.

Sunday, 20 January 2013

Anwar Mahu Menumbangkan BN, Mahathir Pula Mahu Menumbangkan Najib

Oleh : Shahbudin husin

Apabila Mahathir menyifatkan kerajaan yang dipimpin Najib sekarang berada dalam keadaan lemah sehingga takut menggunakan kuasa, ia membawa tafsiran dengan maksud yang pelbagai. Lebih-lebih ia dikeluarkan di saat-saat Najib sedang bertarung antara "hidup dan mati" dalam PRU 13 yang mesti diadakan sebelum 28 April ini.

Dengan mengambil contoh Akta Keselamatan Dalam Negeri atau ISA yang dihapuskan oleh kepimpinan Najib kerana tekanan kuat daripada pelbagai pihak, Mahathir memberikan logik yang mudah iaitu " Apa yang dimalukan sangat dengan ISA?".

Bagi Mahathir, tindakan Najib menghapuskan ISA dan menggantikan dengan undang-undang lain adalah suatu kesilapan kerana kuasa besar seperti Amerika sendiri akhirnya menggubal undang-undang yang lebih keras dan zalim daripada ISA untuk menangani pengganas serta mewujudkan Kem Tahanan Guantanamo.

Tidak syak lagi bagi Mahathir, beberapa tindakan Najib yang antaranya menghapuskan ISA adalah bukti kepimpinannya yang lemah dan takut dengan kuasa.

Sebagai seorang yang masih berpengaruh, baik dalam UMNO mahupun di kalangan rakyat biasa, secara umumnya kenyataan Mahathir itu langsung tidak membantu UMNO dan BN. Ia seperti memperlekeh dan mengajak rakyat menolak kepimpinan Najib.

Jika benar Mahathir mahu melihat BN menang dalam pilihanraya akan datang, kenyataan seumpama itu tentunya tidak wajar dikeluarkan olehnya kerana ia boleh menambahkan lagi kekeliruan di kalangan pengundi atas pagar dan juga di kalangan ahli UMNO sendiri.

Sepertimana yang diketahui, salah satu sebab keputusan buruk pilihanraya 2008 ialah kerana serangan Mahathir yang berterusan kepada kepimpinan Pak Lah berikutan wujudnya anasir "budak-budak tingkat 4" yang didakwanya mempengaruhi kepimpinan Pak Lah ketika itu.

Serangannya yang berterusan sehingga keluar UMNO menyebabkan ramai ahli UMNO dan pengundi atas pagar terpengaruh dengannya, lantas bertindak mengundi pembangkang, merosakkan undi atau memboikot pilihanraya 2008 itu. Akhirnya BN hanya menang 140 kerusi Parlimen, hilang majoriti dua pertiga dan Pak Lah didesak berundur.

Walaupun pada mulanya Mahathir menyokong Najib tetapi kelemahan Najib yang amat ketara dan serta wujudnya campurtangan Rosmah dalam pelbagai aspek pentadbiran kerajaan menyebabkan Mahathir akhir-akhir ini seperti memperpelihatkan sikapnya yang turut bosan dengan kepimpinan Najib.

Jika majoriti rakyat melihat pelbagai karenah Rosmah sebagai lebih teruk daripada karenah "budak-budak tingkat 4" ketika era Pak Lah, sudah tentu Mahathir juga turut "getik" dengan apa yang berlaku sekarang.

Tindakan Mahathir mengkritik kepimpinan Najib yang disifatkannya lemah dan takut menggunakan kuasa, adalah gambaran bahawa anak Tun Razak itu bukanlah seorang pemimpin yang bijaksana. Mesej Mahathir ialah mahukan Najib ditukar dan digantikan dengan pemimpin lain yang lebih bijaksana, tahu menggunakan kuasa dan dipercayainya.

Meskipun Anwar dan Pakatan Rakyat sedang berjuang untuk turut merebut kuasa dalam PRU 13 akan datang, Mahathir sebenarnya tidak memihak kepada mereka. Jika Anwar mahu menumbangkan BN, Mahathir sebenarnya hanya mahu menukar Najib.

Apa yang dilakukan Mahathir sekarang ialah permulaan kepada apa yang bakal berlaku selepas pilihanraya umum nanti. Meskipun sekarang kedudukan seperti 50-50 antara BN dan PR tetapi Mahathir seperti meyakini BN akan mampu mengekalkan kuasa berdasarkan strategi akhir dan kuasa wang yang dimiliki oleh BN.

Dengan pelbagai kelemahan Najib yang sudah dipaparkan untuk tatapan rakyat selama ini, berlambaknya isu yang gagal ditangani, beban daripada Rosmah yang masih berterusan disamping dakwaan terbaru oleh Deepak Jaikishan, jelas meletakkan Najib dalam keadaan yang sukar untuk memperolehi lebih daripada 120 kerusi Parlimen.

Dengan ramalan hanya itu jumlah kerusi yang mampu dimenangi oleh BN atau tidak lebih daripada 140 kerusi, kedudukan UMNO dan kerajaan tentulah lebih parah lagi jika beliau terus menjadi penerajunya.

Kenyataan Mahathir yang mula menyebut kerajaan dipimpin Najib sebagai lemah dan takut menggunakan kuasa adalah isyarat yang jelas supaya kedudukan Najib turut diubah jika mahukan sebuah kerajaan yang kuat di masa akan datang.

Di dalam UMNO sendiri, kenyataan Mahathir yang menyifatkan kerajaan Najib sebagai lemah dan takut menggunakan kuasa, mula diperkatakan oleh pelbagai peringkat kepimpinan. Ada yang setuju dengan Mahathir dan tidak kurang yang menyatakan tidak wajar Mahathir mengeluarkan kritikan seumpama itu sekarang ini.

Tetapi secara nyatanya, oleh kerana Mahathir masih mempunyai pengaruh dalam UMNO dan sebahagian yang lain tetap menganggapnya sebagai idola, kiblat ahli UMNO sudah mulai berpecah sekarang ini. Najib tidak lagi dianggap kiblat yang satu.

Kritikan rakyat, pengundi atas pagar dan ahli UMNO sendiri terhadap Najib yang dianggap lemah oleh Mahathir itu menjadi semakin ketara akhir-akhir ini. Ia boleh didengari di kedai kopi, lobi hotel, di laman sosial dan di mana-mana, bahkan kadangkala di dalam Bangunan UMNO sendiri kritikan itu boleh didengari.

Sebagai Timbalan Perdana Menteri dan Timbalan Presiden UMNO, Muhyiddin tentulah orang yang paling bernasib baik jika arus perubahan yang sedang hangat diperkatakan dalam UMNO sekarang ini menjadi kenyataan. Ia sama seperti bernasib baiknya Najib ketika berlaku arus perubahan menolak Pak Lah dahulu.

Tidak dapat tidak, Muhyiddin adalah orang yang diharapkan untuk mengganti tempat Najib jika berlakunya perubahan walaupun Muhyiddin bukanlah sesempurna yang diharapkan. Beliau juga ada kelemahan dan masalahnya, tapi kepimpinan Muhyiddin mungkin lebih baik daripada Najib dan beliau juga bukan seorang yang takut menggunakan kuasa.

Dua tiga hari yang lalu Muhyiddin berada di Amerika Syarikat atas urusan rasmi tetapi sudah ramai yang bercakap tentang liputan media yang lebih hebat diperolehi oleh Muhyiddin berbanding Najib. TV3 misalnya memberi ruang liputan yang lebih lama untuk program lawatan Muhyiddin ke AS itu berbanding liputan untuk program Najib di dalam negara.

Bila ini berlaku dan orangramai bercakap mengenainya, selalunya ia akan menjadi kenyataan, lebih-lebih lagi apabila ia dimulakan oleh Mahathir. Mahathir dalam sejarahnya bersama UMNO, usahanya menjatuh dan menaikkan pemimpin jarang menemui kegagalan. (SH 19/01/2013)
Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...

TERIMA KASIH KERANA MENG"KLIK"...

Bloglist