Friday, 5 October 2012

RM2500 untuk sebuah tangki air plastik?

KUALA LUMPUR, 4 OKTOBER: Harga tangki air plastik sehingga lima kali ganda dari harga pasaran telah menimbulkan keraguan dan mengejutkan ramai pihak dengan peruntukan RM100 juta oleh Kerajaan Persekutuan Barisan Nasional dalam Belanjawan 2013 mereka untuk Sabah dan Sarawak bagi menyediakan 40,000 tangki plastik untuk simpanan dan tadahan air rakyat di kawasan pedalaman negeri tersebut.

Menurut Ahli Parlimen Kota Kinabalu Dr. Hiew King Cheu, harga RM2,500 setiap sebuah tangki plastik adalah tidak masuk akal dan tidak boleh diterima.

“Dalam satu semakan yang dibuat untuk sebuah tangki yang hampir serupa dengan tangki 1Malaysia yang dibekalkan sebelum ini, kita dapati harga sebenarnya cuma sekitar RM500 sebuah. Jika ditambah dengan kos pengangkutan dan keuntungan, ia tidak akan semahal itu,”

Menurut beliau, kerajaan BN tanpa segan silu membuka pekung mereka sendiri kerana apa yang paling diperlukan penduduk di kampung dan kawasan pedalaman ialah bekalan air paip yang terawat bukannya tangki air plastik.

“Sampai sekarang, bekalan air terawat tidak boleh didapati walaupun rumah penduduk kampung mempunyai paip air. Kenapa ini boleh berlaku? Kenapa penduduk kampung terutamanya di Sabah ini dipinggirkan?” soalnya dalam kenyataan kepada media hari ini.

Katanya lagi, pemberian tangki plastik ini bukanlah satu penyelesaian masalah jangka panjang.

“Apa gunanya tangki tersebut dalam musim kemaru yang panjang atau lebih dari seminggu? Penduduk akan tetap menderita ketiadaan air,” ujar Dr. Hiew.

Dalam perkara yang sama, satu-satunya Ahli Parlimen DAP di Sabah itu berkata bahawa air yang ditakung dari air hujan tersebut tidaklah bersih dan biasanya menjadi tempat nyamuk bertelur.

“Kekotoran pada bumbung rumah juga boleh menyebabkan air takungan tersebut tercemar.” jelasnya lagi.

“Oleh yang demikian, perkara yang perlu diutamakan bukanlah tangki air plastik tetapi membekalkan bekalan air bersih terawatt kepada kawasan pedalaman untuk memastikan kesihatan penduduk terjamin.” – Roketkini.com
Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...
There was an error in this gadget

TERIMA KASIH KERANA MENG"KLIK"...

Blog Pro PR (1)