Oleh : ASPAN ALIAS
SEMAKIN
hari semakin panas suhu politik di negara yang dikatakan pimpinan utama
kita akan menjadi negara maju yang berpendapatan tinggi. Entah apa
kemajuan yang kita akan capai tidak pula kita ketahui.
Tetapi apa yang kita
lihat, kita semakin hari semakin ke belakang dan tidak maju ke hadapan.
Isu bertambah rumit dan besar, dan semua isu ini berkait dengan tingkah
laku dan salah gunakuasa oleh pucuk pimpinan negara dan Umno.
Deepak
pula memberikan reaksi marah-marah apabila Najib memperlekehkan
tuduhannya (Deepak) terhadap terhadap Perdana Menteri yang ‘Kontroversi’
itu.
Deepak berjanji akan mengeluarkan lagi banyak isu yang belum diketahui umum yang berkaitan
dengan Najib suami isteri itu. Walau sebesar mana pun pawang dan dukun
digunakan oleh Rosmah, isu terhadap mereka yang tinggal di Sri Perdana
itu tetap datang bertalu-talu.
Nampaknya
satu demi satu perkara yang disorokkan oleh pucuk pimpinan sejak tiga
puluh tahun dahulu mula keluar dan ia memeranjatkan kepada setengah
pihak. Tetapi tidak pula memeranjatkan kepada setengah pihak yang telah
melihat dengan dekat perubahan nilai dalam Umno dan kepimpinannya sejak
dari masa itu.
Isu
yang terakhir ialah berhubung dengan Suruhanjaya Pendatang Asing (RCI)
Sabah yang telah di tubuhkan oleh kerajaan. Akhirnya Dr Mahathir
mengakui yang beliaulah yang terlibat dan membenarkan pemberian kad
pengenalan dan kerakyatan kepada pendatang asing di Sabah dahulu.
Dalam
pada beliau mengakui kerja yang tidak baik itu, Mahathir cuba mencari
tempat sandaran untuk meringankan perasaan bersalah beliau dengan
membabitkan Tunku Abdul Rahman Putra yang pada kononnya telah memberikan
sejuta orang Cina taraf kerakyatan semasa sebelum kita mencapai
kemerdekaan dahulu.
Ternyata
Mahathir ini semakin hari semakin kusut pemikirannya kerana tidak lagi
dapat melihat isu ini dari perspektif yang betul. Sekarang baru kita
sedar kenapa beliau (Mahathir) tidak menyokong penubuhan RCI ini kerana
beliau merupakan orang yang bertanggungjawab terhadap isu pendatang
asing di Sabah dahulu.
Membabitkan
nama Bapa Kemerdekaan negara oleh Dr Mahathir ini amat memalukan bagi
kita yang mendengarnya. Jawapan beliau tidak melambangkan yang beliau
seorang yang jujur. Memang benar lah pandangan setengah pihak, Mahathir
ini tidak boleh berjalan dengan betul diatas jalan yang lurus.
Tunku
Abdul Rahman telah memberikan kerakyatan kepada orang Cina dahulu
kerana ia merupakan pra-syarat bagi negara mencari jalan untuk
pencapaian kemerdekaan. Pemberian kerakyatan itu juga diberikan kepada
kaum India yang datang dari India yang bekerja di ladang-ladang getah
semasa kita dalam tadbiran penjajahan dahulu.
Bagaimana
Dr Mahathir boleh tergamak membabitkan Tunku dalam hal ini dan
menyamakan keadaan semasa itu dengan semasa beliau menjadi Perdana
Menteri. Menyamakan beliau dengan Tunku Abdul Rahman serupa lah
menyamakan buah epal dengan buah sukun atau buah bacang.
Pemberian
kerakyatan kepada pendatang semasa itu adalah syarat yang telah
ditetapkan oleh British bagi mencapai kemerdekaan untuk negara semasa
itu. Setelah semua kaum bersatu maka Tunku dan rombongan untuk mencapai
kemerdekaan itu terdiri dari rakyat Malaya yang berbilang kaum itu.
Pemberian
kerakyatan itu adalah untuk membina sebuah negara baru yang merdeka. Di
sebaliknya Dr Mahathir memberikan kerakyatan kepada pendatang asing di
Sabah itu adalah untuk meruntuhkan negara. Kad pengenalan yang di
berikan kepada pendatang asing di Sabah itu ialah untuk memenangkan
parti kerajaan yang sudah lemah dan ia meruntuhkan sistem demokrasi
negara ini.
Dr
Mahathir tidak dapat membezakan di antara belacan dengan cencaluk. Apa
pun, kenyataan Dr Mahathir itu membuktikan tuduhan banyak pihak yang
Mahathir akan melakukan apa sahaja untuk memenangi pilihanraya
semata-mata.
Ada
di antara mereka yang berpengaruh dalam negara ini memberikan pendapat
apa yang dilakukan oleh Dr Mahathir ini merupakan satu tindakan
‘treason’ yang amat serius. Mereka berpendapat Mahathir perlu di siasat
tentang kesetiaannya terhadap negara ini.
Jelas
sekarang Mahathir tidak boleh lari dari segala kesalahan beliau
terhadap orang Sabah yang asal. Dengan pemberian kad-kad pengenalan
kepada rakyat asing semata-mata kerana hendak menjaga kepentingan
politik kepartian itu, sememangnya satu tindakan yang ‘treason’ yang
sangat besar.
Kita
berharap RCI yang masih dalam peringkat penyiasatan itu, akan
melaksanakan tugas dengan jujur dan baik untuk kepentingan Sabah
khususnya dan negara amnya. Kita berharap Suruhanjaya itu akan membuat
cadangan tindakan terhadap pelaku kesalahan ini tanpa memilih bulu.
Bagi
saya , apa yang saya idamkan bersama dengan ramai yang lain ialah,
sebuah negara demokrasi yang benar-benar jujur dan tidak menyelewengkan
asas demokrasi itu secara sengaja semata-mata kerana kuasa. Rakyat
mengharapkan perkara seperti ini tidak akan berlaku lagi dan cara untuk
membina keyakinan rakyat kita.
-sabahkini.net