Hari penamaan calon pagi ini menandakan permulaan rasmi pilihan raya umum ke-13 (PRU13) yang membabitkan pertandingan merebut 222 kerusi Parlimen dan 505 kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN).

Cuaca pagi ini diramalkan baik di kebanyakannya tempat di seluruh negara, kecuali Pulau Pinang, Johor dan kawasan-kawasan tertentu di Melaka.

Penamaan calon akan bermula dari jam 9 pagi hingga 10 pagi. Untuk pertama kalinya, tidak akan ada tempoh bantahan awam terhadap mana-mana calon seperti sebelum ini.

Tidak seperti pada tahun 2008, pakatan PAS, PKR dan DAP dijangka tidak akan bertanding sesama mereka tetapi ramai calon Bebas akan muncul untuk membawa kepada pertandingan pelbagai penjuru.

Sebilangan besar mereka yang tidak terpilih sebagai calon BN dan Pakatan dijangka bertanding sebagai calon Bebas.

Sabah, seperti tradisinya, dijangka menyaksikan paling banyak pertandingan pelbagai penjuru, dengan Parti Maju Sabah (SAPP) dan Parti Reformasi Negeri (Star) turut serta dalam pilihan raya kali ini.
DAP dijangka menggunakan logonya sendiri untuk bertanding berikutan jaminan pada saat-saat akhir daripada Pendaftar Pertubuhan (ROS) bahawa ia tidak ada bantahan terhadapnya walaupun tidak mengiktiraf barisan kepimpinan parti itu.

Sebaik sahaja pegawai pengurus pilihan raya mengumumkan calon-calonn yang bertanding, kempen pilihan raya umum akan bermula secara rasmi selama 15 hari sehingga tengah malam 4 Mei.

LAPORAN LANGSUNG

7:54am: Penyokong BN dan Pakatan Rakyat mula berkumpul di pelbagai kawasan untuk bergerak ke pusat penamaan bersama calon masing-masing.

Kota Kinabalu - Keadaan lalulintas tidak banyak dan, jika tidak kerana bendera yang dipasang di sepanjang jalan, mungkin orang ramai tidak perasaan yang hari ini adalah hari penamaan calon.

Bentong - Kira-kira 300 penyokong Himpunan Hijau dan penyokong Pakatan Rakyat mula berarak dari Medan Selera Kampung Baru -  600 meter dari pusat penamaan calon.

Mereka melaungkan "Ini Kalilah" dan "Kuburkan BN" .

Jerlun - Penyokong kedua-dua pihak mula berkumpul. Pusat penamaan calon ialah di Sekolah Menengah Sains Kubang Pasu dan kedua-dua kem berkumpul di kawasan yang bertentangan.

Kerusi Parlimen Jerlun dan kerusi DUN Ayer Hitam akan menyaksikan orang kuat Umno, Datuk Othman Aziz dan Datuk Mukhriz Mahathir berdepan dengan Exco PAS, Dr Ismail Saleh dan Abdul Ghani Ahmad.
Pandan - Walaupun tidak ramai kelihatan penyokong parti dari mana-mana pihak, lebih 100 anggota polis dan petugas majlis tempatan telahpun menutup jalan di hadapan pusat penamaan calon.

Kereta bomba membantu dengan mengisi air ke dalam bekas halangan jalan, manakala trak tunda mengalihkan kenderaan yang diletakkan di dalam zon penampan sejuh 50 meter dari pusat penamaan calon.

Cuaca masih sejuk dan berangin ketika petugas media menunggu di luar pusat penamaan calon menunggu sama ada penyandang Datuk Seri Ong Tee Keat akan mempertahankan kerusinya sebagai calon Bebas.

8 am: Pandan - Tee Keat muncul di kawasan bertentangan dengan medan makan Lembah Maju dan menyampaikan ucapan kepada kira-kira 100 penyokongnya yang berbaju oren. Masih tidak jelas sama ada beliau akan bertanding.
[Laporan lanjut menyusul] 

-Malaysiakini