.

Thursday 7 June 2012

RCI MALAPETAKA BUAT SABAH?

MALANG.....Terbelakah A Ramlee (kanan) daripada karenah birokrasi sekiranya RCI dilaksanakan? Saimin (abang A Ramlee) bingung kerana hairan bagaimana dokumen asal adiknya boleh digunakan Arsad (gambar sisipan) untuk memasuki sistem perjawatan kerajaan?

Oleh : MUTALIB M.D

PERSETUJUAN Perdana Menteri dan Kabinet Persekutuan menubuhkan Suruhanjaya Siasatan DiRaja (RCI) di Sabah bukanlah rahmat buat Sabah, sebaliknya malapetaka berpanjangan disebabkan Terma Rujukan (TOR) menjadi mimpi ngeri kerana termasuk penjenayah, Yang Berhormat dan Yang Di Pertua Negeri?

Jika Setiausaha Agung Dewan Perindustrian dan Perniagaan India Muslim (DPPIMS) Mohd Ansar Maidin menggunakan Sijil Lahir dan Mykad orang mati; Adun Sibatik, Muis Picho disahkan salah seorang pemegang MyKad Projek; Datu Akjan Datu Ali Muhammad mengisytiharkan diri sebagai Sultan Sulu ketika memegang kerakyat songsang Malaysia; malah Bekas Ketua Menteri Sabah dan Mantan TYT Sabah, Tun Sakaran Dandai turut memalsukan keterangan diri untuk mendapatkan kerakyatan Malaysia; siapalah juga Arsad Bin Hj Alwi, Guru Penolong Kanan di SMK Balung yang menggunakan kad pengenalan palsu milik nelayan miskin di Kuala Abai, Kota Belud.
Kerajaan Malaysia dan Sabah yang masih berdolak dalih dalam mencari titik temu untuk menjayakan RCI mungkin terpanggang oleh 'Political Will' yang akan meranapkan peluang Barisan Nasional mempertahankan 20 kerusi Parlimen dan 60 Kerusi Dun di Sabah jika TOR merujuk kepada semua warga asing yang mendapat kerakyatan songsang; terutama ketika Ops Gembleng di era 90-an.

Mungkin agak menjengkelkan Pasukan Petugas Khas Persekutuan, Jabatan Pendaftaran Negara, Jabatan Imigresen dan Polis Diraja Malaysia seakan lumpuh menguatkuasakan undang-undang kerana budaya rasuah yang begitu menunjangi sistem pemerintahan negara.

Mustahil Jabatan Pendaftaran Negara tidak sedar bahawa Tun Sakaran; Muis Picho; Mohd Ansar Maidin; Datu Akjan Datu Ali Muhammad dan Arsad Haji Alwi (sekadar menyebut beberapa nama yang telah dilaporkan Sabahkini.net) telah memanipulasi undang-undang dan memalsukan keterangan diri untuk mendapat kerakyatan songsang; sama ada ditaja sindiket tertentu atau NGO berpengaruh sebagai mana yang saya huraikan dalam buku IC Palsu Merampas Hak Anak Sabah, Pengundi Untyuk Di Sewa, IC Projek Agenda Tersembunyi Mahathir dan 007-Lelaki Malaysia Terakhir.

Saya ingin menumpukan artikel ini kepada kes Arsad Haji Alwi, Guru Penolong Kanan di SMK Balung yang kebal kerana 'Suaka Politik' daripada UMNO dan YB-YB yang berkepentingan sekalipun telah dibahaskan di Parlimen Malaysia oleh Ahli Parlimen Sabah termasuk Datuk Seri Wilfred Mojilip Bumburing dan Datuk Chua Soon Boi.

Saya melalui jalan yang sukar untuk mengesan pemilik asal kad pengenalan yang digunakan Arsad kerana tidak ada seorang Wakil Rakyat UMNO mahu membantu mengesan pengundi mereka yang teraniaya ini.

Ahli Parlimen Kota Belud, Datuk Rahman Dahlan; Adun Tempasuk, Datuk Musbah Jamli dan Adun Usukan, Datuk Japlin Ahkim tidak langsung menjawab telefon dan SMS sedangkan mereka kenal pengundi mereka, A Ramlee @ Ramli Bin Rasim yang hidup melarat di Desa Pingitan, Kuala Abai.

Mujur Speaker Dewan Undangan Negeri Sabah yang juga Ketua UMNO Bahagian Kota Belud, Datuk Seri Panglima Mohd Salleh Tun Said telah membantu saya dengan segala daya upaya beliau mengesan mangsa birokrasi JPN ini sehingga saya dapat menemui A Ramlee dengan bantuan Ketua Kampung dan Pengerusi JKKK Kuala Abai.

"Kita melihat isu ini amat serius dan kerana itu UMNO Sabah telah membuat pendirian tegas mendesak penubuhan RCI. Isu A Ramlee ini adalah episod sedih rakyat Sabah yang menghadapi karenah birokrasi. Kita mendesak agar JPN dan agensi kerajaan yang lain mengutamakan dan menyelesaikan kes ini secara saksama," ujar Salleh ketika diminta pendapatnya berhubung isu ini.
Tegas Salleh, beliau hanya mendapat tahu isu ini melalui Sabahkini.net dan telah mengarahkan jenteranya membantu mengesan A Ramlee agar krisis identiti yang dialaminya dapat diselesaikan segera.

"A Ramlee berhak menikmati kehidupan yang lebih baik sebagai warga negara Malaysia dan haknya yang dirampas oleh mereka yang tidak berhak selama ini wajar dikembalikan," kata Salleh yang menggesa agar kes A Ramlee dijadikan 'Alibi' paling kukuh untuk rujukan RCI.

SAH....Bukankah Mykad ini mengesahkan nombor kad pengenalan H0740273 milik A Ramlee tetapi kenapa boleh digunakan oleh Arsad untuk belajar sehingga ke USM dan menjadi Guru Penolong Kanan DG 44?

Dalam pada itu, A Ramlee @ Ramli Bin Rasim (700710-12-5439 /H0740273), nelayan miskin yang masih bujang dan hidup dalam papa kedana, langsung tidak mendapat pembelaan Adun dan Ahli Parlimen UMNO sekalipun beliau adalah Ahli UMNO Cawangan Kuala Abai melalui keahlian bernombor 02099922.

Dengan kerja sebagai Nelayan dan Kelasi Kapal menangkap ikan dan berpendapatan RM300 sebulan, A Ramlee tidak dapat menumpukan kerjayanya sebagai nelayan kerana terpaksa menjaga ibu yang lumpuh; malah dinafikan segala hak setelah semua rekod di dalam sistem kerajaan melainkan JPN dan SPR bukan merujuk kepada dirinya; sebaliknya kepada Arsad yang menggunakan kad pengenalan lama A Ramlee untuk menjadi Guru Penolong Kanan dengan pendapatan yang lumayan; termasuk memiliki beberapa rumah mewah, tanah dan kenderaan.

Mengikut siasatan saya melalui temubual, bukti prima dan sekunder yang diperolehi daripada A Ramlee, menunjukkan bahawa beliau adalah pemilik asal dokumen yang digunakan Arsad secara tidak sah sejak lebih 30 tahun lalu.

Siapalah A Ramlee yang hanya lulus Sijil Am Pelajaran (SAP) untuk mencabar dan mengheret Arsad kemuka pengadilan sedangkan Pengarah Jabatan Pendaftaran Sabah dan Pengarah Jabatan Pelajaran Sabah menutup sebelah mata jenayah yang dilakukan Arsad.

Malah setiap kali A Ramlee mahu membuat laporan polis, beliau telah dihalang oleh pihak tertentu dan polis enggan menerima laporan; termasuk percubaan terakhirnya membuat laporan polis pada 5 Jun lalu; haknya untuk membuat laporan telah dihalang, sebaliknya polis yang bertugas membuat laporan mengikut budibicaranya sendiri; semata-mata untuk melindungi Arsad.

Berdasarkan Mykad 700710-12-5439 yang diterimanya tiga bulan lalu, mencatatkan alamat terakhir A Ramlee ialah di Kampung Kuala Abai, Jalan Port Usukan, 89158 Kota Belud, Sabah. Jika sistem penyampaian kerajaan tidak lumpuh, sudah pasti JPN dan PDRM dapat mengambil tindakan segera memberkas Arsad berdasarkan laporan yang dibuat PKR, SAPP, DAP dan NGO tertentu setelah isu ini disiarkan di Sabahkini.net pada 8 Mac 2012.

Ketika ditemui di Gubuk Buruk ibunya di Kampung Kuala Abai, A Ramlee menunjukkan Sijil Lahirnya bernombor 595/70 yang mencatatkan beliau dilahirkan pada 10 Julai 1970 di Kuala Abai, Kota Belud dan didaftarkan Sijil Lahir pada 13 Julai 1970.

A Ramlee yang bersekolah rendah di SK Kulambai, Kota Belud pada 3 Januari 1979 dan tamat Darjah Enam pada 3 Disember 1982 menyambung pelajaran menengah ke SMK Arsad, Kota Belud sebelum menamatkan pelajaran di SMK Kota Marudu dan menamatkan Sijil Rendah Pelajaran pada 1985 dan Sijil Am Pelajaran pada 1988.

SIJIL LAHIR.....A Ramlee menunjukkan sijil lahir miliknya sedangkan Arsad tidak mempunyai Sijil Lahir dan Mykad tetapi boleh menjadi Guru DG 44. Di manakah silapnya apabila Timbalan Perdana Menteri yang juga Menteri Pelajaran memandang remeh isu ini?

Sebagai warganegara yang cintakan tanah air, A Ramlee turut menjadi Anggota Rela sejak 26 Disember 2009 demi mempertahankan ibu pertiwi, sekalipun gagal mengesan jejak Arsad yang menjadi kembar siamnya yang menyudahkan pengajian di Universiti Sains Malaysia dengan tajaan 'Rakyat Sabah yang prihatin' dan kini menerima gaji hampir RM6,000 sebagai Guru Penolong Kanan; hasil cukai rakyat Sabah.

Ketika ditemui, ibu A Ramlee, Normah Binti Jaudin yang memegang Mykad bernombor 410316-12-5128 (H0585083) kesal kerana tidak ada pihak yang tampil membela anaknya, termasuk mendapatkan bantuan pukat daripada kerajaan.

Kata Normah, sejak kematian suaminya, Rasim Bin Abbdullahim (340316-12-5127 (H0247720) pada 28 Jun 2003 ketika berusia 69 tahun kerana sakit tua, A Ramlee terpaksa menumpukan perhatian menjaga beliau yang uzur dan tidak dapat mencari nafkah sepenuh masa sebagai nelayan dan pekerja kontrak bangunan.

Menurut Normah, beliau bernikah dengan Rasim Bin Abdullahim pada 5 Jun 1957 di dalam Kariah Mantanani, Kota Belud (Sijil Nikah 27/57) memperoleh lapan orang anak iaitu Romzi, Saidin, Saloma, Saimin, Roslin, Rosliah, A Ramlee, Dusima dan Aimah.

Namun kata Normah, hanya A Ramlee yang menghadapi krisis identiti setelah semua permohonannya untuk mendapatkan bot dan pukat ditolak atas sebab bertindih identiti dengan seseorang.

Disebabkan kecelaruan identiti dan rekod yang berpunca daripada daripada kad pengenalan birunya yang digunakan oleh Arsad, A Ramlee gagal didaftarkan dalam E-Kasih dan masih belum mendapat sebarang jawapan daripada Adun Usukan, Datuk Japlin Ahkim berhubung bantuan pukat yang dimohon sejak beberapa tahun lalu.

"Saya harap masalah anak saya diselesaikan segera. Kesian dia masih membujang. Sekalipun ada Mykad tetapi dalam di dalam sistem kerajaan milik orang lain," kata Normah yang kesal dengan senario yang berlaku.

RESAH.... Dari kiri Rahim Mat Din, KK Wahit, Saimin, A Ramlee, Normah dan salah seorang kakak A Ramlee resah memikirkan krisis identiti yang dihadapi oleh A Ramlee.

Dalam pada itu, abang keempat A Ramlee, Saimin, 47, terasa amat terharu dengan nasib malang yang menimpa adiknya, terutama gagal berurusan kerana masalah identitinya yang digunakan oleh Arsad.

"Saya kesal kerana masalah ini sudah lama berlarutan sehingga adik saya takut untuk meninggalkan rumah sekalipun beliau memiliki MyKad kerana dalam rekod kerajaan bukan datanya," kata Saimin.

Saimin menjelaskan beliau cuba membantu menyelesaikan masalah yang dihadapi adiknya, namun kemiskinan mereka merantai kaki mereka untuk bergerak kerana tambang pergi balik ke Pejabat JPN dan Balai Polis memerlukan kos yang tinggi sedangkan mereka tidak mempunyai pendapatan tetap.

"Untuk makan hari ini belum tentu lagi kerana musim gelora, apa lagi untuk memikirkan kos pengurusan dokumen adik saya," kata Saimin yang bimbang jika dokumen adiknya digunakan untuk tujuan jenayah oleh Arsad.

Dalam pada itu, Ketua Kampung Kuala Abai, KK Wahit Bin Lingkah, 76, mengesahkan bahawa A Ramlee lahir di kampung berkenaan dan beliau kenal semua keluarga dan sanak saudara A Ramlee.

"Kita ada dengar masalah yang dihadapi A Ramlee tetapi kita tidak dapat kenalpasti punca sehinggalah kita mendapat maklumat daripada Sabahkini.net baru-baru ini," ujar KK Wahit lagi.

Sehubungan itu, KK Wahit menggesa agar Perdana Menteri menyegerakan penubuhan segera RCI bagi mengelak rakyat tempatan seperti A Ramlee teraniaya dan memulihkan keyakinan rakyat Sabah terhadap Kerajaan Persekutuan akibat kerakyatan songsang yang semakin meruncing.

Manakala Pengerusi JKKK Kuala Abai, Rahim bin Mat Din, menegaskan pihaknya memandang berat kerana isu perkongsian kad pengenalan telah menjadi lumrah di Sabah kerana selain A Ramlee terdapat beberapa orang penduduk kampung Kuala Abai turut mengalami masalah yang sama.

"Dalam hal ini, Jabatan Pendaftaran Negara hendaklah bertindak tegas dengan mengheret PATI yang terlibat ke muka pengadilan. Jangan mangsakan mereka yang tidak berdosa seperti A Ramlee sehingga beliau terbelenggu dalam kemiskinan," kata Rahim yang menyatakan salah satu punca A Ramlee miskin kerana krisis identiti yang gagal diselesaikan JPN.

Dalam pada itu, selepas berbincang dengan Ketua Kampung dan Pengerusi JKKK serta saudara maranya, A Ramlee telah ke Balai Polis Kota Belud untuk membuat laporan setelah drafnya disediakan hasil perbincangan bersama seperti berikut;

"Pada jam lebih kurang 1 petang, 5 Jun 2012, saya dimaklumkan oleh Ketua Kampung Kuala Abai, Wahit Bin Lingkah dan Pengerusi JKKK Kg Kuala Abai, Rahim Bin Mat Din; bahawa kad pengenalan biru saya bernombor H0740273 telah diguna oleh seorang Pendatang Asing Tanpa Izin bernama Arsad Bin Haji Alwi untuk menjadi Guru Penolong Kanan di SMK Balung, Tawau; berdasarkan laporan yang mereka baca daripada portal Sabahkini.net bertajuk 'RCI, Sehebat Epik Merong Mahawangsa' yang disiarkan pada 8 Mac 2012 (Lampiran disertakan). Saya datang ke balai membuat laporan agar PDRM menyiasat dan menangkap Arsad Haji Alwi di bawah Undang-Undang Jenayah kerana telah memalsukan dan menggunakan keterangan diri saya untuk menjadi pelajar universiti, guru dan menikmati semua kemudahan termasuk gaji sehingga semua hak saya sebagai warganegara dinafikan. Laporan ini juga dibuat terhadap Pengetua SMK Balung dan Pengarah Pelajaran Sabah kerana turut bersubahat sehingga Arsad memperoleh faedah secara tidak sah dan sekaligus mencabul Perlembagaan Persekutuan dan Menderhaka kepada DYMM Yang DiPertuan Agong. Laporan ini juga dibuat agar SPRM menjalankan siasatan dan mendakwa Arsad dan mereka yang bersubahat di bawah Undang-Undang Jenayah."

Namun agak malang kerana Pesuruhjaya Polis Sabah gagal melatih Anggota Polis di Balai Polis Kota Belud menerima laporan sehingga pegawai yang bertugas enggan menerima draf yang disediakan oleh A Ramlee dengan pelbagai alasan; termasuk kononnya untuk berlaku adil kepada semua pihak sehingga meminda '360 peratus' draf yang dibuat. Bukankah polis yang bertugas sepatutnya menerima apa juga laporan yang ingin dibuat pengadu dan bukannya sesuka hati mengubah draf laporan yang telah disediakan?

Berikut adalah laporan polis bernombor KOTA BELUD/002205/12 yang disediakan oleh Polis 'Pandir' yang bertugas di kaunter Balai Polis Kota Belud;

"Pada tiga bulan yang lalu tahun 2012, saya dapati nombor kad pengenalan lama saya H0740273 sama dengan nombor kad pengenalan lama seorang lelaki yang bernama Arsad Bin Alwi di alamat Balung Tawau. Saya buat laporan rujukan ke JPN untuk tindakan. Sekian laporan saya."

Kes Arsad bukanlah kes terpencil kerana puluhan ribu kes pertindihan identiti berlaku di Sabah tetapi tidak ada Perdana Menteri yang berani tampil melainkan Najib; malah wujudkah mekanisme untuk mengheret Mantan TYT, Ketua Menteri dan Penggubal Undang-Undang agar dihakimi oleh Panel RCI yang bakal ditubuhkan kelak jika TOR masih dalam mimpi di siang hari Kabinet Malaysia./~sabahkini.net
Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...

TERIMA KASIH KERANA MENG"KLIK"...

Bloglist