Mencapai matlamat
perjuangan sememangnya susah dan terpaksa menghadapi pahit maungnya
dengan tabah dan sabar yang maksima. Mencari kebaikan akan berhadapan
dengan halangan yang rintangannya kadangkala kita rasakan tidak akan
tercapai. Tetapi usaha ini terpaksa juga diteruskan kerana dalam keadaan
yang mendesak mesti ada pihak yang berani dan sanggup berkorban dan
menghadapinya walaupun ianya berhadapan dengan berbagai-bagai risiko
yang tidak ramai sanggup menghadapinya.
Apa sebenarnya yang membuatkan ada pihak yang sanggup melakukan usaha
untuk kebaikan ini? Jika tercapai akhirnya matlamat yang dicari itu,
siapakah yang akan menikmatinya? Apakah sebenarnya kepuasan kepada siapa
yang berjuang itu? Sebelum itu persoalannya apakah yang menjadi
penyebab seseorang atau kumpulan itu sanggup berjuang sambil menghadapi
segala rintangan yang bukan kecil itu?
Bagi kita rakyat di Malaysia sekarang ini, perjuangan yang berada di
hadapan sekali ialah perjuangan untuk mengembalikan negara kepada
landasan yang sebenar dan hakiki itu. Perjuangan setengah pihak sekarang
ialah untuk menjaga negara kita yang dianugerahi kekayaan yang
melempah-ruah untuk rakyatnya diuruskan dengan baik dan sempurna.
Keadaan negara sekarang berada di dalam keadaan yang paling menyayat
hati kepada sesiapa yang berfikir dan sayangkan negara ini.
Kebanyakan kemerdekaan dan tamadun sesebuah negara dan ‘empire’ yang
tertulis di dalam sejarah dunia ini ialah kerana isu rasuah yang
besar-besar. Rasuah merupakan isu yang tidak ada tolok bandingnya kerana
rasuah itu boleh menjahanamkan seluruh sistem ampuh sesebuah negara dan
jajahan itu.
Negara kita sekarang sedang berada dalam keadaan yang sama semasa
‘Empire Rome’ ketika tamadunnya hendak runtuh dan berkecai dahulu.
Begitu juga semasa kekuasaan Uthmaniah dahulu dan banyak lagi
contoh-contoh yang sama berlaku di dalam negara dan tamadun yang telah
hilang dimamah sejarah.
Di antara dua puluh enam ‘dynasty China’, dinasti Qing merupakan
dinasti yang terakhir yang menghadapi keadaan yang sama sehinggakan
dinasti itu jatuh bergelimpangan dengan “people’s power” pada 1910
dahulu dan akhirnya dinasti yang kuat dan kukuh itu telah jatuh dengan
penolakan rakyat. Semua tamadun ini merupakan tamadun yang kuat yang
tidak ada siapa yang menyangka tatkala itu yang mereka akan jatuh
tersembam oleh kehendak rakyat.
UMNO Baru dan BN juga sedang berada di dalam keadaan yang sama, dalam
mana kekuasaan yang telah mereka perolehi selama lebih lima dekad itu
nampaknya sudah menunjukkan tanda-tanda akan jatuh. Segala dalil dan
petanda kejatuhan yang kita lihat sekarang ini dialami oleh rakyat
negara kita hampir sama dengan apa yang dialami oleh rakyat ‘empire’
dan negara yang saya sebutkan tadi.
Di antaranya rasuah yang tidak terkawal lagi, kuasa diperguna dengan
salah dan ketidakadilan dilakukan terhadap mereka yang berusaha untuk
memperbaikinya. Memfitnah dan menggunakan institusi kerajaan sebagai
egen kebobrokkan mereka menjadi perkara biasa. Yang benar menjadi salah
dan yang salah dijadikan perkara benar.
Inilah yang berlaku apabila kuasa yang dipegang itu berada di dalam
tangan dalam tempoh yang terlalu lama. Gerakan yang sama juga sedang
dilakukan oleh rakyat negara ini. Reaksi kepada yang berkuasa kita
sekarang juga sama dengan pemimpin-pemimpin negara dan ‘empire’ yang
telah hilang ditelan sejarah itu. Yang berkuasa selalunya akan hilang
hidayah untuk mentadbir secara baik dan sesuai dengan kehendak dan
keperluan rakyat semasa
Apa yang perlu kita semua lakukan ialah untuk menunjukkan perbezaan
di antara kumpulan reformis dan yang sedang berkuasa. Itu sebabnya saya
selalu menulis supaya pendukung perubahan melalui Pakatan Rakyat kali
ini perlu dilakukan dengan penuh berhemah dan demokratik. Pihak PR tidak
boleh respons dengan tindak tanduk kasar pihak BN dan inilah dia
sebenarnya dugaan bagi pihak-pihak yang inginkan perubahan.
Kita mesti ingat yang pihak berkuasa sekarang sedang dalam keadaan
‘desperate’ maka kerja-kerja kasar dan kata-kata yang kotor yang keluar
dari mulut pimpinan kerajaan sekarang merupakan perkara yang ‘normal’
yang lazim dilakukan oleh pihak yang akan jatuh tersungkur. Berbohong
adalah sifat mustahil bagi Allah swt dan Tuhan Semesta Alam ini akan
memberikan hidayah kepada pihak yang sabar dan istiqomah dalam
perjuangannya.
Kejayaan akan hanya didapati oleh mereka yang berusaha, bersabar dan
istiqomah dalam perjuangannya. Tidak ada pihak yang sabar itu yang tidak
berjaya akhirnya. Percayalah tentang kehendak ‘nature’ ini dan kita
hanya menunggu sambil berusaha keras untuk mencapai apa-apa matlamat
yang baik itu.
Kepayahan dan kesusahan itu memang pakaian mereka yang berjuang.
Perjuangan yang baik itu tidak ada yang mudah dan senang, begitu jugalah
kita dalam usaha untuk membina negara untuk kemajuan yang hakiki. Media
massa yang digunakan oleh pihak pemerintah secara tidak adil itu telah
menjemukan rakyat sebenarnya. Apa yang harus dilakukan oleh mereka yang
bertentangan dengan kuasa yang zalim kini ialah dengan memberikan
penerangan yang sehabis baik dan jujur tentang isu-isu yang berbangkit
di pihak pemerintah pada hari ini.
Apabila rakyat mendapat maklumat yang sebenarnya tidak ada kuasa yang
boleh mengalihkan pandangan rakyat dari pemerintah kepada pihak yang
bertentangan. Kejayaan akhirnya akan tercapai dan persoalan siapa yang
akan menikmati dari kejayaan ini mudah untuk dibayangkan.
Kejayaan usaha pihak yang hendak mengambilalih mandat ini akan
memberikan kebaikan kepada rakyat yang sedang hidup dalam kongkongan
pemerintah yang memerintah tanpa hidayah ini. Rakyat ramai akan
berpeluang untuk bersama hidup dalam harmonis tanpa isu-isu rasis yang
diperkayakan oleh UMNO Baru yang 'desperate' ini.
Rakyat akan berpeluang untuk tidak lagi mendengar slogan-slogan
kosong yang sekarang dipergunakan oleh pihak pemerintah untuk
mengelirukan rakyat. Rakyat juga mempunyai harapan untuk menyekat
pengaliran wang negara secara haram seperti yang berlaku sekarang yang
jumlahnya melebihi RM1.3 trillion sejak sepuluh tahun yang lalu.
Mungkin juga rakyat tidak akan mendengar kejadian memelihara lembu
dengan belanja RM179 juta untuk mengeluarkan hanya seribu ekor lembu
sahaja. Rakyat juga tidak mahu lagi mendengar pemimpin miskin yang mampu
membina rumah dan mahligai yang berharga puluhan juta ringgit.
Dengan peralihan kuasa kita berharap tidak akan ada lagi
isteri-isteri pemimpin yang lebih 'kuah dari sudu' atau seperti 'kera
mendapat bunga' dengan membelanjakan wang rakyat yang jumlahnya amat
besar dan tidak dapat dikira.
Jika berlaku peralihan kita berharap tidak ada lagi pemimpin yang
berbelanja dengan sewenang-wenangnya wang rakyat seperti apa yang
berlaku hari ini. Hari ini pemimpin-pemimpin besar tidak malu-malu
membelanjakan wang rakyat dengan pembaziran di hadapan mata rakyat yang
bertungkus lumus membina sumber kewangan negara kita. Tetapi dalam masa
yang sama mereka menyeru rakyat berbelanja secara berwasatiyah kononnya.
Tetapi seperti yang saya katakan tadi jalan untuk menuju ke arah
kebajikan ini amat sukar tetapi insyaallah kita akan berjaya akhirnya.
Tanda-tandanya semakin jelas kita lihat.
Bersabarlah dan teruskan usaha… Insyaallah perjuangan kita tidak akan sia-sia.