.

Thursday 7 June 2012

UNISEL cair aset bantu pelajar

Barisan Nasional telah menjadikan pelajar UNISEL dan ibubapa mereka yang sebahagian besarnya Melayu sebagai mangsa dengan membekukan PTPTN.

 PETALING JAYA: Menteri Besar Selangor Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim berkata, kerajaan negeri memandang berat kesusahan yang dihadapi pelajar-pelajar baru Universiti Selangor (UNISEL)  yang teraniayai.

Ini berikutan tindakan Kerajaan Persekutuan dan Menteri Pengajian Tinggi yang membekukan Perbadanan Tabung Pendidikan Tinggi Nasional (PTPTN) kepada pelajar di universiti tersebut.

“Sebagai langkah jangka pendek, pihak UNISEL akan menggunakan asetnya untuk membantu pelajar-pelajar yang dalam kesukaran meneruskan pengajian.

“Aset ini merupakan hartanah seluas 500 ekar yang diperolehi hasil penyusunan semula hutang-hutang Talam Corporation Sdn Bhd.,” katanya dalam satu kenyataan media hari ini.

Menurutnya, kerajaan Selangor telah selesai menyusun semula hutang-hutang ini di mana tanah seluas 500 ekar telah menjadi aset UNISEL.

Ujar Abdul Khalid, “kerajaan negeri akan membantu UNISEL mengapungkan hartanah tersebut dipasaran untuk mendapatkan wang tunai.

“Dianggarkan sejumlah RM30 juta boleh diperolehi hasil dari usaha ini. Sebahagian wang ini akan digunakan untuk membantu pelajar- pelajar yang teraniayai akibat dari tindakan kerajaan Barisan Nasional membekukan PTPTN.

Bagaimanapun katanya, bantuan kewangan ini hanyalah berbentuk sementara sehingga penyelesaian konkrit dicapai. UNISEL akan memperincikan bantuan yang akan diberikan kepada pelajar-pelajar teraniayai ini dalam tempoh terdekat.

“Kerajaan Selangor sangat kecewa dengan tindakan Kerajaan Persekutuan khususnya Menteri Pengajian Tinggi yang mengaku bertanggungjawab mengarahkan pembekuan PTPTN kepada UNISEL.

K’jaan BN ketepi semangat Federalisme

“Tindakan tidak bertanggungjawab dan membelakangi semangat Federalisme ini bukan sahaja menganiayai pelajar-pelajar baru malah telah mengecewakan ibubapa yang menaruh harapan tinggi terhadap anak-anak mereka.

“Barisan Nasional telah menjadikan pelajar UNISEL dan ibubapa mereka yang sebahagian besarnya Melayu sebagai mangsa hanya kerana perbezaan dasar politik antara Kerajaan Selangor dan Pusat.
“Hal ini jelas menunjukkan BN sanggup melakukan apa sahaja untuk melaksanakan politik sempit mereka hatta menganiaya dan menggadai masa depan anak-anak muda di negara ini.

Menteri Pengajian Tinggi Datuk Seri Khaled Nordin mengakui sengaja membekukan pinjaman PTPTN untuk para pelajar UNISEL kerana mahu membalas dendam terhadap kerajaan negeri Selangor yang diperintah oleh Pakatan Rakyat.

Ini berikutan ikrar dan janji Pakatan untuk memberi pendidikan percuma kepada semua pelajar di negara ini jika berjaya mengambil alih Putrajaya pasca Pilihan Raya Umum ke 13 nanti./~FMT
Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...

TERIMA KASIH KERANA MENG"KLIK"...

Bloglist