Oleh:
SEJAK merdeka, tarikh pilihan raya umum secara
amalannya adalah hak mutlak Perdana Menteri, malah tarikh itu kelihatan
amat misteri sehingga semua pihak membuat pelbagai ramalan, teka-teki
dan tidak kurang juga memaki hamun tarikh misteri tersebut.
Apa yang menarik mengenai amalan ‘keberatan' Perdana Menteri
mendedahkan tarikh misteri ini jelas memberi kelebihan besar dan elemen
kejutan kepada pihak lawan sekiranya Dewan Rakyat dibubarkan secara
tiba-tiba.
Jadi jentera parti kerajaan Umno-Barisan Nasional (BN) boleh bersiap
sedia dalam tempoh tersebut sedangkan pihak pembangkang masih
berteka-teki. Jika tersilap langkah dan termakan jerat permainan Umno-BN
ini, padah besar buat pembangkang.
Kenapa saya mengatakan padah buat pembangkang? Kerana jika pembangkang
tidak berhati-hati dan terlalu ghairah, sehingga semua ‘modal politik’
habis keluar, alih-alih Perdana Menteri tidak jadi bubar Dewan Rakyat.
Jadi mahu guna modal apa lagi?
Sebagai contoh di zaman Tun Dr Mahathir Mohamad, beliau sering
menjadikan tarikh pilihan raya ini sebagai strategi mengenakan pihak
lawan supaya kelebihan terus berpihak kepadanya.
Seperti Pilihan Raya Umum Ke-10 pada 1999, ketika era kemuncak
reformasi selepas pemecatan Datuk Seri Anwar Ibrahim, ramai pihak
menjangkakan Tun Mahathir akan melambatkan tarikh, tetapi beliau
teruskan juga dan menang dua pertiga kerusi pada pilihan raya itu.
Tun Mahathir juga adalah Perdana Menteri yang sering meletakkan tarikh
pilihan raya umum pada hari bekerja. Sejurus dilantik menjadi Perdana
Menteri pada 16 Julai 1981, beliau tidak tunggu lama apabila mengadakan
Pilihan Raya Umum Keenam pada 22 April 1982, jatuh pada hari Khamis.
Kemudian pada Pilihan Raya Umum Kesembilan 1995, Tun
Mahathir sekali lagi memilih hari bekerja iaitu Isnin. Begitu juga
pilihan raya umum seterusnya pada 1999, juga jatuh pada hari Isnin
tanggal 29 November.
Selain itu, Tun Mahathir juga sering membiarkan pihak pembangkang
terkapai-kapai menggunakan segala taktik, modal dan hujah untuk tempoh
lama sehingga ‘kering kontang’, kemudian barulah jentera Umno-BN
mengeluarkan segala kekuatan untuk menarik pengundi. Ternyata taktik ini
terus relevan.
Begitu juga ceritanya berkenaan Perdana Menteri Kelima, Tun Abdullah
Ahmad Badawi, saya masih ingat pada tahun 2008 dengan jelas bagaimana
beliau terus berkeras menafikan Dewan Rakyat akan dibubarkan tetapi
esoknya beliau sendiri yang mengadap Yang di-Pertuan Agong untuk
perkenan pembubaran.
Tidak keterlaluan sekiranya rakyat meminta Perdana Menteri
mengisytiharkan tarikh pilihan raya umum lebih awal, setidak-tidaknya
setahun sebelum pilihan raya umum.
Ini kerana pilihan raya umum adalah perkara besar dan melibatkan banyak
pihak termasuk kos yang sangat tinggi. Berlangsung pun hanya lima tahun
sekali.
Di negara jiran seperti Thailand, Filipina, Indonesia sehinggalah
kepada negara maju seperti Jepun, China, Britain, dan Amerika Syarikat,
tarikh pilihan raya umum telah dimaklumkan sekurang-kurangnya setahun
lebih awal, supaya semua pihak dapat mempersiapkan diri dan jentera
sebaiknya. Ini lebih adil kepada parti-parti yang bertanding khususnya
kepada pembangkang.
Jadi tarikh Pilihan Raya Umum Ke-13 yang dijangka ramai pihak pada 9
Jun nanti terus menjadi misteri apabila Perdana Menteri, Datuk Seri
Najib Tun Razak berlepas ke luar negara malam kelmarin dan hanya
dijangka pulang pada 25 Mei/~SH
Kedah: Tiga termasuk suami isteri maut kemalangan
9 minutes ago