.

Monday 30 July 2012

SABAH PERLU TUKAR KERAJAAN

KOTA KINABALU : Sabah akan ketinggalan jauh dari segi pembangunan fizikal berbanding dengan negeri-negeri lain di Malaysia jika Barisan Nasional (BN) terus memerintah, kata Parti Maju Sabah (SAPP).

Naib Presiden SAPP Tuan Haji Jaafar Haji Ismail berkata, Sabah masih dilanda kemunduran tanpa sebarang pembangunan mapan yang boleh dibanggakan sehingga ke hari ini. “Contoh jelas ialah keadaan jalan raya dan bekalan letrik dimana banyak jalan-jalan terutamanya di kawasan luar bandar masih belum lagi di aspal.
“Bekalan letrik juga masih belum sempurna sehingga ada disetengah-setengah kawasan tiang lampu sudah terpacak sejak sekian lama tetapi lampunya tidak hidup kerana bekalan letrik masih belum ada,” katanya.

Beliau berucap pada majlis penyampaian Ole-Ole Hari Raya Aidilfitri dan berbuka puasa anjuran Jawatankuasa Perhubungan Kawasan (CLC) SAPP Karambunai di Kampung Chenderamata II, Likas, di sini.

Hadir sama, Presiden SAPP merangkap Pengerusi CLC Karambunai Datuk Seri Panglima Yong Teck Lee, Penasihat SAPP yang juga bekas Menteri Kewangan Sabah Datuk Mohd Noor Mansoor, Timbalan Presiden selaku Ahli Parlimen Sepanggar Datuk Eric Majimbun dan Timbalan Presiden selaku Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Likas Datuk Liew Teck Chan.

Turut hadir, Penasihat SAPP Awang Talip, Pengerusi majlis Mulkaseh Renda, Ketua Wanita selaku ADUN Luyang Melanie Chia, Ketua Penerangan Chong Pit Fah dan Ahli Majlis Tertinggi merangkap Penolong Pengerusi Penganjur Stephan Gaimin.

Jaafar seterusnya berkata, kemunduran yang melanda Sabah selama ini berpunca daripada kelemahan pentadbiran Kerajaan Negeri yang dipimpin Ketua Menteri Datuk Seri Musa Aman.

Katanya, Musa hanya mementingkan diri sendiri dan ahli keluarga sahaja serta kroni-kroninya sehingga membelakangkan rakyat yang memerlukan pembangunan.

Beliau berkata, jalan terbaik untuk mengubah nasib rakyat dan negeri Sabah ialah dengan menukar tampuk kepimpinan Kerajaan Negeri daripada BN kepada SAPP.

Manakala, Mulkaseh dalam ucapannya berkata, Kerajaan BN Sabah pada hari ini tidak berupaya membantu rakyat walaupun jumlah mereka hanya sedikit sahaja. “Sebagai contoh, nasib malang yang menimpa mangsa kebakaran di Kampung Chenderamata II sejak April lalu masih belum terbela sehingga ke hari ini.

“Ada sesetangah daripada mereka terpaksa tinggal dalam pondok yang dibina di atas tapak tanah bekas rumah mereka yang terbakar itu. Ada juga yang mampu membina semula rumah masing-masing tetapi masih belum mendapat bekalan letrik walaupun pendawaian sudah siap dipasang,” katanya.

Katanya, sebanyak 12 rumah musnah dalam kebakaran itu tetapi Kerajaan BN Sabah masih gagal menghulurkan bantuan yang sepatutnya sehingga ke hari ini.

“Kira-kira 12 tahun lalu, kebakaran besar telah memusnahkan hampir keseluruhan kampung ini tetapi dapat dibangunkan semula sehingga menjadi sebuah perkampungan terindah di bandaraya ini hasil bantuan daripada Ketua Menteri ketika itu iaitu Datuk Seri Panglima Yong Teck Lee.

“Ini menunjukkan Teck Lee berupaya membawa perubahan,” katanya sambil menambah, Sabah akan mendapat perubahan yang diinginkan jika SAPP mengambil alih tampuk pemerintahan Kerajaan Negeri selepas pilihan raya umum akan datang.

Mulkaseh berkata, rakyat perlu memberi sokongan tidak berbelah bahagi kepada SAPP pada pilihan raya umum kali ke-13 akan datang agar Sabah dapat dimajukan seiring dengan keperluan rakyat.
 
Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...

TERIMA KASIH KERANA MENG"KLIK"...

Bloglist