PUTRAJAYA: Calon PAS bagi Parlimen Putrajaya Datuk
Husam Musa berkata, sekiranya Pakatan Rakyat berjaya membentuk kerajaan
selepas Pilihan Raya Umum ke-13 (PRU13) ini, sistem pertukaran guru akan
diubah ke arah lebih 'mesra keluarga'.
Bercakap pada sidang
media di sini hari ini, Husam yang juga Naib Presiden PAS itu berkata,
pada waktu ini ramai guru-guru terpisah jauh dari anak isteri
masing-masing ekoran sistem pertukaran guru yang tidak berpandukan
kepada konsep yang betul.
"Ada pasangan guru dipisahkan, suami di
Johor, isteri di Perlis, isteri di Selangor suami di Sarawak. Apa
perasaan mereka? Siapa yang akan bertanggungjawab menguruskan anak-anak
yang masih kecil?
"Bayangkan ada pasangan muda terpaksa berpisah
kerana tiada konsep mesra suami isteri. Ada yang berseloroh, macam mana
kalau perdana menteri dan isteri dipisahkan begitu. Saya harap Datin
Seri Rosmah dapat faham rungutan kakitangan awam ini," kata Husam.
"Kalau
Pakatan Rakyat diberi mandat mentadbir negara, saya berjanji kepada
lebih kurang 400,000 guru di Malaysia bahawa kalau ada pertukaran guru,
kita akan buat dengan cara mesra keluarga," katanya lagi.
Konsep itu juga ujarnya akan diguna pakai kepada semua kakitangan awam di pelbagai sektor dan bukan khusus kepada guru sahaja.
Sehubungan itu juga katanya, satu forum Debat Putrajaya akan diadakan
dan beliau menawarkan diri untuk tampil di pentas debat itu.
Beliau
turut mengajak Timbalan Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin untuk
tampil bersama bagi membincangkan tajuk 'Kebajikan Guru'.
Menurutnya, Muhyiddin adalah individu paling layak memandangkan beliau adalah menteri pelajaran./~harakahdaily
Remaja 16 tahun tembak ibu bapa, adik-beradik
36 minutes ago