.

Monday 5 November 2012

Nurul Izzah nafi remeh soal akidah, sokong murtad


SHAH ALAM – Naib Presiden PKR, Nurul Izzah Anwar menafikan beliau meremehkan soal akidah atau mudah menerima orang Islam yang memilih untuk murtad seperti yang didakwa sesetengah pihak.

Beliau yang juga Ahli Parlimen Lembah Pantai juga berasa kesal apabila ada pihak cuba memutarbelitkan kenyataannya berhubung isu paksaan dalam agama melibatkan masyarakat Melayu di negara ini.

“Saya cenderung mendukung program pendididkan dan dakwah untuk memperkukuh akidah serta meningkat kefahaman terhadap Islam.

“Saya berdoa agar ALLAH SWT memberikan petunjuk dan hidayah kepada semua, demi kesejahteraan bersama,” katanya dalam satu kenyataan.

Kelmarin, sebuah portal media berbahasa Inggeris melaporkan Nurul Izzah mengatakan rakyat tidak seharusnya dipaksa untuk mengamalkan agama tertentu dan ini juga termasuk kepada orang Melayu.

"Jika anda bertanya kepada saya, tidak ada paksaan dalam agama, bagaimana kamu boleh minta maaf, (kebebasan beragama) ini hanya terpakai kepada bukan Melayu, ia perlu terpakai secara sama rata,” katanya yang dipetik dari portal berita itu.

Dalam pada itu, beliau berkata, ketika menjadi panelis dalam satu forum bertajuk ‘Islamic State: Which version? Whose responsibility?’, beliau turut ditanya berkait isu paksaan dalam agama melibatkan masyarakat Melayu.

“Saya tegaskan ‘tidak ada paksaan dalam agama (Islam)….’ sebagai yang dirujuk daripada ayat suci al-Quran, Surah Al-Baqarah, ayat 256. Ungkapan ini merangkumi seluruh umat manusia.

“Saya berpegang pada pendirian umum sedia ada iaitu setelah memeluk Islam, seorang Muslim tertakluk dengan syariat Islam; sebagaimana seorang warganegara tertakluk dengan Perlembagaan Persekutuan,” katanya lagi.

Berikut kenyataan penuh Nurul Izzah:

Saya ucapkan terima kasih di atas pertanyaan lanjutan yang diterima setelah saya menghadiri satu forum bertajuk “Islamic State: Which version? Whose responsibility?” sebagai seorang panelis.

Sewaktu sesi soal jawab, salah satu soalan ditanya kepada saya berkait isu paksaan dalam agama melibatkan masyarakat Melayu. Jawapan saya menegaskan ungkapan – “Tidak ada paksaan dalam agama (Islam)….” – daripada ayat suci Al Quran, Surah Al-Baqarah, ayat 256. Ungkapan ini merangkumi seluruh umat manusia.

Namun ditambah, saya berpegang pada pendirian umum sedia ada, iaitu setelah memeluk Islam, seorang Muslim tertakluk dengan Syariat Islam; sebagaimana seorang warganegara tertakluk dengan Perlembagaan Persekutuan.

Saya kesal kerana ada percubaan memutarbelitkan kenyataan saya seolah-olah saya meremehkan soal aqidah atau mudah menerima orang Islam yang memilih untuk murtad.

Saya cenderung mendukung program pendididkan dan daawah untuk memperkukuh aqidah dan meningkat kefahaman terhadap Islam.

Saya berdoa agar Allah SWT memberi petunjuk dan hidayah kepada semua, demi kesejahteraan bersama.

-sinarharian.com
Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...

TERIMA KASIH KERANA MENG"KLIK"...

Bloglist