.

Wednesday 12 October 2011

Isu Hudud: PAS, DAP telah dapat kata sepakat...

KUALA LUMPUR, 12 Okt – PAS dan DAP telah mengambil pendirian “bersetuju untuk tidak bersetuju” berhubung isu hukum hudud, sekali gus membawa usaha mengakhiri kontroversi yang berpanjangan membabitkan kedua-dua komponen Pakatan Rakyat itu.

Dalam satu kenyataan dikeluarkan petang ini, Setiausaha Agung DAP Lim Guan Eng (picture) berkata keputusan itu dicapai pada satu pertemuan yang diadakan membabitkan kepimpinan Pakatan Rakyat di ibu pejabat parti itu di sini Isnin lalu.

Lim berkata pada pertemuan itu pemimpin-pemimpin Pakatan Rakyat telah mengulangi rangka kerja dasar bersama 2009, Buku Jingga dan juga kenyataan bersama 28 September lalu di mana hudud tidak disebutkan sebagai agenda bersama.

“Pertemuan itu memutuskan bahawa kedua-dua DAP dan PAS telah bersetuju untuk tidak bersetuju mengenai undang-undang hudud,” katanya.

Kata beliau, dasar itu juga tidak akan menjadi agenda Pakatan Rakyat ketika atau selepas pilihan raya umum akan datang ataupun dilaksanakan oleh mana-mana kerajaan pimpinan perikatan sebelum konsensus terlebih dahulu daripada kesemua parti komponen.

Tengah hari tadi The Malaysian Insider membawa laporan bahawa di sebalik kontroversi yang berterusan, Kelantan mengambil langkah mencari sokongan dengan memberi penjelasan kepada pemimpin-pemimpin Pakatan Rakyat berhubung hasrat kerajaan negeri pimpinan PAS itu mahu memperkenalkan hukum hudud.

Penerangan itu diberikan oleh tiga Exco Kerajaan Negeri Kelantan. Ia susulan mesyuarat khas Pakatan Rakyat dua minggu lalu.

Isu hukum hudud kerajaan negeri Kelantan muncul semula awal bulan lepas ekoran satu pandangan pada seminar syariah nasional di Kota Baru.

The Malaysian Insider difahamkan pertemuan itu diadakan atas permintaan pemimpin-pemimpin Pakatan Rakyat sendiri dan dihadiri oleh kesemua pemimpin kanannya kecuali Presiden PAS Datuk Seri Abdul Hadi Awang.

Exco yang memberi penjelasan pada pertemuan itu ialah Datuk Mohd Amar Nik Abdullah iaitu Pengerusi Jawatankuasa Pembangunan Islam, Pendidikan dan Dakwah, Datuk Takiyuddin Hassan (Pengerusi Jawatankuasa Kerajaan Tempatan, Pelancongan dan Kebudayaan) dan Dr Mohd Fadzli Hassan (Pengerusi Jawatankuasa Penerangan, Pembangunan Maklumat, Sains dan Teknologi).

Mohd Amar juga merupakan Timbalan Pesuruhjaya PAS Kelantan. Kelantan membawa hasrat melaksanakan hukum hudud sejak dua dekad lalu.

Perkembangan itu diumumkan oleh Menteri Besar Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat menerusi laman sosial Facebook beliau hari ini./themalaysianinsider

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...

TERIMA KASIH KERANA MENG"KLIK"...

Bloglist