.

Sunday 29 January 2012

DAP parti paling rasis di dunia


29 JANUARI – Lidah rasmi UMNO, Utusan Malaysia, dalam edisi mingguannya hari ini, menyifatkan DAP sebagai parti paling rasis di dunia.

Sememangnya tidak ada apa yang baru daripada fitnah yang berterusan daripada alat propaganda UMNO itu yang menyamar sebagai ahbar harian.

Tohmahan terbaru itu datangnya daripada Utusan yang didapati bersalah oleh mahkamah bulan lalu apabila memfitnah kerajaan negeri Pakatan Rakyat Pulau Pinang pimpinan Setiausaha Agung DAP Lim Guan Eng sebagai anti-Islam dan anti-Melayu.

Fitnah-fitnah Utusan

Fitnah-fitnah Utusan itu adalah kononnya Guan Eng, DAP dan Pakatan Rakyat telah:

1. Menindas orang Melayu dan melenyapkan satu demi satu perkampungan Melayu di bumi Pulau Pinang;

2. Membatalkan atau menghalang perarakan Maulidur Rasul pada tahun 2010 (yang sebenarnya telah diadakan);

3. Tidak membenarkan peniaga-peniaga Melayu untuk berniaga di KOMTAR semasa bulan Ramadan;

4. Merobohkan gerai-gerai milik penjaja Melayu;

5. Menggunakan dana dari sumber perjudian untuk memberi RM100 kepada warga emas;

6. Merobohkan kampung-kampung Melayu di Kg Jalan Pokok Asam dan Kg Genting, Balik Pulau; dan

7. Mengusir penduduk-penduduk India dari Kg Buah Pala.

Hakim dalam kes itu telah menyifatkan “kenyataan separuh benar” oleh Utusan itu bermakna ia “tidak benar sama sekali”.

Kini Utusan muncul lagi dengan fitnah yang dikitar semula, malah ditambah-tambah pula pembohongan, dengan mengatakan DAP adalah parti yang paling rasis di dunia (bukan di Malaysia, bukan di Asia Tenggara, bukan di benua Asia tetapi di seluruh dunia).

Siapa sebenarnya rasis?

Timbalan Presiden UMNO Tan Sri Muhyiddin Yassin pernah dengan angkuh dan bangganya mengumumkan bahawa beliau adalah Melayu dahulu dan rakyat Malaysia kemudian.

Guan Eng sendiri pernah mengulas kenyataan itu bahawa kenyataan Muhyiddin membuktikan usaha pemimpinnya Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak membawa slogan 1Malaysia telah menemui kegagalan kerana ditolak oleh orang nombor dua beliau sendiri.

“Muhyiddin menggunakan logik yang tidak masuk akal bahawa pemimpin DAP seperti Lim Kit Siang dan saya merupakan Cina cauvinis walau pun DAP telah berjuang untuk semua rakyat Malaysia dan keahlian parti kita terbuka kepada semua termasuk Melayu, India, Iban dan Kadazan,” katanya.

Sedangkan semua orang tahu bahawa UMNO hanya membuka keanggotaan untuk orang Melayu. Memang tidak ada salahnya dalam demokrasi tetapi amat pelik apabila para pemimpin parti satu kaum menggelar parti pelbagai kaum dan agama sebagai rasis.

Daripada niat baik kerajaan pada awal 1970-an untuk menyusun semula masyarakat, dengan berlandaskan peruntukan Perlembagaan Persekutuan, diwujudkan Dasar Ekonomi Baru (DEB), untuk membantu golongan berpendapatan rendah khususnya orang Melayu.

Sekali lagi, semua orang sedar bahawa selepas DEB tamat tempohnya pada 1990, ia diteruskan lagi dalam wajah dan nada yang berbeza. Tumpuannya bukan lagi orang Melayu dan Bumiputera secara am tetapi hanya untuk kepentingan mereka yang bergelar UMNOputra – para pemimpin UMNO, keluarga dan kroni mereka.

Pengkhianatan kepimpinan UMNO terhadap orang Melayu

Sudah ramai pemimpin Pakatan Rakyat serta para bloggers mendedahkan pengkhianatan kepimpinan UMNO terhadap bangsa Melayu sendiri. Antaranya:

* Menarik balik royalti petroleum rakyat Terengganu dan menafikan hak royalti petroleum rakyat Kelantan yang majoritinya orang Melayu.

* Menarik peruntukan geran kepada Sekolah Agama Rakyat (SAR) yang tempat belajar agama anak-anak Melayu.

* Menimbulkan krisis Menteri Besar di Perlis dan Terengganu apabila pimpinan UMNO menentang keputusan Sultan di negeri-negeri berkenaan.

* Menyelewengkan dana untuk orang Melayu yang miskin dalam program PPRT, daripada RM54 billion yang diperuntukkan kepada orang Melayu, hanya RM2 billion sahaja yang sampai manakala RM52 billion lagi lesap. Hingga hari ini ia menjadi misteri besar.

* Mengurangkan kuasa Yang di-Pertuan Agong melalui krisis Perlembagaan 1982 dan kuasa sultan-sultan pada awal tahun 1990-an di mana media massa menjadi medan untuk menghina dan memperlekehkan institusi raja-raja Melayu.

* Memperkenalkan Pengajaran dan Pembelajaran Sains dan Matematik dalam Bahasa Inggeris (PPSMI) atas alasan memberi faedah kepada orang Melayu dan kemudian memanushkannya selepas beberapa tahun atas alasan yang sama.

Pengkhianatan yang berterusan

Bukan sahaja orang Melayu menjadi mangsa kerakusan pucuk pimpinan UMNO, malah semua rakyat Malaysia. Subsidi bahan-bahan keperluan harian ditarik balik atau dikurangkan tetapi subsidi untuk syarikat-syarikat besar seperti penjana kuasa bebas (IPP) dan syarikat konsesi tol tetap diteruskan, malah ditambah lagi.

Memang ada orang Melayu yang mendapat habuan daripada penyalahgunaan kuasa ini tetapi mereka ini terdiri daripada kroni dan keluarga pemimpin UMNO serta rakan-rakan komponen Barisan Nasional.

Adakah rakyat jelata termasuk orang Melayu mendapat faedah daripada projek ternak lembu NFC? Adakah orang Melayu menikmati keuntungan kutipan tol lebuh raya Utara-Selatan (NSE)? Adakah orang Melayu, Cina, India, Orang Asli, Iban, Kadazandusun merasai nikmat projek PKFZ? Adakah rakyat terutamanya peneroka Felda mendapat hasil langsung daripada penyenaraian Felda Global Ventures?

Seperti mana yang dijelaskan oleh Guan Eng, DAP bukan ancaman kepada orang Melayu atau mana-mana kaum.

Dengan menanam rasa takut serta menggunakan ugutan, beliau menjelaskan, UMNO mengaburkan mata rakyat daripada skandal-skandal kewangan dan rasuah yang telah mengakibatkan kehilangan beratus-ratus bilion ringgit, seperti:

* Pendedahan Laporan Ketua Audit Negara 2010 tentang jabatan-jabatan kerajaan yang telah terlebih belanja sebanyak RM3.7 bilion tanpa apa-apa hukuman dikenakan; dan

* Kontroversi dana awam yang telah diberikan kepada NFC yang berkaitan dengan seorang Menteri telah digunakan bukan untuk penternakan lembu, tetapi sebaliknya membeli kondominium mewah.

Perlukah orang Melayu takut kepada DAP?

Selama ini UMNO, termasuk melalui penyebaran dakyah Utusan, telah menggunakan taktik kejam untuk menipu dan menanam perasaan takut di kalangan orang Melayu, kononnya DAP menjadi pengancam kepada hak dan kepentingan mereka, kata Guan Eng lagi.

Menurut Ahli Parlimen Bagan itu, dakwaan tersebut langsung tidak berasas kerana perkhidmatan awam, polis dan tentera semuanya dikawal Melayu manakala sektor-sektor kritikal dalam ekonomi seperti insuran, perbankan, industri automobil, pelabuhan dan lebuh raya semuanya juga dimiliki usahawan-usahawan atau syarikat-syarikat Melayu.

Walau pun syarikat-syarikat Melayu mempunyai kawalan yang hebat dalam sektor-sektor politik, awam dan swasta, beliau berkata, DAP tidak pernah menggunakan isu-isu itu untuk menakutkan rakyat bukan Melayu.

“DAP tidak pernah berlaku begitu kerana kita menganggap semua orang Melayu mempunyai hak dan peluang yang sama dengan rakyat Malaysia yang lain dalam sektor-sektor tersebut,” tambah beliau.

Dalam politik pula, Perdana Menteri dan Timbalan Perdana Menteri merupakan orang Melayu. Semua Menteri-menteri Besar dan Ketua-ketua Menteri juga Melayu kecuali di Pulau Pinang.

“Tidak pernah ada seorang pun pemimpin bukan Melayu yang bercita-cita menjadi Perdana Menteri kerana rakyat Malaysia menerima realiti politik di mana Perdana Menteri Malaysia seharusnya berbangsa Melayu,” ujar Guan Eng.

Beliau yakin orang Melayu tidak lemah dan justeru, tidak perlu tunduk kepada UMNO hari ini yang dipimpin oleh golongan yang rasis dan sering menyalahgunakan kuasa serta kedudukan.

“Sudah tiba masa untuk kita bersatu atas dasar-dasar bersama seperti keadilan, kebenaran, kebebasan, kebajikan awam dan demokrasi”. – Roketkini.com

1 comment:

  1. aku tak stuju dengan artikel ini yang mengatakan UMNO dibuka untuk melayu sahaja.... habis tu mamak , dan satu spesis dengannya yang bersepah dalam UMNO apa citer?

    ReplyDelete

ANDA KOMEN ANDA TANGGUNG

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...

TERIMA KASIH KERANA MENG"KLIK"...

Bloglist