KUALA LUMPUR: Pelbagai andaian mula bergerak di alam
maya sekarang ekoran tekanan yang diberikan terhadap Tun Dr Mahathir
Mohamad melalui suruhanjaya penyiasatan diraja (RCI) pemberian kad
pengenalan di Sabah.
Ada yang berpendapat, Perdana Menteri, Datuk
Seri Najib Razak sengaja memberikan tekanan ini kepada Tun Dr Mahathir
selepas beliau ditekan melalui Deepak Jaikishan.
"Mahathir guna
Deepak lemahkan Najib, Najib balas dengan kaitkan Mahathir isu pendatang
asing Sabah," kata satu dalam laman sosial Facebook.
Namun
begitu, Timbalan Presiden PKR, Azmin Ali dalam satu kenyataannya
berkata, ada perancangan untuk mengenakan Ketua Pembangkang, Datuk Seri
Anwar Ibrahim melalui RCI ini.
Azmin mendakwa parti itu menerima
maklumat bahawa terdapat cubaan pihak tertentu untuk mengaitkan siasatan
RCI berhubung isu pendatang tanpa izin Sabah dengan ketua umumnya Datuk
Seri Anwar Ibrahim.
Menurutnya, PKR sudah menjangka bahawa
perkara itu akan ditimbulkan kerana ia didakwa satu jalan mudah bagi
Umno dan BN untuk mengatasi isu berkenaan.
"Kita sedang meneliti
perkembangan ini, saya dapat maklumat-maklumat akhirnya akan dikaitkan
dengan Datuk Seri Anwar Ibrahim... Semua masalah dalam negara akan
dikaitkan dengan Datuk Seri Anwar Ibrahim," kata Azmin.
Azmin
mengulas kenyataan saksi di RCI tersebut semalam yang mengaitkan dua
bekas orang kanan bekas perdana menteri Tun Dr Mahathir Mohamad dengan
dakwaan pemberian kewarganegaraan untuk menjadi pengundi di Sabah.
-harakah daily
Kakitangan bank pun dah tak boleh nak dipercayai ke?
17 minutes ago