.

Monday, 6 February 2012

UMNO dah berubah !


Bagamana UMNO Nak Berubah, Najib Pun Tak Berubah!!

Oleh : Shahbudin Husin

Sejak keputusan pilihanraya 2008 yang menyaksikan buat pertama kalinya BN hilang majoriti dua pertiga di Parlimen dan kejatuhan beberapa negeri kepada pembangkang, seruan agar UMNO dan pemimpinya perlu berubah mulai kedengaran. Apabila Najib mengambil alih teraju pemerintahan negara daripada Pak Lah pada April 2009, seruan kepada perubahan itu semakin dilihat perlu dan seolah-olah suatu keutamaan serta pra syarat penting jika UMNO dan BN mahu terus berkuasa.

Ia semakin meniti dibibir rakyat apabila Najib sendiri memberi amaran "UMNO akan rebah jika tidak berubah". Kemudian semua orang bercakap soal perubahan itu serta menokoktambahya mengikut definasi, kefahaman, kepentingan dan selera masing-masing. Namun hakikat yang diakui oleh semua pihak ialah UMNO dilihat sudah begitu tenat serta nazak dan jika tidak berubah ia akan ditolak rakyat, seterusnya akan menuju persemadian yang abadi.

Perubahan yang sebenarnya perlu dilakukan untuk menawan kembali hati rakyat ialah dengan mereka yang menjadi pemimpin UMNO berjuang dengan ikhlas, jujur serta amanah untuk agama, bangsa dan negara. Pemimpin juga harus menolong, membantu dan menyelesaikan masalah rakyat dengan sebaik-baiknya dan jangan sesekali menggunakan kuasa yang ada untuk kepentingan diri, kaum keluarga, anak isteri, kroni dan saudara mara. Mereka yang menjadi pemimpin juga harus hidup sederhana, tidak sombong, mudah mesra, tidak berpura-pura dan tidak mempunyai dua wajah.

Itu adalah antara perubahan yang paling umum yang perlu dilakukan oleh pemimpin UMNO jika ingin kembali mendapat sokongan dan dokongan dariada rakyat. Ini kerana penolakan rakyat sehingga menatijahkan keputusan pilihanraya 2008 adalah kerana rakyat sudah muak melihat karenah dan gaya pemimpin yang sombong, berlagak, gemar mempamer kemewahan, tidak ikhlas serta tidak serius menyelesaikan masalah rakyat, anak isteri dan kaum kerabat pemimpin bergentayangan mempamer kemewahan sehingga lupa kepada rakyat. Rakyat hanya dijenguk pada waktu-waktu tertentu, selebihnya kedatangan rakyat dengan pelbagai masalah sudah dianggap sebagai beban.

Soalnya di sebalik segala seruan dan laungan itu, benarkah UMNO dan pemimpinnya sudah berubah? Najib sendiri bagaimana, sudahkah beliau berubah sama?

Menyelak kembali helaian-helaian peristiwa dalam perjalanan politik negara selepas piliharaya 2008,adalah jelas bahawa UMNO dan para pemimpinnya belum lagi berubah. Mereka nampaknya tidak mahu berubah dan tidak akan berubah. Kalau ia mahu berubah dan sayang kepada kuasa pemerintahan yang ada, sudah lama sebenarnya perubahan itu dilakukan kerana pilihanraya 2008 sudah menyaksikan kuasa hampir terlepas dan beberapa negeri sudah pun jatuh ke tangan pembangkang. Jadi mahu tunggu apa lagi?

Sebagai parti pemerintah, wajah UMNO sebenarnya diserlah melalui perilaku para pemimpinya. Kalau baik pemimpinnya, cantiklah wajah UMNO. Kalau macam pelesit perilaku pemimpinnya, hodohlah wajah UMNO.

Yang mesti berubah dulu ialah pemimpin. Tetapi selepas pilihanraya 2008, kita masih juga dihidangkan dengan pelbagai cerita skandal, penyelewengan, salah guna kuasa, pembaziran, pemborosan dan pebagai lagak mewah yang membabitkan kehidupan pemimpin dan kaum keluarganya. Masih juga kedengaran lagi kesusahan rakyat di mana-mana. Juga masih kedapatan lagi rakyat yang mengeluh serta merintih kerana tidak dijenguk dan diambil peduli oleh pemimpin.

Daripada kes bekas Menteri Besar Selangor, Dr Khir Toyo yang dihadapkan atas kes rasuah, skandal lembu NFC yang membabitkan Shahrizat Jalil, kes Jamil Khir mengubahsuai rumah secara mewah dan menggunakan wang zakat untuk kes qazaf, Zahid Hamidi menggunakan jet peribadi milik kenalannya untuk menunaikan haji bersama keluarga, penglibatan beberapa menteri dalam amalan konisme dan nepotisme, bekas menteri Azalina dan Timbalan Menteri Kewangan, Awang Adek Hussain mengumpul sumbangan kewangan dalam tiga akaun peribadi dan pelbagai lagi.

Lebih dahsyat lagi, Timbalan Perdana Menteri Muhyiddin Yassin dan Najib sendiri turut terkait sama. Muhyiddin dikaitkan dengan anak dan menantuya yang dikatakan memperolehi beberapa peluang perniagaan melalui bidang kuasa TPM iatu pembekalan mesin biometrik untuk Program 6P dan pegawainya yang dikaitkan menerima sejumlah wang daripada ahli perniagaan Johor.

Najib pula dikaitkan dengan karenah isterinya, Rosmah Mansor dan kaum keluarganya yang berbelanja mewah, mengumpul koleksi perhiasan mahal-mahal dan memperolehi peruntukan besar melalui Permata serta penglibatan adik-beradik Najib dalam beberapa perniagaan.

Semakin berlegar dan munculnya kes-kes baru dari segi rasuah, salah guna kuasa, penyelewengan, pemborosan serta pembaziran yang melibatkan pemimpin UMNO dan kaum keluarga mereka ini jelas membuktikan bahawa laungan dan seruan kepada perubahan selama ini hanyalah omong kosong belaka. Tidak ada pemimpin UMNO yang mahu berubah sebenarnya. Mereka masih menjadi kelompok manusia yang geli terhadap kuasa dan wang ringgit sehingga lupa kepada kuasa rakyat yang menjadikan mereka sebagai pemimpin selama ini.

Najib pula sebagai Perdana Menteri dan pemimpin utama negara dilihat paling tidak mahu berubah. Sebagai orang yang mula-mula menyuarakan tentang perubahan dan memperkenalkan slogan "rebah jika tak berubah" beliau seharusnya menunjukkan contoh teladan dalam hal ini. Di ketika beliau meminta rakyat diutamakan, mahukan pemimpin berjimat cermat dan memperkenalkan wassatiayah atau kesederhanaan, beliau yang paling afdal memulakannya dahulu. Mengutamakan rakyat bermakna bantuan dan pertolongan haruslah dijadikan agenda berterusan, bukannya dilakukan semata-mata untuk mendapat undi serta sokongan sebagaimana yang beliau perkenalkan melalui bantaun BR1M, bantuan RM100 kepada murid sekolah dan baucer buku RM200 untuk pelajar universiti. Jadikanlah bantuan ini dasar yang dilaksanakan setiap tahun, bukan untuk tahun 2012 sahaja dan mungkin muncul lima tahun kemudian.

Di ketika beliau meminta rakyat berjimat cermat dan bersederhana, adalah afdal anak isteri dan kaum keluarganya mengamalkannya dahulu. Munculnya pebagai pendedahan mengenai isteri dan anak-anaknya dalam berbelanja serta bergaya mewah, tidak lebih menggambarkan kegagalan Najib sebagai pemimpin.

Nampaknya laungan dan seruan kepada perubahan itu semata-mata dilakukan untuk mengekalkan kuasa, bukannya untuk membela rakyat dan menzahirkan iltizam yang ikhlas kepada perubahan itu sendiri.

Tidak ada apa-apa yang berubah sebenarnya. UMNO dan perangai pemimpinnya tetap sama. Kuasa yang tinggal sedikit dan hampir terlepas tidak memberi apa-apa iktibar, jika tidak masakan kita terus dihidangkan dengan pelbagai berita skandal dan penyelewengan. Lebih menyedihkan sesetengahnya yang dikaitkan dengan cerita buruk itu melibatkan pemimpin yang tahu agama, tahu halal haram dan sering pula bercakap soal dosa dan pahala.

Agaknya mereka bersikap begitu kerana melihat Najib sendiri pun tidak pernah berubah!!!
(SH 26/1/2012). /Shahbudin dot com

2 comments:

  1. DAH HARIA SORANG RM500 PUN DEPA TAK MAU BERUBAH HAHAHA ...

    ReplyDelete
  2. hahaha.... turun la najib, bagi la yidin peluang nk rasa jadi piieem sebulan dua ni sebelum PRU..

    ReplyDelete

ANDA KOMEN ANDA TANGGUNG

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...

TERIMA KASIH KERANA MENG"KLIK"...

Bloglist