleh PAS selama lebih dari lima dekad telah membuatkan parti itu menjadi segar dan matang yang mampu memberikan ‘alternative’ kepimpinan kepada negara.

PAS semasa dihimpit dan ditekan selama ini dengan penuh kesabaran telah membina parti itu menjadi parti yang begitu mantap dan memahami segala degup jantung rakyat berbilang kaum di negara ini.

Manifestasi yang ditunjukkan oleh Kamilia itu sudah cukup untuk membuktikan yang UMNO sudah sampai waktu berehat nya. Kita mahu merasakan ‘ambience’ baru dalam politik tanah air dan itu adalah hak setiap rakyat untuk merasakannya.

Perlu diingat Putrajaya itu hanyalah tanah TOL (temperory Occupancy Licence) kepunyaan rakyat. Rakyat boleh pilih PAS pula menduduki tanah TOL itu.


Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...

TERIMA KASIH KERANA MENG"KLIK"...

Bloglist