.

Thursday, 1 December 2011

Timbalan Perdana Menteri [PM] Cetek Pemikiran

Jabatan Pilihanraya Dewan Pemuda PAS Malaysia merasa cukup sedih dan kecewa di atas ucapan Timbalan Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin yang sama sekali tidak menunjukkan beliau selaku orang 2 negara yang mempunyai daya fikir Intelek yang tinggi dan budi bahasa yang baik. Semasa merasmikan serentak Persidangan Tahunan Putri, Pemuda dan Wanita UMNO, beliau meneruskan perseteruan terhadap Pakatan Rakyat dan PAS secara khususnya dengan alasan yang berbentuk fitnah dan dangkal.

Jabatan Pilihanraya Dewan Pemuda PAS Malaysia ingin mengingatkan UMNO bahawa keangkuhan mereka sebagai parti yang tiada galang ganti untuk meneruskan agenda perjuangan bangsa Melayu sudah lapuk ditelan zaman kerana PAS sudah bersedia untuk memimpin bangsa Melayu ke arah suasana politik yang lebih kondusif bahkan lebih lagi PAS menawarkan perjuangan bangsa Melayu menurut ajaran Islam yang syumul. PAS akan menggantikan UMNO untuk membela nasib bangsa Melayu yang selama ini menjadi mangsa ‘belasahan’ UMNO. Jadi UMNO sememangnya berada di dalam keadaan cukup terdesak kerana PAS dan Pakatan Rakyat semakin mendapat tempat di hati rakyat untuk memerintah negara ini.

Jabatan Pilihanraya Dewan Pemuda PAS Malaysia berpendapat bahawa cabaran Timbalan Perdana Menteri kepada para Putri, Pemuda dan Wanita UMNO untuk menjadi mujahid dan mujahidah yang akan berjihad untuk mempertahankan bangsa Melayu di dalam Pilihanraya Umum yang akan datang adalah sebuah lelucon yang amat menggelikan hati. UMNO sebagai sebuah parti sekular yang memisahkan agama di dalam agenda perjuangan politik mereka sanggup menggunakan istilah-istilah Islamik supaya nampak agenda Islam mereka tetapi sebaliknya bersifat munafik semata-mata. Sepatutnya jihad yang utama adalah menegakkan hukum Syariat Allah Taala di atas muka bumi ini dan bukannya berjihad di atas nama bangsa.

Jabatan Pilihanraya Dewan Pemuda PAS Malaysia turut mengingatkan kepada seluruh jentera pemuda di semua peringkat supaya meningkatkan kewaspadaan dan kebersediaan untuk menghadapi pilihanraya yang mendatang. Kenyataan Datuk Seri Najib bahawa pilihanraya ke 13 akan datang ini akan menjadi sesuatu yang ‘luar biasa’ menunjukkan UMNO dan Barisan Nasional akan melakukan strategi yang ‘kotor dan hina’ untuk memastikan kemenangan berada di pihak mereka.

Jabatan Pilihanraya Dewan Pemuda PAS Malaysia melihat UMNO kini semakin gawat dan tidak keruan, tidak mustahil sepanjang perhimpunan Agung UMNO ini akan menjadi perhimpunan yang akan dipenuhi dengan segala macam kenyataan-kenyataan yang bersifat hasutan, ancaman, tuduhan, prejudis, rasis dan sebagainya. Oleh itu, Jabatan Pilihanraya Dewan Pemuda PAS Malaysia meminta supaya rakyat Malaysia yang cintakan keamanan dan keadilan menolak secara total parti UMNO dan Barisan Nasional kerana pembawaan politik sempit mereka sudah tidak diterima lagi oleh rakyat. Selain itu Jabatan Pilihanraya Dewan Pemuda PAS Malaysia mengarahkan jentera pemuda di semua peringkat untuk membuat laporan polis di atas kenyataan Timbalan Perdana Menteri dan Ketua Penerangan UMNO yang bersifat menghasut dan menimbulkan kebencian orang Melayu untuk terhadap orang-orang bukan Melayu dan orang-orang yang bukan beragama Islam.

MOHD SANY BIN HAMZAN
PENGARAH PILIHANRAYA
DEWAN PEMUDA PAS MALAYSIA
Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...

TERIMA KASIH KERANA MENG"KLIK"...

Bloglist