Oleh: Shahbudin Husin
Jika kita pergi ke kampung-kampung dan berbual dengan golongan berusia yang masih menyokong UMNO, kita akan mendengar hujah-hujah mereka bahawa kita sebagai orang Melayu mestilah terus menyokong UMNO dan jangan sesekali bersikap derhaka kepada parti itu. UMNO juga sering digambarkan sebagai parti yang banyak berjasa kepada orang Melayu kerana kononnya telah melakukan pelbagai pembangunan dan pertolongan selama ini.
Jika berbual lebih lama lagi, mereka akan mula menggambarkan jika tanpa UMNO, bangsa Melayu akan musnah dan kehidupan akan kembali ke zaman kuno. Hanya UMNO yang digambarkan mampu memberi kemajuan serta kehidupan yang lebih baik. Parti lain tidak boleh sama-sekali. Di Malaysia ini seolah-olah UMNO adalah segala-galanya.
Bagi kebanyakan orang Melayu, terutama yang tinggal di kampung dan luar bandar, UMNO sudah dianggap seperti Raja yang tidak boleh diderhakai sama-sekali. Biarlah bagaimana buruk dan hodoh sekali pun wajah UMNO, biar bagaimana pemimpinnya mengaut kekayaan secara tidak sah dan bersikap sombong sekali pun, ia mesti terus disokong dan diberi undi. Lebih menyedihkan kadangkala orang Melayu yang bercakap seperti itu, hidup mereka pun ala kadar sahaja dan tidak lebih umpama kais pagi makan pagi. Mereka sendiri sebenarnya tidak mendapat apa-apa daripada UMNO yang boleh merubah kehidupan sekeluarga.
Soal sama ada pemimpin UMNO itu memberi khidmat yang baik atau tidak kepada rakyat, ia bukanlah soal yang penting. Yang penting, kepercayaan mereka ialah hanya UMNO yang boleh mentadbir negara ini.
Dalam soal ini, terlihat bagaimana UMNO sudah berjaya menanamkan stigma dalam kepala sebahagian besar orang-orang Melayu untuk kepentingan politik mereka. Rakyat sudah dikelabukan untuk melihat perilaku serta akhlak pemimpin yang sebenar sehingga perangai hodoh pemimpin boleh dimaafkan asalkan UMNO terus dijadikan pilihan. Mereka juga percaya tanpa UMNO kehidupan di dunia ini akan musnah sedangkan hakikat yang ada di sekeliling tidaklah sebegitu rupa.
Meskipun kita sudah hampir 55 tahun merdeka, stigma UMNO umpama Raja ini masih tertanam kuat di kepala sebahagian orang Melayu di kampung dan luar bandar. Mereka tidak mahu menerima perubahan kerana terlalu taksub dan percaya hanya UMNO yang mampu mentadbir negara ini.
Tetapi bagi orang Melayu yang agak terbuka dan menerima pelbagai maklumat terutama generasi muda dan mereka yang tinggal di bandar, stigma sedemikian sudah beransur-ansur pupus. Golongan ini lebih melihat perilaku buruk pemimpin UMNO itu berbanding jasa dan sumbangan UMNO itu sendiri. Memang diakui UMNO banyak berjasa tetapi jasa itu adalah sebahagian daripada tanggungjawab sebagai pemerintah. Jika parti lain yang berpeluang memerintah, mereka juga akan melakukan perkara yang sama, malahan mungkin lebih baik lagi.
Jika dilihat di negara-negara lain yang lebih maju dan bagaimana parti di negara tersebut berjuang untuk kepentingan rakyatnya, akan ternampak bahawa jasa dan sumbangan UMNO kepada rakyat negara ini masih lagi jauh ketinggalan.
Hari ini, jika dilihat begitu banyak perilaku buruk para pemimpin UMNO yang terpalit dengan pelbagai jenis skandal, rasuah, penyelewengan, pengumpulan kekayaan yang melampau dan sebagainya, ia sebenarnya sudah berada di tahap yang tidak boleh diperbaiki lagi. Oleh kerana UMNO sudah berkuasa terlalu lama dan terlalu selesa dengan keadaan itu, ini secara tidak langsung menyebabkan pemimpinnya cenderung untuk menjadi lupa diri, tamak dan sombong. Lebih memburukkan keadaan, UMNO terus juga dipilih sebagai pemerintah meskipun mereka yang menjadi pemimpin mempunyai perangai serta watak yang buruk.
Ini menyebabkan UMNO tidak belajar apa-apa atau berusaha memperbaiki diri setiap kali pilihanraya. Hanya setelah pilihanraya 2008 yang menyebabkan beberapa negeri tumbang dan UMNO sendiri hilang majoriti 2/3, barulah UMNO sedar bahawa mereka sebenarnya tidak boleh menongkat langit sampai bila-bila.
Menjelang PRU 13 ini, kedudukan UMNO dilihat amat kritikal dan goyah sekali. Ia sebahagiannya kerana kesedaran rakyat yang semakin tinggi yang disebabkan kemudahan menerima maklumat semakin meluas, pendidikan di kalangan rakyat serta pengalaman yang diperolehi daripada beberapa negara lain. UMNO secara relatifnya tidak lagi seselesa dulu.
Namun demikian, untuk terus mengekalkan kuasa, UMNO masih juga memainkan sentimen tentang jasa dan sumbangannya sejak sekian lama terutama dalam perjuagan menuntut kemerdekaan negara, selain turut juga memainkan sentimen kaum dan agama untuk menakut-nakutkan orang Melayu.
Sentimen melabelkan UMNO itu umpama Raja yang tidak boleh diderhakai, meskipun tidak laku kepada generasi muda dan Melayu bandar tetapi ia masih menjadi mainan kempen di kampung-kampung dan luar bandar. Generasi lama dan sebahagian orang tua masih kuat mempercayai bahawa orang Melayu tidak seharusnya derhaka kepada UMNO sebagaimana mereka tidak boleh derhaka kepada Raja.
Memanglah diakui bahawa derhaka kepada Raja merupakan suatu kesalahan dan tidak boleh dilakukan oleh sesiapa pun rakyat negara ini. Raja terletak di takhtanya yang tersendiri dan mesti dihormati. Tetapi meletakkan UMNO sama taraf dengan Raja jelas sesuatu yang tidak wajar dan melampau, lebih-lebih lagi jika dilihat daripada watak dan perangai kebanyakan pemimpin UMNO itu sendiri.
Hari ini sudah ada yang mengandaikan bahawa UMNO itu rasuah dan rasuah itu UMNO. Kedua-duanya sudah menjadi umpama aur dengan tebing yang tidak boleh dipisahkan lagi. Disebabkan terlalu lama berkuasa, UMNO tidak lagi merupakan wadah perjuangan tetapi hanya medan untuk mengaut kekayaan.
Desakan dan seruan agar UMNO tidak terus diberi kuasa bukanlah bertujuan menafikan jasa dan sumbangannya selama ini. Ia sebenarnya lebih ke arah pembaikan untuk UMNO itu sendiri. Dengan meneruskan memberi kuasa kepada UMNO, ia tidak lebih seperti memberi lesen kepada pemimpin UMNO untuk terus merompak dan menghakis kekayaan negara ini ke dalam poket mereka. Rasuah dan skandal hari ini bukan sahaja berlaku di atas muka bumi seperti pengambilan tanah dan komisyen projek pembangunan malahan juga sudah melibatkan ruang udara dan dasar lautan seperti skandal pembelian jet pejuang, kehilangan enjin kapal terbang, pembelian kapal peronda dan skandal kapal selam Scorpene. Semua ruang yang ada sudah dimaksimumkan untuk mengaut kekayaan dan perolehan peribadi. Jika terus diberi kuasa, lagi banyak rasuah dan skandal yang akan berlaku.
Jika kuasa UMNO dapat ditamatkan dalam pilihanraya akan datang dan ia dilakukan dengan iltizam untuk menghentikan segala gejala buruk itu dan menyelamatkan kekayaan negara daripada terus dikaut oleh perompak-perompak berlesan ini, sudah tentu ia merupakan suatu perjuangan yang murni dan boleh mendapat pahala. Ia sebahagian daripada perjuangan "amar makruf nahi mungkar" dan sudah tentu pahalanya berlipat ganda.
Yang mesti disedari ialah kita hanya ada satu Raja yang mesti ditaati iaitu Raja-Raja Melayu dan meskipun UMNO ditubuhkan di Istana Besar Johor Bahru, ini tidak bermakna ia juga boleh menyamakan dirinya umpama Raja yang tidak boleh diderhakai.
Menjadikan UMNO terus-terus umpama Raja yang tidak boleh diderhakai hanya akan menjadikan orang Melayu terus miskin dan ketinggalan.
-sumber
Wanita bersalin dekat kaunter tiket lapangan terbang
6 minutes ago