.

Sunday, 21 October 2012

Haram mengundi MCA, Umno bagaimana?


Dewan Pemuda PAS Malaysia (DPPM) menyambut baik kenyataan keras Setiausaha Agung Perkasa, Syed Hassan Ali yang membayangkan haram bagi umat Islam untuk mengundi MCA dalam pilihan raya ekoran kenyataan terbaru Presiden MCA berhubung hudud yang didakwa menghina Islam.

DPPM menganggap Perkasa masih mempunyai iman di hati kerana sanggup mempertahankan Islam dengan mengeluarkan kenyataan keras seperti ini meskipun akan dibenci oleh pemimpin Umno BN serta rakan-rakan NGO mereka yang lain.

Setidak-tidaknya Perkasa berani mengeluarkan kenyataan beramaran tersebut yang pastinya akan menyentakkan pemimpin MCA. Kebenaran perlu ditegakkan meskipun ianya pahit untuk ditelan.

Namun demikian DPPM merasa sedih kerana para pemimpin Umno masih diam membatu dan ‘menikus’ untuk bangkit menegur atau mengherdik Presiden MCA itu.

Para ulama dan cendikiawan Islam di dalam Umno juga ramai, tetapi tidak ada seorang pun yang bangkit lantang menegur pemimpin MCA. Seolah-olah tidak ada apa yang berlaku dan pemimpin Umno menganggap itu bukan suatu kesalahan.

Di sisi rakyat, kesalahan tersebut adalah suatu penghinaan terhadap agama Islam. Kesalahannya terlalu serius dan tindakan keras perlu diambil terhadap pemimpin seperti ini.

Lebih malang lagi, bukan sekadar tidak menegur, malah Umno masih lagi berkompromi dan menjalinkan kerjasama padu dengan MCA melalui BN. Seolah-olah kenyataan Presiden MCA yang terang-terangan menghina Islam tidak memberi apa-apa kesan terhadap hubungan erat antara mereka.

MCA masih lagi diberi tempat, kerusi, kedudukan bahkan bersuara apa sahaja yang mereka inginkan tanpa sekatan dan teguran dari pemimpin Umno. Apakah nilai pemimpin Islam seperti ini?

DPPM percaya, umat Islam di negara ini merasa malu kerana mendapat pemimpin negara yang begitu lemah sehingga ada pemimpin parti komponennya yang menghina Islam lalu mereka tidak boleh berbuat apa-apa.
Sehubungan itu, DPPM mencabar Perkasa keluarkan kenyataan dan pendirian tegas berhubung sokongan terhadap UMNO dalam Barisan Nasional dalam PRU13.

Jika mengundi MCA dianggap haram, mengundi Umno yang bersekongkol dengan MCA bagaimana pula?
Justeru, Jika benar Perkasa mahu mendaulatkan Islam dan menjaga kesucian Islam, mereka perlu tegas dalam menyatakan ‘amar ma’aruf nahi mungkar’ sekalipun mereka akan dihina dan dicemuh oleh Umno.

Persimpangan ini perlu dipilih dan Perkasa perlu ikhlas dalam menentukan hala tuju perjuangan mereka dengan berpandukan perkara berikut: Mahu menjaga kepentingan agama Islam atau kepentingan politik dan dunia yang sempit sehingga mengundang kemurkaan Allah SWT.

Penulis ialah Ketua Penerangan Dewan Pemuda PAS Malaysia

-harakahdaily
Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...

TERIMA KASIH KERANA MENG"KLIK"...

Bloglist