.

Saturday, 1 October 2011

SKANDAL PENJUALAN PULAU, PAS SERAH MEMORANDUM

Oleh : MEDIA DEWAN PEMUDA PAS

DEWAN Pemuda PAS Negeri Sabah (DPPNS) hari ini telah menghantar memorandum kepada Datuk Seri Musa Aman yang juga Ketua Menteri Sabah berhubung bantahan terhadap isu penjualan Pulau Mentukod, Mengalum dan Pandanan sebagaimana yang didedahkan akhbar tempatan baru-baru ini.

Memorandum diserahkan sendiri oleh Ketua Dewan Pemuda PAS Negeri Sabah, Lahirul Latigu kepada wakil Ketua Setiausaha Politik Ketua Menteri, Noorlaimah Hj. Marjan yang mewakili Ketua Menteri Sabah, Datuk Seri Musa Aman.

Penyerahan dilakukan di Pejabat Setiausaha Politik Ketua Menteri, Wisma Innoprise selepas solat Jumaat, petang kelmarin.

Dalam memorandum yang diserahkan, DPPNS mengalu-alukan kenyataan balas yang dikemukakan oleh Pengarah Jabatan Tanah dan Ukur Sabah, Datuk Osman Jamal berkaitan isu penjualan pulau tersebut.

"DPPNS berpendapat kenyataan tersebut masih kabur tentang perihal hak dan khazanah negeri Sabah agar terus terpelihara.

"Timbul persoalan, bagaimana dengan mudahnya berlaku pertukaran tanah atau ‘land swap’ antara Kementerian Pertanian dan Industri Makanan dengan pemaju yang hanya dikenali sebagai Wisma Pertanian terhadap Pulau Mengalum sedangkan ianya terletak di Zon Ekonomi Ekslusif (ZEE) yang sedia maklum sangat bernilai dan menjadi tarikan pelancong,” kata Lahirul.

Tambah Lahirul, transaksi ini sebenarnya telah menyebabkan kerajaan kerugian jutaan ringgit di samping kehilangan khazanah bernilai buat Malaysia amnya dan negeri Sabah khususnya.

Beliau juga turut mengesa kerajaan negeri Sabah di bawah kepimpinan Barisan Nasional agar menyatakan dengan jelas mengenai siapakah Syarikat Pemaju Wisma Pertanian dan individu yang bertanggungjawab di sebalik syarikat tersebut.

"Nyatakan siapakah individu terbabit dan jika urusniaga tersebut dibuat tanpa autoriti pihak terbabit, maka ini boleh dianggap sebagai pencabulan terhadap hak pulau tersebut.

"Perjelaskan juga, bagaimanakah Pulau Montukod dan Pandanan yang berstatus Native Title (NT) boleh dijual di Pasaran Antarabangsa sedangkan kebenaran (pulau-pulau berkenaan) hanya untuk aktiviti pertanian,” tegas beliau.

DPPNS juga mempersoalkan mengenai status penganugerahan pulau tersebut yang telah dilakukan pada sebelum ini daripada kerajaan Barisan Nasional.

“Apa tindakan yang perlu dilakukan untuk memastikan kepentingan hak bersama terjaga? Sekiranya Jabatan Tanah dan Ukur boleh menguatkuasakan Seksyen 42, Ordinan Tanah Sabah, Bab 8 bagi merampas hak Tanah Adat terhadap penduduk-penduduk kampung di pedalaman, maka ia juga sepatutnya mampu untuk menguatkuasakan undang-undang yang berada di ruang lingkup yang sama bagi menjaga kepetingan rakyat Sabah secara keseluruhannya.

"Adalah memalukan jika pulau yang memiliki ratusan hektar, yang mempunyai kepentingan maritim dan kedaulatan negara dibiarkan sahaja terlepas kepada pihak asing tanpa ada tindakan prerogatif dan bersungguh-sungguh pihak kerajaan mempertahankannya.

"DPPNS mengulangi pendirian agar pihak kerajaan menghalang penjualan pulau-pulau tersebut memandangkan ia akan mendatangkan banyak kerugian terutama kepada khazanah berharga yang menjadi hak kepada seluruh rakyat Sabah," katanya.

Turut mengiringi adalah sekretariat pemuda Pakatan Rakyat Sabah yang diwakili PAS, DAP dan PKR serta kira-kira 10 penyokong yang lain./sabahkini.net


Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...

TERIMA KASIH KERANA MENG"KLIK"...

Bloglist