Friday, 14 October 2011

‘EXIT POLICY’ MARA YANG RASUAH?

Oleh: JAYANTHI GEETHA SUKUMARAN

KEGAGALAN Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) mengambil tindakan terhadap Menteri Kemajuan Luar Bandar dan Wilayah, Datuk Seri Panglima Mohd Shafie Apdal, Pengarah MARA Sabah dan pihak yang meluluskan penyambungan penyewaan premis MARA di Wisma Merdeka telah menggelisahkan semua pihak.

“Dasar ‘Exit Policy’ yang dijelaskan Pengarah Hal Ehwal Korporat Mara, Hasni Binti Suleiman sebelum ini disifatkan sebagai Dasar yang menggalakkan rasuah,” kata Timbalan Ketua Penerangan Angkatan Muda PKR Silam, Citra Masadi ketika mengulas hasrat MARA menyambung kontrak penyewaan Lot 237, 238, 239 dan 240 milik MARA di Wisma Merdeka yang kini disewa oleh Restoran Mekar dan Restoran Seri Malindo sejak lebih 10 tahun lalu, tetapi akan tamat hujung Oktober ini.

Menurut Citra, sebelum ini Ketua Penerangan Angkatan Muda PKR Sabah, Zainuddin Hassan mendedahkan bahawa empat premis ruang niaga di Fasa 2, Tingkat 2, Wisma Merdeka, Kota Kinabalu dengan kadar sewa yang terlalu rendah dan dimonopoli oleh dua restoran berkenaan yang mempunyai hubungan rapat dengan Shafie Apdal.

“Sistem monopoli yang diamalkan MARA Sabah menyebabkan ramai peniaga tercicir dan tidak mendapat peluang berniaga sedangkan sebelum ini MARA telah memberi notis pengosongan premis tetapi dipercayai dibatalkan atas arahan Shafie Apdal,” kata Citra yang mendesak siasatan rapi dijalankan kerana ada pihak yang ‘dibayar’ untuk menyambung kontrak penyewaan berkenaan.

Kadar sewa yang murah menyebabkan ramai peniaga mahu menyewa premis berkenaan tetapi Dasar ‘Exit Policy’ MARA telah menyekat peluang mereka dan mungkin terpaksa menunggu sepuluh tahun lagi sebelum mendapat peluang untuk menyewa premis MARA yang 50 % lebih murah daripada kadar sewa semasa.

Sebelum ini, Pengarah Hal Ehwal Korporat Mara, Hasni Binti Suleiman memaklumkan Sabahkini.net bahawa pembelian 18 lot kedai di Wisma Merdeka dibuat MARA pada 2002 dalam usaha penyediaan ruang perniagaan kepada usahawan berkelayakan. Menepati dengan hasrat dan agenda pembangunan usahawan, maka penetapan harga sewaan adalah sedikit rendah berbanding harga pasaran.

Dasar penyewaan (exit Policy) sedia ada adalah ditetapkan bagi tempoh tidak melebihi 10 tahun (dasar 3 + 3 + 3 +1) tertakluk kepada perlanjutan tempoh diberikan bagi setiap tiga tahun kepada penyewa yang mempunyai rekod pembayaran yang baik.

Dalam konteks ini, kata Hasni, penyewa yang dimaksudkan tidak mempunyai masalah bayaran balik dan masih mematuhi tempoh ‘Exit Policy’ selain tidak pernah diberikan notis pengosongan oleh MARA.

Sehubungan itu, pihak MARA dalam proses mengkaji semula kadar sewa yang dikenakan di semua premis perniagaan MARA agar selaras denga kadar pasaran dan hal ini tidak dikecualikan kepada penyewa premis perniagaan akan diteruskan bagi menampung keperluan semasa.

Namun menurut Citra, oleh kerana kedua restoran berkenaan telah diberikan notis pengosongan tahun lalu, maka kontrak penyewaan mereka tidak lagi layak disambung; seraya mencadangkan agar MARA menyediakan KIOSK atau memecah kecilkan premis yang ada untuk menggalakkan lebih ramai usahawan berniaga kerana dua restoran berkenaan telah dikenali dan wajar mencari premis baru bagi memberi peluang kepada usahawan lain berniaga.

Citra turut mendesak SPRM menyiasat senarai penyewa 14 lot kedai lagi kerana turut dilanjutkan tempoh penyewaan sekalipun telah maju sehingga menghalang peniaga baru meningkatkan daya saing mereka.

“Jika MARA mengekalkan Dasar Exit Policy yang berbudaya rasuah, ada baiknya mereka menjual premis berkenaan secara tender kepada bumiputera di Sabah yang menghadapi masalah premis perniagaan,” kata Citra lagi yang mengakui telah melaporkan isu ini kepada SPRM beberapa hari lalu./sabahkini.net

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...
There was an error in this gadget

TERIMA KASIH KERANA MENG"KLIK"...

Blog Pro PR (1)