Hanya
dua hari sebelum penamaan calon, ROS atau Pendaftar Pertubuhan
tiba-tiba menghantar surat kepada DAP memberitahu bahawa ahli
jawatankuasa pusatnya yang dipilih dalam pemilihan lalu tidak diiktiraf
dan mahu diadakan pemilihan semula. Tindakan ROS itu jelas berniat
politik dan untuk mengelakkan DAP bertanding menggunakan logo roketnya
dalam pilihanraya ini.
Walaupun ROS dan SPR kemudiannya ada juga memaklumkan bahawa DAP masih
boleh bertanding menggunakan logonya, isu yang timbul ialah kemungkinan
pencalonan calon-calon DAP akan ditolak oleh SPR kerana pemegang jawatan
DAP yang menandatangani watikah calon tetap juga tidak diiktiraf oleh
ROS. Isu teknikal ini, jika DAP tetap juga menggunakan logonya, akan
dijadikan senjata untuk membatalkan semua calon-calon DAP dan menjadikan
mereka tidak layak bertanding. Akhirnya buta-buta calon BN yang
berlawan dengan DAP akan menang tanpa bertanding.
Itulah sebenarnya muslihat ROS menghantar surat kepada DAP di saat-saat akhir sebelum hari penamaan calon ini.
Muslihat lain yang diharapkan oleh Najib dengan menggunakan ROS
menghantar surat itu ialah ia akan menyebabkan calon-calon DAP yang
bertanding akan menyertai pilihanraya atas tiket Bebas dan masing-masing
menggunakan logo yang berbeza-beza. Ini diharapkan akan mengelirukan
pengundi serta memudahkan BN memutarbelitkan pelbagai fakta.
Siapa pun yang melihat tindakan ROS tergadap DAP di saat-saat akhir ini
dapat merasakan ia bermotifkan politik dan untuk kepentingan Najib dan
BN. Isu bantahan terhadap pemilihan DAP ini sebenarnya sudah lama
berlalu dan surat penjelasan kepada ROS juga sudah dihantar beberapa
bulan lalu, kenapa baru sekarang hendak memaklumkan ROS tidak
mengiktirafnya?
Budak-budak sekolah pun dapat memahami maksud politik ROS itu?
Setelah mendapati kedudukan pengundi Cina masih tidak berubah dan tetap
mahukan perubahan, Najib seolah-olah hilang punca untuk memikirkan
apakah tindakan selanjutnya untuk menjadikan mereka berpecah. Sudah
berbagai usaha dilakukannya, dari bantuan BR1M bernilai RM500 hinggalah
bantuan berjuta kepada sekolah Cina, menghadiri pelbagai majlis
keramaian masyarakat Cina, memakai pakaian kebudayaan Cina dan
sebegainya, hakikatnya pengundi Cina tetap menolak BN.
Sementara DAP dan PKR makin menggelembung dengan sokongan pengundi
Cina, MCA dan Gerakan pula makin lama makin ditolak dan diketepikan.
Najib sedar jika undi Cina tidak dipecahkan, masa depan BN akan terus
kelam. Tindakan terbaru ROS terhadap DAP adalah dipercayai ke arah itu
dan bagi memastikan BN terus berkuasa. Sudahlah pendaftaran Pakatan
Rakyat yang menaungi PAS, DAP dan PKR untuk menyaingi BN bagi menjadikan
sistem pilihanraya negara ini bergerak ke arah sistem dua parti,
sehingga sekarang masih tidak ketahuan dan terperap di pejabat ROS,
nawaitu ROS sebenarnya makin terserlah dengan tindakannya yang terbaru
terhadap DAP ini.
Meskipun semalam DAP memberi tempoh sehingga jam 3 petang ini untuk ROS
membatalkan suratnya yang terdahulu yang tidak mengiktiraf
pemegang-pemegang jawatan dalam parti itu, sehingga ke malam ini, ROS
masih tiada jawapan.
DAP akhirnya memutuskan calon-calonnya akan bertanding menggunakan logo
Pas di Semenanjung manakala di Sabah dan Sarawak pula akan menggunakan
logo PKR. Dalam hal mendesak seperti ini, ROS seharusnya bertindak
pantas mengikut kepentingan semasa, sebaliknya telah gagal berbuat
demikian dan seolah-olah tidak berani bertindak tanpa mendapat kelulusan
daripada orang atasannya.
Tidak syak lagi, dalam beberapa tindakan ROS kebelakangan ini, termasuk
melengah-lengahkan kelulusan pendaftaran Pakatan Rakyat dan yang terbaru
menghantar surat tidak mengiktiraf pemegang jawatan DAP hanya dua hari
sebelum hari penamaan calon, mengesahkan ROS merupakan alat politik
Najib dan umpama anggota terbaru komponen BN.
Niat dan gerak kerjanya lebih ke arah memastikan BN menang pilihanraya dan Najib kekal sebagai Perdana Menteri.
Dalam berharapan dengan PR dalam pilihanraya ini, Najib nampaknya tidak
sedia untuk berhadapan dengan lawannya di padang yang sama luas dan sama
rata. Sampai ke saat akhir, beliau masih cuba menekan parti-parti dalam
PR dengan harapan kemenangan akan berpihak kepadanya.
Tetapi dengan tindakan DAP menggunakan logo Pas, banyak rahmat dan
kelebihan akhirnya memihak kepada PR. Selain BN dan Najib tiada isu lagi
untuk mengadu-domba serta melaga-lagakan antara Pas dan DAP, ia juga
akan menjadikan penyatuan hati dan jiwa yang lebih erat antara penyokong
kedua-dua parti itu. Jika selama ini mereka mudah dipecahkan, kini
sudah tiada isu lagi.
Penyokong Pas dan pengundi atas pagar yang beragama Islam tidak akan
ragu-ragu lagi mengundi Pas kerana berpendapat orang bukan Islam pun
sudah boleh menerima Pas, manakala pengundi bukan Melayu pula tidak
melihat ianya sebagai masalah kerana yang bertanding tetap sebangsa
dengan mereka walaupun logo Pas yang digunakan. DAP tidak memilih
menggunakan logo PKR kerana antara kedua parti itu tidak ada masalah dan
tidak menjadi sasaran adu-domba oleh BN.
Dalam hal ini, harus diakui tindakan DAP menggunakan logo Pas adalah
langkah bijak disaat-saat mereka ditekan oleh Najib melalui ROS.
Tindakan Najib mahu menggunakan ROS bagi menekan DAP dan menjadikannya
senjata untuk meraih keuntungan politik, nampaknya gagal lagi, malah
menikam dirinya sendiri.
Dengan hanya logo Pas dan PKR yang menyertai pilihanraya kali ini untuk
menentang BN manakala DAP berada di alam halimunan buat sementara tetapi
calon-calonnya yang bertanding atas tiket Pas yang akan lebih
bersemangat untuk melakukan perubahan, gelombang kebangkitan rakyat
pasti lebih menyerlah dan membuak-buak bagi mengakhiri era BN dan Najib
pada 5 Mei nanti. (SH 19/04/2013)
21 pelajar ditahan disyaki bergaduh di gelanggang futsal
44 minutes ago