KUALA LUMPUR 4 Oktober: Jumlah ‘dislike’ yang jauh melebihi ‘like’ pada rakaman Youtube sesi #TanyaNajib 2013 melalui Google Hangout malam tadi jelas menunjukkan warga maya, kebanyakannya orang muda menolak kepimpinan Perdana Menteri itu, terutama mengenai Bajet BN 2013.
Ketua Penerangan Angkatan Muda KEADILAN (AMK), Lee Khai Loon berkata, sangat pelik apabila percubaan Najib mendekati orang muda ditolak melalui jumlah ‘dislike’ yang direkodkan.
Najib berinteraksi secara langsung dengan rakyat menjawab soalan berkenaan Bajet 2013 dan rakaman sesi itu dimuat naik di Youtube rasmi beliau sendiri dan saluran Astro Awani.
Pada rakaman itu sebelum ia ditarik balik, jumlah ‘dislike’ penonton adalah 1,409 dan ‘like’ pula 605, manakala di saluran Astro Awani, jumlah ‘dislike’ adalah 1,774 berbanding ‘like’ sebanyak 90.
“Orang muda tak mahu lihat Najib cakap banyak sangat, sebaliknya sahut cabaran debat dengan Ketua Pembangkang Datuk Seri Anwar Ibrahim.
“Malah Najib hanya beri jawapan selamat dan retorik…soalan kritikal dan penting tidak dilayan,” kata Khai Loon ketika dihubungi.
Malah Najib juga tidak menjawab soalan oleh Khai Loon sendiri seperti ketidakhadiran beliau ketika Anwar membahaskan Bajet 2013 dan pertembungan peranannya sebagai Perdana Menteri dan Menteri Kewangan.
“Walaupun Najib tidak jawab (soalan kritikal), orang muda bijak dan akan menilai kelayakan beliau sebagai Perdana Menteri, khasnya ketika pilihan raya umum akan datang,” kata Khai Loon lagi.
Anwar merupakan pemimpin pertama di Malaysia dan Asia Tenggara memanfaatkan Google Hangout pada 17 Oktober lalu.
Setakat ini, jumlah ‘like’ pada rakaman sesi yang dimuat naik di saluran ‘Anwar Ibrahim’ adalah sebanyak 1,352 manakala ‘dislike’ hanya 163.
Short URL: http://www.keadilandaily.com/?p=37346